Saturday, August 29, 2009

pagi yang sebak


Kicauan burung-burung comel sudah mula terdengar dari jendela dapur. Saya tidak tidur seusai sahur tadi. Saya manfaatkan waktu melayari semua laman sesawang termasuk kepunyaan saudari Rahayu Roslan (my journal - a journey to an end). Menatap diari kehidupan dia dan keluarga, saya menjadi sebak. Hati tersentuh pada baris-baris ayat ini.

"Umur saya mungkin tidak panjang mengikut kiraan pakar-pakar perubatan yang membuat jangkaan melalui kajian dan mengikut statistik sahaja. Saya tidak salahkan pakar-pakar ini. Malah saya tidak mahu tahu dan bertanya berapa lamakah lagi tempoh itu. Biarlah ia menjadi rahsia. Sedangkan tempoh umur setiap insan sudahpun ditetapkan Allah dari azali lagi. Pakar-Pakar itu hanya menjalankan tanggungjawab kerja dan menyampaikan apa yang dipelajari melalui pengalaman sahaja. Walaupun kata pakar saya tidak punya harapan sembuh kerana barah itu sudah sampai ke tahap empat, namun saya yakin Allah menurunkan sesuatu sakit beserta penawarnya. Saya menunggu rahmat itu. Kesembuhan bagi penyakit saya ini. Sesungguhnya Dialah yang Maha Penyembuh juga menentukan ajal maut saya."

Sdr Rahayu, tabahkan hati menempuh dugaan ini. Sebagai insan biasa saya panjatkan doa buat kesejahteraan sdr sekeluarga. Hajat menjadi tetamu Allah, bersolat dan bersimpuh memohon dirahmati di hadapan Kaabah dalam rumahNya di Tanah Haram nanti, harap-harap tercapai. InsyaAllah.

~Sesunguhnya dari Allah datangnya kita, akan kembali juga kita kepadaNya.~

Salam Ramadan


Kini ujana sastera saya sudahpun bersawang. Malam ini tika insan lain hampir melarik mimpi, sebelum bangun bersahur, saya ketuk papan kekunci menulis sesuatu. Ya, Ramadan sudah pun masuk hari ke sembilan. Begitu pantas waktu berlalu. Banyak peristiwa berlaku dalam keluarga saya. Subuh pertama, tika sedang bersahur, saya dikejutkan dengan panggilan dari saudara terdekat, mengkhabarkan kematian makcik Mariah. Inna-lillahi-wa inna ilaihi rajiun. Pilu mengetuk pintu hati. Genang bertakung di mata. Tidak sempat dia menikmati Ramadan tahun ini. Bisik hati kecil saya. Teringat pula berbelas-belas tahun lalu dalam bulan Ramadan, ibu juga pergi menghadap Illahi sebelum sempat menjamah sesuatu buat berbuka. Tika itu, tinggal tujuh hari lagi menjelang Syawal. Bayangkan keadaan saya adik-beradik. Menjadi serba-salah. Aidilfitri yang sepatutnya meriah tiba-tiba suram. Hati menjadi tawar, biarpun biskut dan kek disuakan pada yang bertamu. Namun ramai enggan menjamahnya kerana mahu menghormati ibu. Tiada lagi tangan yang ingin dicium memohon kemaafan di pagi Aidilfitri itu. Kerana kedua ibubapa saya sudah tiada di atas muka bumi ini.
Dalam pada mencari ketenangan dari kehilangan mak cik Mariah. Tiba-tiba daun pintu pondok usang saya diketuk seorang remaja. "Salam-mualaikum antie, ini ada bingkisan dari Farhan. " Saya ambil bungkusan dari tangannya. Sebak. Oh alangkah terha
ru apabila putera yang jauh beribu batu mengirim hadiah Aidilfitri buat adik-adik serta ibubapanya.' Hampir-hampir saya menangis. Hati kecil saya lalu berbisik, 'ingat juga dia pada keluarga.' Tidak seharipun saya lupa mendoakan kesejahteraan putera saya yang sering dirindui itu. Sentiasa.



~Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi ibubapa tidak akan ada penggantinya. Sayangilah ibu semasa hidupnya. Begitu juga ayah, 1.30 pagi, 30 Ogos 2009~

Friday, August 14, 2009

bunga api

Saya melihat bunga api malam ini. Dari pojok jendela dalam dapur yang menghala ke UKM. Tika itu saya sedang duduk di birai meja menikmati Café latte dibancuh khas oleh insan tersayang demi meleraikan lelah memandu dari Shah Alam pulang ke pondok usang di Bangi. Percikan berona biring seperti kunang-kunang itu menenangkan sukma keibuaan saya. Sejujurnya dari remaja lagi saya suka melihat bunga api. Entah mengapa. Saya suka mendongak ke langit berkali-kali melihat percikan api-api kecil yang begitu indah itu.
Jauh di lubuk kecil hati saya terus berkata-kata, mungkin juga itu acara kemuncak tanda berakhirnya majlis konvokesyen di Universiti itu. Tidakkah begitu Doktor Mawar?
Lalu tergambar wajah murni anak-anak yang sudah mencecah 40 puluh orang itu. Wajah-wajah yang sering dirindui setiap hari Khamis. Wajah-wajah ini juga bakal melangkah naik ke persada menerima skrol waktu konvokesyen nanti InsyaAllah, saya doakan kejayaan semua. (foto kredit kpd spice's photostream)

Friday, August 7, 2009

Saya rindukan tidur nyenyak


I am tired. Fizikal dan mental saya letih. Pada hujung minggu ini saya mahu matikan telefon bimbit supaya tidak dapat dihubungi sesiapa. Kejamkah saya?
Saya mahu manfaatkan masa untuk tidur. Jangan khuatir jika sahabat tidak dapat berbual dengan saya. Saya tidak ke mana-mana kerana saya ingin mengulit mimpi di kamar. Sudah lama saya rindukan tidur yang benar-benar lena selama lapan jam.
~Rock a by baby on the tree top, when the wind blows the craddle will rock, when the bough breaks the craddle will fall, and then will come baby craddle it all...ZZZZzzzZZZZ, 07 Ogos, 2009~

Tuesday, August 4, 2009

Feudalisme


Feudalisme
Wujudkah lagi?
Atau berlalu pergi
bersama penjajah Inggeris
Namun mengapa bakinya ada?
Bangsaku, insaflah
Negara kita berdaulat
Buang itu sifat
Lahiriah kita kejadiannya sama
Berdarah merah saga
Beremosi jika dicalar
mencalari jiwa terbakar
Siapa yang rugi
Puak status tinggi
Tidak petani tidak saya?
Sebenarnya kita semua


Nukilan nurani yang terguris. Bangi 03/08/09, 11 malam