Wednesday, December 30, 2009

Resolusi Tahun 2010

Pagi Rabu yang Kabut



Ring,ring...ring,ring (deringan telefon).
Saya: Helloooo ... (dengan lembut sekali)
Sahabat: Hai Dil, apa kabar?
Saya: Heya u, I sihat Alhamdulillah! U pula apa kabar?
Sahabat: Kabar baik adanya. Ada resolusi tahun 2010?
Saya: Resolusi?
Saya: Ada!
Sahabat: Apa dia? Boleh I tahu?
Saya: Ermm ...nak siapkan penulisan ilmiah yang terbengkalai.
Sahabat: Uish ... sungguh boringnya!
Tut ...tut ...tut ...telefon diletak
Saya: Ello, Ello!
Saya: Ler...

Selamat Tahun Baru kepada sahabat semua. Semoga tahun 2010 lebih memberi makna dan kejayaan dalam apa juga bidang yang kita ceburi. Semoga persahabatan di alam maya ini akan terus berkekalan. Amin.



~Uptown 6.00pm, 30 Dis 2009~

Wednesday, December 16, 2009

Selamat tinggal Zulhijjah





Ya Allah, Ya Tuhanku! Rahmatilah aku dengan Al-Quran dan jadikanlah Al-Quran bagiku sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah, Ya Tuhanku! Ingatkanlah aku apa yang terlupa daripada ayat-ayat Al-Quran. Daripada Al- Quran ajarlah aku apa yang belumku ketahui. Berilah aku kemampuan membacanya separuh malam dan separuh siang. Jadikanlah Al-Quran itu pedoman bagiku (untuk menyelamatkan aku di akhirat), wahai Tuhan Sekalian Alam.

Salam Maal Hijrah. Beristighfar banyak-banyak dan selamat berehat kerana esok buku baru dibuka untuk semua insan di atas muka bumi Allah ini.
Oh ya, sebaik tenggelamnya mentari, tadahlah tangan berdoa buat akhir tahun dan seusai maghrib hari ini, doalah untuk awal tahun. Sekadar berkongsi sesuatu.

~"World coffee day," today. All Starbuck outlets are giving away coffee, so better hurry to get your free cuppa, midday, uptwon, 17 Dec, 2009~

Hujan...oh...hujan


Monsun ziarah lagi. Definisi monsun dari Kamus Dewan edisi keempat ialah angin bermusim di Asia Selatan yg bertiup dari Barat Daya pada musim panas dan Timur Laut pada musim sejuk. (mana negara kita ada musim?). Dengan lain perkataan, ianya hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir.

Sejujurnya hujan sehari dapat melenyapkan panas setahun. Bagusnya! Ada peribahasa juga tentang itu. Kata orang tua-tua, hujan membawa rahmat, padi dan sayur menjadi subur. Begitulah jika hujan turun sebentar, kemudian teduh. Namun, jika hujan sepanjang hari, tanaman yang subur pun akan rosak. Buah-buah yang manis dalam musim panas pula menjadi tawar dalam musim hujan. Kain baju menjadi hapak kerana tidak kering. Itu jika kita tidak punya mesin pengering di rumah.

Saya spesies yang sukakan hujan, teringat sewaktu kecil apabila sang kodok berlagu syahdu bersahut-sahutan dari parit dipinggir dapur yang dipenuhi kiambang berbunga violet. Tenang rasanya, tidur pun lena.

Tetapi, dewasa ini, kanak-kanak tidak gemarkan nyanyian sang kodok. Sungutan 'tidak betah tidur,' sering terdengar ketika anak-anak bangun Subuh. Ada yang menjerit agar kodok berhenti berlagu. Ha...ha...kelakar! Siapa harus dipersalahkan di sini? Hujan atau sang kodok?
~listen to the rythm of the falling rain, listen to its fall, and every drop of the crying rain...(alahai lupa pula lirik lagu lama ini), Hujan oh hujan mengapa engkau turun?..16 Dis 09, Uptown 6pm~



Monday, December 14, 2009

Saya gering. Sudah dua minggu saya batuk dan selsema. Semua ubat yang dipreskripsikan doktor, habis saya makan. Sudah beberapa hari juga saya diberikan cuti sakit. Pesan doktor, saya perlu tidur seusai minum sirap batuk kerana kandungan paracetamol akan menyebabkan saya mengantuk. Ia bakal memudaratkan, seandainya saya melakukan sesuatu.
Saya akur semua nasihat doktor, tetapi mengapa saya masih lagi batuk?
Menurut Hamka dalam kitab Tasauf Modennya, "Segala kesakitaan diberikan Allah kepada hambaNya menurut takaran penyakit dan kekuatan si hamba, tidak dilebih-lebihkanNya dan tidak dikurang-kurangkanNya. Kecelakaan si hamba, adalah dari sebab diri sendiri, yang tidak mengikut betul nasihat doktornya." Waduh! Gimana ni pak, udah diikut semua nasihat doktor! Tetapi mengapa saya terusan batuk???

Adakah Tuhan sedang menguji saya? Apa-apa pun, saya redha. Yang jelas, suara saya kini sangat seksi. Itu kata sahabat. Namun, betapa sahabat tidak tahu demi membalas perbualannya, saya perlu telan Jujubes dan...dan...sudah bertin-tin saya kulum penawar sakit tekak ini tatkala bercakap dalam telefon. heheh...
~Yakin, setiap penyakit ada penawarnya, 14 Dis 2009, Uptown, 5.30 petang~

Friday, December 4, 2009

Aaaaa...lega


Berasa sedikit lega beberapa hari ini, apabila saya bebas melakukan sesuatu tanpa halangan. seperti burung helang yang saya temui di belakang dapur baru-baru ini. Indirectly, tahap stress saya juga berkurangan. Gembiranya! Konsentrasi pada tugas-tugas pejabat juga sangat bagus kerana saya dapat menepis segala perilaku yang mengganggu. Aaaaa...bahagianya hidup. Terima kasih Allah.


~Ingin pulang ke rumah segera, menemui puteri manja yang dirindui Uptown, 04 Dis 2009~

Tuesday, December 1, 2009

Berdansa kita?


Kebelakangan ini saya berasa agak tertekan atau di Barat disebut, ‘stress / stressful.’ Situasi ini kian memudaratkan kesihatan walaupun saya masih bernafas dan berselera makan. Menurut sains perubatan, situasi tertekan ini sudah lama bersarang dalam diri saya, bak kata artikel penulisan Dato Dr Norashikin baru-baru ini, stress saya ini dipanggil, ‘a prolonged stress.’

Teringat pada waktu-waktu berlalu, saya termasuk dalam golongan wanita yang sangat qana’ah dalam kehidupan. Qana’ah = bersederhana, cukup dan menerima apa-apa yang datang dengan hati terbuka dan ceria. Sudah lama saya amalkan untuk menyukai sesuatu dengan tidak melampau-lampau. Saya faham, sepanjang perjalanan hidup yang beronak ini, setiap hari saya temui teknologi baru, idea baru, sahabat baru dari semua lapisan umur dan juga ilmu-ilmu baru yang tidak pernah saya ambil pusing sebelum ini. Sejujurnya saya amat gembira dan bersyukur kehadrat Illahi kerana menemukan saya dengan sesuatu yang ‘baharu.’

Sedihnya hari ini, penemuan 'baharu' tadi telah membejati akal saya. Membejati ‘smooth sailing’ saya. Saya berasa seperti dikongkong. Atau dengan ayat lain, ‘saya sudah tidak lagi bebas kerana kebebasan saya dicengkam oleh penemuan 'baharu' ini. Saya korbankan ‘freedom of speech, freedom of writing freely on my blog, freedom of talking anything and everything under the sun with anyone, someone I like, or freedom of spending my time wisely, with whom I like to and … and … zzzZZZzzz.’

Kelmarin saya kongsi masalah ini dengan seorang sahabat. Solusi kepada semua sekatan ini, saya dinasihatkan mengekspresi emosi saya dengan tarian, berdansa atau beriadah melalui chi qong, tai chi juga mengikuti kelas ballroom dance. Sahabat memberi jaminan hanya dengan melakukan satu dari semua itu, saya bakal ceria dan pulih seperti diri saya. Heheh … it sounds so kelakar ! InsyaAllah akan saya pertimbangkan.

Buat ketika ini saya panjatkan doa dan terus berdoa, semoga Allah memberi saya kekuatan dan ketenangan menepis segala perilaku yang menyebabkan saya tertekan.

Sahabat diluar sana ingin memberi komentar? Silakan.
~Huray...huray...hip hip huray...bergembira...lalala, goyangkan kaki (lagu sudirman), uptown, 1.30pm 02 Dis 2009~

Sunday, November 29, 2009

Selamat bercuti


Bercuti?

Aidil Adha baru sahaja diraikan. Ada yang pulang ke kampung asal menyambutnya Cuti sekolah pun sudah bermula. Panjang pula. Lebuhraya Seremban tidak lagi sesak. Memandu dari Bangi ke pejabat hanya mengambil masa antara 30 – 45 minit. Seronok betul! Heheh.

Jika bukan musim cuti, Subhanallah, kesesakan lalulintas begitu
menyakitkan. Yang pasti keselesaan ini hanya sementara hingga akhir Disember. Tiba tahun baru, keadaan kembali seperti sediakala.

Ramai mengambil kesempatan membawa keluarga pergi makan angin. Sama ada bercuti dalam negara ataupun keluar negara, sama sahaja, pokoknya, ‘makan angin.’

Beberapa hari lagi, saya juga bakal pergi ‘makan angin.’ Tempatnya, alahai tidak perlulah saya sebut. Rahsia!

Sahabat semua bagaimana? Hendak ikut saya?
~ waktu makan, Damansara Uptown, 30 Disember 2009 ~

Friday, November 20, 2009

Hari kanak-kanak sedunia




Esok, Sabtu 21 November 2009, hari kanak-kanak sedunia. Bawalah anak-anak keluar beriadah, belanja makan, menonton atau lakukan sesuatu bersama yang boleh menghiburkan hati. Sebenarnya tidak sukar berbuat demikian. Syaratnya ibubapa, abang dan kakak perlu ada idea bagaimana hendak menghiburkan adik-adik. Apa tunggu lagi? Rancanglah sesuatu petang ini kerana esok hari kanak-kanak se dunia.


~Teringat lagu Michael Jackson, "We are the World, we are the children," 20 Nov 09, uptown Damansara Utama~




Saturday, November 14, 2009

Pagi yang gelap kini sudah terang


Bait -bait itu sebenarnya lirik lagu nyanyian kumpulan Band Hujan. Hari minggu saya begitu unik pagi ini. Ketika fajar baru menunjukkan wajah, saya sudah turun ke bahagian bawah lalu membuka luas semua jendela. Udara juga begitu nyaman seusai dibasahi hujan semalam. Haha...lalu saya membuka pintu menuju ke dapur basah yang terletak di bahagian belakang menghadap pohon-pohon hijau bersebelahan tanah kosong yang curam. Tiba-tiba saya tergamam. Langkah saya terhenti. Saya melihat sepasang burung helang bertenggek di dahan pohon akasia hampir dengan pagar dapur saya. MashaAllah, begitu cantiknya unggas ini. Paruh yang runcing dengan bulu dada berwarna perang sungguh lawa ketika ia mengembangkan sayap terbang megah di atas kepala. Hampir 20 minit unggas ini bermain 'ciku cak' dengan saya. Ketika mata liar mencari kelibatnya, ia menyuruk disemak-semak, tatkala saya buat-buat tidak nampak, ia terbang rendah seolah-olah mahukan perhatian. Oh Tuhan, indah sekali pagi ini hingga sukar digambarkan mahupun dicoretkan dengan bahasa sastera saya. Terima kasih Allah buat pagi yang amat bermakna ini.


~I've given u too much, i'm takng back my luv, i'm taking back my luv, taking back my luv, my luvvv.. Bangi 15 November 2009.

Wednesday, November 4, 2009

Anugerah Sasterawan Negara


Sudah hampir sepurnama anugerah sasterawan negara diwatikahkan kepada Dato Dr Anwar Ridhwan. Sekalung tahniah buat pemenangnya. Saat bersejarah ini diraikan di Istana Kuda Emas, di Tin Mines. Majlis gilang-gemilang yang dihadiri cendekiawan, karyawan, sasterawan serta penulis-penulis lain termasuklah penulis sehalus semut seperti saya.

Sedikit Petikan ucapan Dato Dr Anwar Ridhwan, "Wahai segala arif permata,Janganlah apa fakir dikata, Kalam buruk kertasnya lata, Menyuratnya tidak ada pelita."

Semeja dengan sdr Faizal Tehrani, beberapa editor dari Karangkraf, orang-orang akhbar, juga Sifu Z. Meja yang terletak sedikit pojok, menyukarkan saya mengabadikan portrait pemenang kerana objek yang difokus begitu kecil. Jadi, saya batalkan sahaja hajat mengambil foto malam itu.

Selingan kepada pementasan "Hari-Hari Seorang Seniman," juga dipersembahkan kepada Baginda Tuanku dan Sultanah Zahirah. Watak seniman ini pula dilakonkan oleh seorang dramatis lelaki tempatan. Melihat wajah dramatis ini, teringat saya kepada penulisan anak gadisnya, yang berbunyi (selepas diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia):

"Betapa saya merindui wajah ayah dan berimpian mencium tangannya setiap kali di pagi Syawal seperti dahulu. Namun ayah tinggal berbatu-batu jauhnya dari ibu dan saya. Ayah kini sudah punya keluarga baru di tanah kelahirannya... "

Bari-baris atas sudah cukup menyentuh perasaan keibuaan saya pabila merenung wajah redup lagi pendiam anak ini, setiap Jumaat ketika di dalam kamar kuliah.


~berasa hairan mengapa seorang penulis ini tidak tegur mahupun bersalaman dgn Sifu Z ketika dia lalu dihadapan kami, Uptown 4 Nov 2009, 4.30 petang~

Monday, November 2, 2009

Dewan Budaya keluaran November 2009


Syukur! Berkat kesabaran selama berbulan-bulan, akhirnya, cerpen 'Kau Anakku Sangeeta' terbit dalam Dewan Budaya, keluaran November 2009. Terima kasih Sifu, atas segala nasihat dan tunjuk ajar dalam menangani cerpen yang mengangkat martabat wanita ini. Kepada Azmarini, jasa sdr tidak mungkin saya lupa. Terima kasih DBP!
Kepada sahabat yang gemar membaca cerpen, jangan lupa dapatkan senaskah majalah Dewan Budaya bulan November 2009
Amin.
Kini, menunggu kemunculan cerpen, 'Shakuhachi dari Ikedako,' pula :), Uptown, 3 Nov 2009 - 3 petang.

Why do old people wake so early? Is it to have one longer day?


Petikan di atas saya ambil dari novel agung Ernest Hemingway, "The Old Man and The Sea." Tatkala direhatkan di hospital Selayang kelmarin atas sebab-sebab kesihatan, saya baca novel ini dan berasa terharu dengan kedaifan seorang nelayan tua yang tidur berbantalkan lipatan celana yang disumbat suratkhabar. Celana yang sama akan dipakai keesokan harinya. Aduh, sedihnya! Tetapi sikap cekal dan keras hatinya tidak seorang pun dapat menandingi.

Dari pojok lain, beberapa kali Ernest menggambarkan jauhnya mentari itu dalam bait-bait berikut, "The sun is one mile high...," "The sun was two miles higher..." Jika diterjemah ke dalam bahasa ibunda, ianya berbunyi, "Mentari sudah naik segalah," "Mentari sudah naik tinggi di dada langit." Heheh ... apa kata Sifu saya? Sedapkah bunyinya?
Dia minum hanya kopi hitam sementara makanan hariannya ikan sardin dan tuna. Dia juga menukar sesuatu keperluan hidup dengan kepala ikan-ikan besar hasil tangkapannya kepada Pedrico, seperti suratkhabar semalam. Aduh sekali lagi simpati saya kepada Ernest.

Namun sebaris ayat ini menarik perhatian saya. Bunyinya begini, "But he thought, I keep them with precision. Only I have no luck any more. But who knows? Maybe today. Everyday is a new day. It is better to be lucky. But I would rather be exact. Then when luck comes, you are ready." Benar, setiap ha
ri itu hari baru. Jika tidak bernasib baik hari ini, mungkin esok rezeki kita lebih baik.

Kepada insan-insan yang mencari novel 99 halama ini, sila berkunjung ke Kinokuniya di Suria KLCC. Ia dijual dengan harga 29.90 ringgit senaskah.

Mengenai sakit saya? Dari artikel Dato Dr Norashikin dalam MM 1 Nov 2009, ianya dipanggil "prolonged stress." Stress? Boleh jadi juga betul. Boleh jadi juga tidak. Uish! Bagaimana ianya sudah kekal dalam tubuh ini? Setahu saya ada-ada masa memang saya berasa tertekan. Siapa tidak?

Teringat akan sajak "Sudah Kudengar," Kemala, bait-baitnya betah meremangkan bulu roma, Bangi 02 Nov 2009, 1.35 pagi

Saturday, October 10, 2009

Demi Lebaran






Lebaran masih dirasai, walaupun sudah 20 hari berlalu. Oh ya, sehari sebelum Lebaran, cerpen saya yang digarap beberapa waktu dahulu, "Demi Lebaran" disiarkan dalam Berita Harian. Sementara seminggu selepas itu, sebuah lagi cerpen, "Gemerlap Cahaya Syawal" disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Sekalung terima kasih buat dua editor di dua buah agensi akhbar gergasi ini. Terharu saya dibuatnya.

Esok genap 21 hari Aidilfitri. Esok juga beberapa tetamu bakal berkunjung bersarapan di pondok saya. Sementara menanti kuah laksa mereneh di dapur, saya manfaatkan masa mengetuk papan kekunci komputer riba, juga mengklik tetikus menghala kepada anak panah membaiki mana-mana sendikata yang perlu. sebetulnya agak sukar mencari ilham memulakan sesuatu penulisan. Begitu juga mengakhirinya, agar cerita tidak tergantung mahupun menyentuh mana-mana perasaan insan yang membacanya.

Sesekali saya guna nama-nama Islam kerana saya selesa akan nama-nama itu. Entah mengapa tanpa sedari nama-nama dalam cerpen "GCS" mirip akan nama-nama anak saudara. Aduh, anak-saudara seorang ini sudah berasa hati kerana saya tidak menyebut namanya dalam karya saya. Kelakar! Untuk berlaku "adil" kini saya disarankan menulis nama anak-anak saudara yang belum pernah disebut dalam penulisan saya. Alahai kelakarnya!

Kepada anak saudara yang dikenali sebagai "Bud," terima kasih kerana membaca setiap cerpen saya. Teruskan membaca ya. Ringan-ringankan mulut memberi komen juga.

Hmmm...jam hampir menunjukkan pukul dua pagi. Kuah laksa Penang saya juga sudah mula menggelegak. Esok cuma tinggal dimasukkan isi-isi ikan sahaja. Errmm...setakat ini sahaja coretan mata pena saya. Saya harus bereskan tugas lain sebelum masuk beradu demi kesihatan yang kurang baik kebelakangan ini.



Monday, September 28, 2009

Salam Lebaran



Masa sering mencemburui kita lantas begitu pantas pergi. Adakah kita mengejar masa atau masa yang mengejar kita, fikir-fikirkan! Haha... Sudah sembilan hari pula Aidilfitri diraikan. Adakah kita sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar... yang mana satu? Kepada yang sudah mula berpuasa enam, selamat berpuasa 6 saya ucapkan. Semoga sahabat semua mendapat barakah pahala yang berlipat ganda dariNya.
Lebaran tahun ini saya pulang ke Pasir Putih, Kelantan. Bukan apa, cuma saya rindukan kemeriahan Syawal di desa, tambah pula sudah lima tahun saya tidak pulang beraya di sana. Kemeriahan Aidilfitri lebih terasa dari meraikan Lebaran di kota. Itu tanggapan saya, mungkin juga tidak kepada sesetengah insan lain. Kediaman Ibu mertua terletak betul-betul di simpang jalan ke Sekolah Kamil. Senang mencarinya. Di hadapan rumah pula ada sebuah kedai runcit dibina arwah ayah mertua tatkala dia hidup dahulu. Kini, kedai itu disewakan dan perniagaannya pula bertukar kepada percetakan oleh orang yang menyewanya. Begitulah masa berlalu, dahulu lain kini pula lain. Begitu juga keluarga di sebelah suami. Saya congakdharab, jumlah yang pulang tahun ini seramai 63 orang semuanya. Besar sungguh famili ini kan! Bayangkan keseronokan berebut menggosok baju baru pada malam hari raya, kemudian berebut pula masuk bilik air di pagi Syawal menyiapkan diri untuk ke masjid bersembahyang raya. Siapa lambat, alamat ditinggalkan. Kepada anak-anak saudara yang tidak mahu tertinggal, terus mengambil jalan pintas dengan mandi di sumur yang terletak di bahagian dapur basah. Haha...pagi itu lecahlah semua pojok dapur basah itu. Terdengar riuh suara merdu ibu mertua yang amat pekat telo kelantannya. Pada biras-biras yang baru menjadi ahli keluarga, beranggapan keriuhan itu adalah suara kemarahan ibu mertua, tetapi sebenarnya tidak begitu. Anak-anak yang lahir dan dibesarkan di kota, walaupun tahu menceduk air dari sumur, sesekali terlucut juga kain basahan yang membaluti badan. Yang lain tu, pembaca bayang-bayangkanlah. Haha...kelakar kan!

Selamat Hari Raya kepada sahabat semua. Minal Aidil wal faidzin. Kepada Ru'Aina yang sudah terbang ke bumi Anbiya, selamat menjadi warga universiti Al-Azhar. Semoga sukses dan cemerlang sokmo!

~Sesekali teringat akan umat Islam di Palestin dan Aghanistan...adakah Aidilfitri insan-insan ini semeriah kita di Malaysia?, Bangi 29 Sept 1.14pagi~

Saturday, August 29, 2009

pagi yang sebak


Kicauan burung-burung comel sudah mula terdengar dari jendela dapur. Saya tidak tidur seusai sahur tadi. Saya manfaatkan waktu melayari semua laman sesawang termasuk kepunyaan saudari Rahayu Roslan (my journal - a journey to an end). Menatap diari kehidupan dia dan keluarga, saya menjadi sebak. Hati tersentuh pada baris-baris ayat ini.

"Umur saya mungkin tidak panjang mengikut kiraan pakar-pakar perubatan yang membuat jangkaan melalui kajian dan mengikut statistik sahaja. Saya tidak salahkan pakar-pakar ini. Malah saya tidak mahu tahu dan bertanya berapa lamakah lagi tempoh itu. Biarlah ia menjadi rahsia. Sedangkan tempoh umur setiap insan sudahpun ditetapkan Allah dari azali lagi. Pakar-Pakar itu hanya menjalankan tanggungjawab kerja dan menyampaikan apa yang dipelajari melalui pengalaman sahaja. Walaupun kata pakar saya tidak punya harapan sembuh kerana barah itu sudah sampai ke tahap empat, namun saya yakin Allah menurunkan sesuatu sakit beserta penawarnya. Saya menunggu rahmat itu. Kesembuhan bagi penyakit saya ini. Sesungguhnya Dialah yang Maha Penyembuh juga menentukan ajal maut saya."

Sdr Rahayu, tabahkan hati menempuh dugaan ini. Sebagai insan biasa saya panjatkan doa buat kesejahteraan sdr sekeluarga. Hajat menjadi tetamu Allah, bersolat dan bersimpuh memohon dirahmati di hadapan Kaabah dalam rumahNya di Tanah Haram nanti, harap-harap tercapai. InsyaAllah.

~Sesunguhnya dari Allah datangnya kita, akan kembali juga kita kepadaNya.~

Salam Ramadan


Kini ujana sastera saya sudahpun bersawang. Malam ini tika insan lain hampir melarik mimpi, sebelum bangun bersahur, saya ketuk papan kekunci menulis sesuatu. Ya, Ramadan sudah pun masuk hari ke sembilan. Begitu pantas waktu berlalu. Banyak peristiwa berlaku dalam keluarga saya. Subuh pertama, tika sedang bersahur, saya dikejutkan dengan panggilan dari saudara terdekat, mengkhabarkan kematian makcik Mariah. Inna-lillahi-wa inna ilaihi rajiun. Pilu mengetuk pintu hati. Genang bertakung di mata. Tidak sempat dia menikmati Ramadan tahun ini. Bisik hati kecil saya. Teringat pula berbelas-belas tahun lalu dalam bulan Ramadan, ibu juga pergi menghadap Illahi sebelum sempat menjamah sesuatu buat berbuka. Tika itu, tinggal tujuh hari lagi menjelang Syawal. Bayangkan keadaan saya adik-beradik. Menjadi serba-salah. Aidilfitri yang sepatutnya meriah tiba-tiba suram. Hati menjadi tawar, biarpun biskut dan kek disuakan pada yang bertamu. Namun ramai enggan menjamahnya kerana mahu menghormati ibu. Tiada lagi tangan yang ingin dicium memohon kemaafan di pagi Aidilfitri itu. Kerana kedua ibubapa saya sudah tiada di atas muka bumi ini.
Dalam pada mencari ketenangan dari kehilangan mak cik Mariah. Tiba-tiba daun pintu pondok usang saya diketuk seorang remaja. "Salam-mualaikum antie, ini ada bingkisan dari Farhan. " Saya ambil bungkusan dari tangannya. Sebak. Oh alangkah terha
ru apabila putera yang jauh beribu batu mengirim hadiah Aidilfitri buat adik-adik serta ibubapanya.' Hampir-hampir saya menangis. Hati kecil saya lalu berbisik, 'ingat juga dia pada keluarga.' Tidak seharipun saya lupa mendoakan kesejahteraan putera saya yang sering dirindui itu. Sentiasa.



~Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi ibubapa tidak akan ada penggantinya. Sayangilah ibu semasa hidupnya. Begitu juga ayah, 1.30 pagi, 30 Ogos 2009~

Friday, August 14, 2009

bunga api

Saya melihat bunga api malam ini. Dari pojok jendela dalam dapur yang menghala ke UKM. Tika itu saya sedang duduk di birai meja menikmati Café latte dibancuh khas oleh insan tersayang demi meleraikan lelah memandu dari Shah Alam pulang ke pondok usang di Bangi. Percikan berona biring seperti kunang-kunang itu menenangkan sukma keibuaan saya. Sejujurnya dari remaja lagi saya suka melihat bunga api. Entah mengapa. Saya suka mendongak ke langit berkali-kali melihat percikan api-api kecil yang begitu indah itu.
Jauh di lubuk kecil hati saya terus berkata-kata, mungkin juga itu acara kemuncak tanda berakhirnya majlis konvokesyen di Universiti itu. Tidakkah begitu Doktor Mawar?
Lalu tergambar wajah murni anak-anak yang sudah mencecah 40 puluh orang itu. Wajah-wajah yang sering dirindui setiap hari Khamis. Wajah-wajah ini juga bakal melangkah naik ke persada menerima skrol waktu konvokesyen nanti InsyaAllah, saya doakan kejayaan semua. (foto kredit kpd spice's photostream)

Friday, August 7, 2009

Saya rindukan tidur nyenyak


I am tired. Fizikal dan mental saya letih. Pada hujung minggu ini saya mahu matikan telefon bimbit supaya tidak dapat dihubungi sesiapa. Kejamkah saya?
Saya mahu manfaatkan masa untuk tidur. Jangan khuatir jika sahabat tidak dapat berbual dengan saya. Saya tidak ke mana-mana kerana saya ingin mengulit mimpi di kamar. Sudah lama saya rindukan tidur yang benar-benar lena selama lapan jam.
~Rock a by baby on the tree top, when the wind blows the craddle will rock, when the bough breaks the craddle will fall, and then will come baby craddle it all...ZZZZzzzZZZZ, 07 Ogos, 2009~

Tuesday, August 4, 2009

Feudalisme


Feudalisme
Wujudkah lagi?
Atau berlalu pergi
bersama penjajah Inggeris
Namun mengapa bakinya ada?
Bangsaku, insaflah
Negara kita berdaulat
Buang itu sifat
Lahiriah kita kejadiannya sama
Berdarah merah saga
Beremosi jika dicalar
mencalari jiwa terbakar
Siapa yang rugi
Puak status tinggi
Tidak petani tidak saya?
Sebenarnya kita semua


Nukilan nurani yang terguris. Bangi 03/08/09, 11 malam

Thursday, July 30, 2009

Detik yang tidak boleh diramalkan


Pemergian Yasmin Ahmad ke rahmahtullah Ahad lalu amat memeranjatkan peminat iklan-iklan Petronas ciptaan Yasmin yang direka dengan begitu kreatif sehingga berjaya mengocak emosi tenang para penontonnya. Beberapa tahun dahulu, saya begitu setia, duduk di hadapan kaca televisyen menanti berita jam 8 malam. Bukan kerana stesyen televisyen ini menyiarkan berita-berita sensasi, tetapi kesetiaan saya kepada iklan-iklan rekaan Yasmin Ahmad. Saya suka semua iklan Petronas itu. Insiden serta kisah yang diceritakan melalui kacamata Pengarah ini seolah-olah berlaku hanya semalam dalam realiti hidup masyarakat Malaysia berbilang kaum ini. Sebak, sedih dan banyak kali airmata saya menitis apabila menyingkap secebis mesej yang ingin disampaikan kepada umum. Sesekali saya rasa watak dalam cerita itu seperti diri saya sendiri. Begitulah kehebatan wanita ini. Kini bertanya saya pada diri, mungkinkah akan ada lagi iklan-iklan sedemikian selepas kita kehilangan Yasmin, tatkala Ramadan bakal menjengah beberapa minggu lagi sebelum tibanya Aidilfitri? Sejujurnya saya sudah pun merindui iklan-iklan hasil tangan Yasmin.

~tiada yang kekal, setiap yang bernyawa pasti pergi satu hari nanti, Bangi 30 Julai 2009, 11.55 malam~





Tuesday, July 21, 2009


Saya sudah pulang dalam keadaan ‘safe and sound.’ Bas dua tingkat Durian Burung yang dinaiki, meninggalkan Kota Setar tepat jam 12 tengah malam dan tiba dengan selamat di Puduraya pukul 5.30 pagi. Dalam dingin pagi Isnin itu sudah ramai warga kota bersiap sedia memulakan tugas atau perjalanan. Saya kagum insan-insan ini. Anak saudara yang saya panggil, ‘Boy’ menjemput saya. Boy yang ringan tulang serta mudah menghulur bantuan menunggu lima minit lebih awal sebelum bas sampai di perhentian. Terima kasih seluas lautan ‘Boy!’ Untuk tidak menyusahkan, saya minta dihantarkan terus ke pejabat, namun azan subuh belum berkumandang. Dia cadangkan saya berehat dahulu di rumah kakak di Selayang kerana sepanjang jalan kenangan itu, saya tidak dapat tidur. Saya dihidangkan dengan lagu-lagu Hindustan sebagai halwa telinga dari kaset pemandu bas berbangsa Melayu. Sohehlah, pemuda dalam lingkungan tiga puluhan ini peminat fanatik muzik Hindustan kerana sepanjang malam itu saya dipaksa mendengar lagu-lagu kelasik Bollywood yang cukup mengganggu. Argghhh…geram pun ada!

Tatkala beberapa sahabat menelefon di pejabat bertanya mengapa saya tidak jawab panggilan atau sms yang dihantar pada hujung minggu itu, saya berterus-terang memberitahu lokasi dan bagaimana saya memanfaatkan waktu yang singkat dengan keluarga abang selepas menghantar Fatin pulang ke kolejnya. Seronok! Saya rasa teruja. Hilang segala tensi dan tegang, talking about something and everything under the sun dengan puteri-puteri abang yang sudah meningkat remaja. Apatah lagi, segala makan minum dihidangkan lalu dilayan seperti ratu. Oh… what a life! Terima kasih abang, you are the best bro in the world ... Terima kasih sis-in-law, tell me, how may I repay your kindness?

Sempat juga ziarah saudara yang uzur dan tua. Sesekali diri jadi sebak mendengar berita menimpa saudara-mara. Ada juga yang sudah pergi buat selama-lamanya. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang. Itu doa saya.

Jika diberi kesempatan pada masa-masa mendatang menaiki bas lagi, saya akan fikir dua kali. Tiga kali. Mungkin juga banyak kali. Hehe…kelakar!


Masih berasa penat selepas bertugas di rumah jiran malam tadi, jadi penyambut tetamu kepada DYMM YDP Agong, Permaisuri Zahira serta anakanda-anakanda tengku. Bangi, 21 July 12.47am

Monday, July 6, 2009

Bas Ke Jelapang Padi


Beberapa jam lagi, saya bakal menimba pengalaman menaiki bas. Ahaah! Bukan ilmu sahaja boleh ditimba, malah pengalaman juga boleh, jika kita berhajat. Saya akan menuju ke jelapang padi, malam ini. Tatkala kenderaan atas jalanraya dikuasai sepenuhnya oleh treler panjang, lori-lori kontena yang bermuatan puluhan tan, juga van-van yang sarat dengan barang. Hmmm…mungkin juga ada kereta-kereta mewah dipandu laju oleh orang-orang muda ke arah sana, kerana esok bermula hujung minggu yang santai. Abang kandung yang sudah lama bermastautin di Anak Bukit, Alor Setar, berasa hairan, mengapa saya menaiki bas, walhal AirAsia dan firefly ada menawarkan tambang murah. “Oh, tidak mengapa, doakan sahaja kami selamat sampai ke destinasi.” Itu balas saya kepada abang yang begitu cakna terhadap adik bongsunya. Haha…kelakar! Jauh dilubuk hati, timbul juga perasaan gusar sesekali. Memandangkan beberapa insiden yang berlaku sebelum ini, melibatkan bas-bas yang dipandu dalam malam sepi oleh pemandu-pemandu yang terangguk-angguk, tergeleng-geleng melawan ngantuk. Namun, jika saya tidak menimba pengalaman itu kali ini, bilakah agaknya kesempatan bakal datang lagi? Bak kata pepatah Inggeris, ‘opportunity knocks once only.’ Apa-apa pun saya berdoa kepada Illahi, semoga melindungi saya dalam perjalanan ini, demi menemani Fatin pulang ke kolejnya di Junjong, Kulim, selepas cuti musim panas yang baru berakhir ... hehe. InsyaAllah. Doakan saya!



Tanya sama itu hud-hud yang hantarku ke mari, uptown, 12.45 tengahari 17 july 2009

Hari-hari nan sepi



Pondok usang saya di Bangi kini sepi. Semua penghuninya mulai meninggalkan kamar masing-masing. Khamis lepas, pembantu rumah asing nombor dua, pulang ke negara asalnya untuk membina masjid. Walaupun umur belum mencecah 21 tahun namun usia itu sudah diwajibkan berumahtangga. Tiga tahun yang berlalu hanya seperti semalam sahaja saya mengambilnya untuk membantu tugas-tugas domestik sambil menjadi teman kepada puteri bongsu saya. Kini yang tinggal hanya senyuman manisnya dan beberapa helai pakaian lusuh yang enggan dibawa pulang. Sebagai majikan, saya doakan kesejahteraan hidup bakal ditempuhinya kelak.

Khamis nanti pula, Farah yang sudah beberapa bulan direhatkan, akan pulang memulakan tugasnya di Kertih. Begitu juga dengan Khayra dan Afiq. Bonda doakan selamat semuanya.

Pondok yang sepi kini benar-benar sunyi. Sehingga titis air di pili jelas kedengaran walaupun pili itu sudah lama menitiskan airnya kerana getah disekeliling besinya sudah nipis. Tiada lagi hilai tawa. Tiada lagi suara yang memanggil 'ibu' di ruang tamu. Hanya tinggal kami berdua.
Harap-harap keadaan ini hanya sementara. InsyaAllah.

Tuesday, June 30, 2009

Karya Nan Kreatif


Sekalung tahniah kepada semua yang berjaya memenangi pelbagai hadiah sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil, hasil dari penulisan yang mantap lagi kreatif. Semua karya yang sudah saya baca, hebat-hebat belaka. Syabas! Tahniah sekali lagi kepada semua.




~Bangi 01 julai 2009 - 12.35 pagi~

seniman yang pergi


Seperti tidak percaya di pagi Jumaat itu, apabila diberitahu ikon pop Michael Jackson sudah meninggal dunia. 'Kaynot be' itulah reaksi saya sebaik menerima berita ini. Bungkam. Sepi bercampur sedih sementara minda berteka-teki mahu mempercayai berita yang baru disampaikan atau tidak. Teringat saya 'Talentime' waktu di sekolah menengah dahulu, pelajar laki-laki ini menyanyikan lagu 'Ben.' Ketika itu 'Ben' lagu hit siulan anak-anak muda. Masih saya ingat lagi, bagaimana sahabat-sahabat menjerit seperti diserang histeria tatkala lagu ini didendangkan walaupun insan yang menyanyikannya bukan Michael Jackson. Ya, lagu itu lagu kegemaran saya juga. Saya suka liriknya yang biasa tetapi penuh bermakna.

Seandainya Michael Jackson pergi sebagai seorang Islam, saya doakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang di sukai Allah.



~sukakan lirik i'll be there, juga nyanyian Michael Jackson, Uptown, 01 July 2.20 petang~

Wednesday, May 27, 2009

Mengapa?

Mata pena sasteraku terpanggil untuk menulis tentang mortar board. Topi unik dipakai graduan pada hari konvokesyen untuk naik pentas menerima ijazah dari Naib Canselor ataupun orang-orang kenamaan yang menjadi penaung sesebuah universiti. Melihat penutup AF7 baru-baru ini, aku terpandang tangan Aril tersentuh mortar board Hafiz, lalu topi itu jatuh ke satu pojok pentas. Sayugia, nama Hafiz pula diumumkan ketika itu. Suasana menjadi tidak tentu arah tanpa seorang pun sedar atau mengambil peduli mengutip mortar board yang jatuh di lantai itu. AC Mizal juga tidak mengambil kisah malah dia begitu gabra kulihat dan tidak profesional dalam mengawal keadaan. Aku tidak gembira, kerana adik-adik di AF7 mahupun emceenya tidak langsung menghormati malah seolah-olah mempersendakan topi graduasi ini. Jiwaku sakit. Tahukah adik-adik, betapa susahnya menamatkan sesuatu kuliah lalu berjaya dipakaikan mortar board, jubah dan hood buat penuntut-penuntut universiti yang siang malam bersengkang mata mengkhatamkan kuliah mereka? Mengapa? Adakah adik-adik fikir habuan selepas AF7 itu sudah cukup untuk memperlekehkan topi graduasi itu? Jika itulah tanggapan adik-adik, baik jangan dipakaikan mortar board, jubah dan hood pada musim AF akan datang.

~Seday, uptown 28 May 2009 ~

Wednesday, May 20, 2009

Sepetang bersama TPM dan penulis tanahair



kesempatan ke pelancaran koleksi buku-buku terjemahan siri sastera oleh institut terjemahan negara tidak ku sia-siakan. apatah lagi diri yang baru enam bulan beranjak ke graviti paradigma. naluri menebal untuk mengabdikan perjalananku dalam penulisan kreatif membawa kakiku ke hotel shangri la, putrajaya semalam. Tidakku nafikan jasmaniku tergolong dalam kategori puitis, sentimental juga sesekali sensitif jika diprovok. seronok! berkenal sapa dan bergesel bahu dengan para sasterawan negara. nama-nama agong yang lebih mesra daripada sesetengah penulis muda yang mempunyai bergulung-gulung ijazah haha... kelakar! sempat berborak dengan dato a samad said. agak lama. berkata tentang novel cinta 'salina'nya dan tempat yang dipanggil kampung kambing. tahniah soo cham, mata pena sasteranya sudah membuahkan novel 'airmata ibu,' kini diterjemahkan pula ke dalam bahasa inggeris. diri jadi serba salah dan kerdil menghadap politikus dan orang-orang kenamaan berbincang sesuatu sehingga jelas kerutan di dahi tpm malaysia. laluku mohon diri untuk menghirup air jambu batu, di luar kamar vvip. hish...mengapa gelas ini berbau kecowak? ku paksa pelayan muda sebaya kerani pejabatku mencium gelas berisi air jambu itu. 'tidak bau apa-apa puan!' uish, mesti jarang korek tahi hidung nih! 'oh tidak mengapa. small matter.' kataku. lalu gelas itu ku letak di meja. ku ambil gelas baru. tatkala berbuat demikian, kapten f&b hotel yang bernama encik lim, merapatiku dan menyapa,"is there anything wrong ma'am?" hmmm ...ya something! that glass overthere smells cochroache." ku ambil gelas lalu memintanya inhale dalam-dalam. sonder, 'hmm ...i smell something too, sort of chemical." tanpa senyum pun. hey come on, you are talking to a client. adoi naifnya, "naay...it smells cochroache." kataku. lalu gelas malang itu di bawa ke ... entah, i presume dapurla kot. tanpa meminta maaf ... grrr ... never mind, small matter. atmaku berfikir, mengapa tidak ramai orang muda kini yang suka senyum? walhal line yang diceburi berkaitan dengan pelanggan. ah malas hendakku tafsirkan. mungkin dia sakit gigi, haha. kini aku senyum sendiri terbayangkan gelagat seorang sasterawan wanita yang empat kali bertukar tempat duduk sambil senyum-senyum kambing menampakkan baris gigi, ada yang rongak. hehehe ... kelakar! mengapa pula aku lupa rule of thumbs dalam karangan? setiap ayat baru harus guna capital letters. bertukar-tukar kad nama dengan seorang pejuang bahasa melayu ... sedih, semua perkataan yang keluar dari ulas bibir bergincu merahnya bahasa inggeris semata. alahai is this a joke? entah...


petang lesu, uptown, 20 may 2009

Sunday, May 17, 2009

Hari Guru


'Selamat hari Guru.' Bila? Aha...kelakar! Tarikhnya memang saya tidak ingat. Dahulu, ketika anak-anak masih di bangku sekolah, sering saya diminta menyediakan sepuluh sebelas hadiah yang berlainan untuk diberikan kepada 'favourite teachers' anak-anak. Mak ai ramainya fav teachers. Kata Farah, semua cikgu mesti diberikan hadiah, jika tidak ada yang akan berasa hati. Lain pula dengan Farhan, ustazah seorang inilah favouritenya. Setangkai mawar merah hati sering dihadiahkan kepada ustazah. Sayangnya, pada satu penggal itu dia dirotan ustazah hanya kerana dia menoleh belakang apabila rakan se darjah bertanyakan sesuatu. Rotan itu hinggap di pipi kanannya sehingga berbekas. Dia malu kepada rakan-rakan lain. Insiden ini menyebabkan dia tidak lagi menghadiahkan mawar kepada ustazah itu. Lain pula dengan Fatin yang kini sudah pun memulakan kursus 'asasi sains' di KMK, Junjung, Kedah. Sedikit kreatif, dia membuat sendiri kad ucapan, kemudian menampal potraitnya supaya setiap guru mengingati wajahnya. Kekreatifannya metah berkesan. Sehingga hari ini, setiap guru yang bersua muka dengan Fatin masih mengenalinya.

Waktu di sekolah rendah dahulu, seorang guru lelaki menjadi favourite saya. Dia kacak lagi bergaya. Sedihnya, pada suatu pagi saya terlambat sampai ke sekolah. Lalu saya didenda mengutip sampah. Kata cikgu, 'Sampah sahaja.' Saya fikir daun-daun kering juga sampah. Akibatnya saya ditampar sehingga berdesing telinga. Sangat sakit. Saya menangis. Sejak itu saya bencikan dia. Saya tidak lagi senyum apakan mengucap selamat kepadanya. Berita terakhir saya dengar dari sahabat, dia sudah meninggal dunia. Maafkan saya cikgu. Namun hingga hari ini saya bertanya pada diri, bukankah daun-daun kering itu juga sampah?


~Teringat lagu 'To sir With Love' nyanyian Lulu, Bangi 18/05/09, 2.02am~

Friday, May 15, 2009


Hari Ibu baru sahaja berlalu. Saya terima banyak sms dari sahabat mengucapkan 'Selamat Hari Ibu.' Sebagai menghargai ucapan sahabat, saya juga membalas sms dengan memberi ucapan yang sama. Bagi mengingati ibu yang sudah lama pergi menghadap Illahi, saya ke pusaranya. Saya bersihkan rumput-rumput liar hidup segar di sekeliling batu nisan ibu. Bukan kerana ianya hari ibu, tetapi saya memang sudah lama merindui dan akan sentiasa rindukan ibu saya :(


~teringat puding labu ibu yang enak, Bangi, 18 May 09, 1.19am~

Sunday, May 3, 2009

Seni makan

Birasku yang dulu gendut kini kelihatan langsing atas disiplin diri mengamalkan diet sihat. Setiap hari dia makan oats dicampur buah-buahan segar. Digamit rasa ingin mencuba. Apatah lagi impian menurunkan berat sentiasa berkobar-kobar dan baju se almari yang setia menunggu untuk disarungkan semula seperti dulu. Aku sudah cuba diet sihat ini. Hari-hari kerja, menu makan tengahariku hanya oats organik dicampur hirisan pisang dan sekotak kecil kismis. Ummmph...enak lagi berkhasiat. Kismis membantu memori lebih mengingati tarikh-tarikh penting. Tetapi mengapa beratku tidak juga turun-turun? Di manakah silapnya diet sihat ini? Uish, tidak boleh jadi...serasanya berpuasa hari Isnin dan Khamis lebih bagus dari makan oats dengan buah segar. Teringat aku Professor Chad Saleem Faruqi yang mengamalkan diet cara Islam ini. Dia kelihatan fit dan bertenaga walaupun sudah berusia.


~Eat what you can and can what u cannot, Bangi 12.28am 04 Mei 2009~

Thursday, April 30, 2009

Sungguh dodgy

The Dodger & The Dipper
Tajuk cerpen ini menarik perhatianku. Tetapi mengapa teksnya dalam Bahasa Melayu? Tidak dapatku gambarkan, jika ada karya William Shakespeare diberikan tajuk Bahasa Melayu. Kemudian teksnya dalam Bahasa Inggeris. Contoh "A midsummer night's dream" ditukar jadi, 'Mimpi di malam pertengahan musim panas.' Akankah penganalisis karyanya pertikaikan atau berkata sesama sendiri, "biar betul mamat Shakespeare ini."
Hmmm... jom pekena kopi dulu!

Thursday, April 16, 2009


Secebis Sastera dari Hamka

Setiap agama punya rukun dan syarat. Ada sunat, makruh ada pula kewajipan yang diharamkan. Agama menentukan batas yang tidak boleh dilampaui begitu sahaja. Rukun yang tidak boleh dikurangkan. Setiap perintah - solat, puasa, zakat dan haji, ibarat panji-panji berkibar megah. Simbol penyatuan Islam. Segala rukun agama mengikat penyatuan, menegakkan perdamaian umat di bawah satu komandor sebagai tentera Allah. Tentera yang mesti menang di atas muka bumi ini. Sewaktu agama lain mengatakan Tuhan itu berempat, berlima, berpuluh dan berdozen, kita tegak menjadi tenteraNya, mempertahankanNya. Mengatakan Dia Yang Maha Esa, Dia Yang Maha tunggal. Tidak berteman. Tidak berjodoh. Tidak beranak dan tidak pula dilahirkan. Tatkala agama lain mendurhakaiNya, menyuruh mengerjakan maksiat dan mengabaikan perintahNya, kita tegak bersaf-saf memuji dan menyanjungNya. Solat, tanda pertalian kita dengan Allah. Sempurnakah solat saudara hari ini?




~Uptown 6.30 petang 16 Apr 2009, sudah pun masuk hari Jumaat~

Sunday, April 5, 2009

Kecewa

Kecewa lagi.
Mungkin belum cukup bagus untuk dipersembahkan kepada umum sebagai bacaan pagi Ahad yang santai.
Melihat cerpen sahabat dalam MM, kecewa mengocak kedamaian hati. Diri seperti merajuk. Naluri tertanya-tanya, bila lagi? Ahh...seperti wine yang belum sampai tahap vintagenya, begitu juga nasib cerpen-cerpenku.
Atau barangkali, cerpenku tidak sehebat cerpen sahabat yang sudah lama berkarya. Hmmm...ku pujuk diri bersabar...sabar...sabar. Seharianku kerjakan pelbagai aktiviti, membawa lari minda hampa dari berfikir tentang hasil penaku belum sebagus orang-orang hebat. Atau sudah takdir...bak sebentuk cincin bertatah marjan diberi Napoleon kepada Josephine, berukir perkataan "destiny." Namun itu sama sekali tidak mematahkan semangatku untuk terus berkarya.


~I believe I can fly, I believe I can touch the sky, thingking 'bout you every night and day, spread my wings and fly away, Bangi 6 April 09,12.35pm~

Friday, April 3, 2009

Notebook yang letih



Entah mengapa, beberapa hari lepas, Acer notebook yang berusia hampir empat tahun buat hal. Mula-mula, kipasnya tidak berfungsi, menyebabkan ia panas walau baru beberapa minit membukanya. Kemudian ia langsung tidak mahu menunjukkan skrin putihnya, walaupun punat 'on' ku tekan begitu gentle sekali. Keadaan ini menyebabkan diri berasa sedikit tertekan. Banyak yang perlu ku bereskan setiap hari selepas waktu isyak. Aku perlu menaip kerja-kerja kebajikanku, kerja sekolah, juga kerja sasteraku di waktu malam tatkala insan-insan lain sudahpun berdengkur diulit mimpi indah. Kawan kata aku ini a night person. Bertenaga pabila mentari sudah mahu menyembunyikan wajah. Entah, aku tidak pasti tentang itu. Yangku tahu, aku memang gemar malam. Suasana sunyi di Bangi metah tenteram. Sunyi lagi tenang dengan lampu-lampu jalan menuju ke UKM begitu jelas dilihat dari jendela kamar sepi tempatku bekerja. Merenung lama lampu-lampu neon dalam malam yang sesekali kedengaran bunyi nyaring motorsikal kapcai ditekan minyaknya, ilham datang mencurah-curah. Ah! Kelakar. Ada juga masa-masa sonder idea, walaupun nyaring bunyi motorsikal bertalu-talu datang dan pergi. Papan kekunciku ketuk sahaja tanpa menurunkan apa-apa cerita. Itu juga kelakar.
Kini notebook ku berbakti semula selepas dibaiki Heng, pemuda Tionghua yang punya kedai di Low Yat Plaza dua hari lepas. Heng beri khidmat percuma kerana dia kawan sekolah puteraku.

~i spread my wings and i 'll learn how to fly, i 'll do what it takes till i touch the sky, I'll make a wish, take a chance, make a change and breakway, tengah malam di Bangi~

Wednesday, March 25, 2009

Ulasan Cerpen berharga 50 sen


Aku belum benar-benar kompeten (competence) mengulas cerpen sahabat yang sudah lama menulis. Namun, membaca ulasan cerpen Putih Kelir Pewaris Merah Muleta (MM 22 Mac 2009) dengan cerpen
Gadis Matador dan Lembu Jantan (MM 25 Feb 2007) inginku coret pendapat lima puloh senku di sini. Kulihat dari segi psikologi juga dari kaca mataku sebagai pembaca biasa, cerpen PKPMM, cerpen percintaan nan indah lagi halus bahasanya. Penulis mengaitkan rona putih kelir dan el traje de lucas ditebar matador dalam pertanding lawan lembu. Satu aktiviti sihat musim panas di Sepanyol. Hubungan kasih-sayang dua insan terjalin antara Fatimah, gadis dari Tanah Seluas Sekebun Bunga dengan Eduardo yang masing-masingnya pewaris kepada dua tradisi berbedza. Wayang Kulit dan Laga Lembu. Sementara dalam Gadis Matador dan Lembu Jantan, penulis berjaya menarik diriku menjiwai watak Medina, keturunan ketujuh Matador Cantajelo, legenda bertarat dunia. Cerpen ini tidak aneh padaku tetapi sedikit unik kerana dari sudut psikologi, kasih sayang pasti terjalin di antara manusia dan haiwan apatah lagi jika haiwan itu dibelai setiap hari untuk beberapa ketika. Aku seperti empati lalu sedih tatkala Antonio mendesak Medina melawan Banderas (Lembu jantan) di bawah jagaanya itu dalam gelanggang, ditontoni penonton yang mempertaruhkan wang jutaan Peseta, seseparuhnya sudah pun meramalkan Medina bakal tewas ditangan Banderas hanya kerana dia seorang wanita dalam sukan yang dianggotai kaum pria. Diselit dengan beberapa kata hikmah seperti, ‘di kalangan manusia banyak haiwan, di kalangan haiwan pun ada manusia’ menjadikan cerpen ini terusku baca. Ada beberapa fakta sengaja dikreatifkan penulis seperti Plaza De Toros. Digambarkan sebesar sembilan buah padang bola. Sejujurnya dan setahuku, gelanggan ini tidak luas sebab lokasinya sedikit jauh dari kota Madrid. Memadai jika ia digambarkan seluas Stadium Melawati Shah Alam sahaja. Bullfight Rings yang besar-besar terletak di Cordoba, Seville dan Madrid. Sebagai pembaca, aku selesa jika di kekalkan nota kaki, kerana dalam penulisan ilmiahku, inilah yang diminta. Andainya penulis menterjemah Bahasa Sepanyol ke Bahasa Melayu, ia bakal mencacatkan cerpen indah ini, sementara cerita pula jadi meleret-leret. Tatkala diberi kesempatan melihat beberapa corrida berlatih dengan novillo liar pagi itu dalam gelanggang di kota Madrid, teman-teman sayu. Tidak mahu corrida kacak berkulit merah jambu jadi korban kepada sukan ini. Aku tidak beranggapan begitu. Sayu sedihku metah ketara waktu melawat Al-Hambra, Istana zaman kegemilangan Andalus, dindingnya penuh berukir ayat-ayat Quran. Sungguh indah. Sunguh mengkagumkan. Peninggalan sejarah ini pernah dijadikan gereja oleh puak Christian selepas empayar Andalusia tewas. Aku hampir saja rebah pilu namun sempat memegang sebatang tiang dalam istana lambang sejarah keagongan Islam itu tatkala selesai mendengar empayar Osmaniah (Ottoman) juga mengalami nasib yang serupa. Kata Erma, pemandu pelancung asal usul berdarah Arab, mungkin juga Islam tewas atas beberapa sebab, antaranya - judi, arak, perempuan, tamak haloba, terlalu berpuas hati dengan sesuatu kejayaan dan tidak bersatu.
Glossari:
Tanah Seluas Sekebun Bunga - Kelantan. Peseta - matawang Sepanyol. El traje de lucas - kain rona merah bagi menarik perhatian lembu. Plaza de Toros - Gelanggang laga lembu. Corrida - Metador muda. Novillo - lembu muda.
Zu, Louis,aku dan Erma suatu ketika dulu.
~Teringat 'Payaya' dihidang, terpaksaku makan dengan menutup hidung~ Bangi 11.53pm