Saturday, October 10, 2009

Demi Lebaran






Lebaran masih dirasai, walaupun sudah 20 hari berlalu. Oh ya, sehari sebelum Lebaran, cerpen saya yang digarap beberapa waktu dahulu, "Demi Lebaran" disiarkan dalam Berita Harian. Sementara seminggu selepas itu, sebuah lagi cerpen, "Gemerlap Cahaya Syawal" disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Sekalung terima kasih buat dua editor di dua buah agensi akhbar gergasi ini. Terharu saya dibuatnya.

Esok genap 21 hari Aidilfitri. Esok juga beberapa tetamu bakal berkunjung bersarapan di pondok saya. Sementara menanti kuah laksa mereneh di dapur, saya manfaatkan masa mengetuk papan kekunci komputer riba, juga mengklik tetikus menghala kepada anak panah membaiki mana-mana sendikata yang perlu. sebetulnya agak sukar mencari ilham memulakan sesuatu penulisan. Begitu juga mengakhirinya, agar cerita tidak tergantung mahupun menyentuh mana-mana perasaan insan yang membacanya.

Sesekali saya guna nama-nama Islam kerana saya selesa akan nama-nama itu. Entah mengapa tanpa sedari nama-nama dalam cerpen "GCS" mirip akan nama-nama anak saudara. Aduh, anak-saudara seorang ini sudah berasa hati kerana saya tidak menyebut namanya dalam karya saya. Kelakar! Untuk berlaku "adil" kini saya disarankan menulis nama anak-anak saudara yang belum pernah disebut dalam penulisan saya. Alahai kelakarnya!

Kepada anak saudara yang dikenali sebagai "Bud," terima kasih kerana membaca setiap cerpen saya. Teruskan membaca ya. Ringan-ringankan mulut memberi komen juga.

Hmmm...jam hampir menunjukkan pukul dua pagi. Kuah laksa Penang saya juga sudah mula menggelegak. Esok cuma tinggal dimasukkan isi-isi ikan sahaja. Errmm...setakat ini sahaja coretan mata pena saya. Saya harus bereskan tugas lain sebelum masuk beradu demi kesihatan yang kurang baik kebelakangan ini.