Sunday, November 29, 2009

Selamat bercuti


Bercuti?

Aidil Adha baru sahaja diraikan. Ada yang pulang ke kampung asal menyambutnya Cuti sekolah pun sudah bermula. Panjang pula. Lebuhraya Seremban tidak lagi sesak. Memandu dari Bangi ke pejabat hanya mengambil masa antara 30 – 45 minit. Seronok betul! Heheh.

Jika bukan musim cuti, Subhanallah, kesesakan lalulintas begitu
menyakitkan. Yang pasti keselesaan ini hanya sementara hingga akhir Disember. Tiba tahun baru, keadaan kembali seperti sediakala.

Ramai mengambil kesempatan membawa keluarga pergi makan angin. Sama ada bercuti dalam negara ataupun keluar negara, sama sahaja, pokoknya, ‘makan angin.’

Beberapa hari lagi, saya juga bakal pergi ‘makan angin.’ Tempatnya, alahai tidak perlulah saya sebut. Rahsia!

Sahabat semua bagaimana? Hendak ikut saya?
~ waktu makan, Damansara Uptown, 30 Disember 2009 ~

Friday, November 20, 2009

Hari kanak-kanak sedunia




Esok, Sabtu 21 November 2009, hari kanak-kanak sedunia. Bawalah anak-anak keluar beriadah, belanja makan, menonton atau lakukan sesuatu bersama yang boleh menghiburkan hati. Sebenarnya tidak sukar berbuat demikian. Syaratnya ibubapa, abang dan kakak perlu ada idea bagaimana hendak menghiburkan adik-adik. Apa tunggu lagi? Rancanglah sesuatu petang ini kerana esok hari kanak-kanak se dunia.


~Teringat lagu Michael Jackson, "We are the World, we are the children," 20 Nov 09, uptown Damansara Utama~




Saturday, November 14, 2009

Pagi yang gelap kini sudah terang


Bait -bait itu sebenarnya lirik lagu nyanyian kumpulan Band Hujan. Hari minggu saya begitu unik pagi ini. Ketika fajar baru menunjukkan wajah, saya sudah turun ke bahagian bawah lalu membuka luas semua jendela. Udara juga begitu nyaman seusai dibasahi hujan semalam. Haha...lalu saya membuka pintu menuju ke dapur basah yang terletak di bahagian belakang menghadap pohon-pohon hijau bersebelahan tanah kosong yang curam. Tiba-tiba saya tergamam. Langkah saya terhenti. Saya melihat sepasang burung helang bertenggek di dahan pohon akasia hampir dengan pagar dapur saya. MashaAllah, begitu cantiknya unggas ini. Paruh yang runcing dengan bulu dada berwarna perang sungguh lawa ketika ia mengembangkan sayap terbang megah di atas kepala. Hampir 20 minit unggas ini bermain 'ciku cak' dengan saya. Ketika mata liar mencari kelibatnya, ia menyuruk disemak-semak, tatkala saya buat-buat tidak nampak, ia terbang rendah seolah-olah mahukan perhatian. Oh Tuhan, indah sekali pagi ini hingga sukar digambarkan mahupun dicoretkan dengan bahasa sastera saya. Terima kasih Allah buat pagi yang amat bermakna ini.


~I've given u too much, i'm takng back my luv, i'm taking back my luv, taking back my luv, my luvvv.. Bangi 15 November 2009.

Wednesday, November 4, 2009

Anugerah Sasterawan Negara


Sudah hampir sepurnama anugerah sasterawan negara diwatikahkan kepada Dato Dr Anwar Ridhwan. Sekalung tahniah buat pemenangnya. Saat bersejarah ini diraikan di Istana Kuda Emas, di Tin Mines. Majlis gilang-gemilang yang dihadiri cendekiawan, karyawan, sasterawan serta penulis-penulis lain termasuklah penulis sehalus semut seperti saya.

Sedikit Petikan ucapan Dato Dr Anwar Ridhwan, "Wahai segala arif permata,Janganlah apa fakir dikata, Kalam buruk kertasnya lata, Menyuratnya tidak ada pelita."

Semeja dengan sdr Faizal Tehrani, beberapa editor dari Karangkraf, orang-orang akhbar, juga Sifu Z. Meja yang terletak sedikit pojok, menyukarkan saya mengabadikan portrait pemenang kerana objek yang difokus begitu kecil. Jadi, saya batalkan sahaja hajat mengambil foto malam itu.

Selingan kepada pementasan "Hari-Hari Seorang Seniman," juga dipersembahkan kepada Baginda Tuanku dan Sultanah Zahirah. Watak seniman ini pula dilakonkan oleh seorang dramatis lelaki tempatan. Melihat wajah dramatis ini, teringat saya kepada penulisan anak gadisnya, yang berbunyi (selepas diterjemah ke dalam Bahasa Malaysia):

"Betapa saya merindui wajah ayah dan berimpian mencium tangannya setiap kali di pagi Syawal seperti dahulu. Namun ayah tinggal berbatu-batu jauhnya dari ibu dan saya. Ayah kini sudah punya keluarga baru di tanah kelahirannya... "

Bari-baris atas sudah cukup menyentuh perasaan keibuaan saya pabila merenung wajah redup lagi pendiam anak ini, setiap Jumaat ketika di dalam kamar kuliah.


~berasa hairan mengapa seorang penulis ini tidak tegur mahupun bersalaman dgn Sifu Z ketika dia lalu dihadapan kami, Uptown 4 Nov 2009, 4.30 petang~

Monday, November 2, 2009

Dewan Budaya keluaran November 2009


Syukur! Berkat kesabaran selama berbulan-bulan, akhirnya, cerpen 'Kau Anakku Sangeeta' terbit dalam Dewan Budaya, keluaran November 2009. Terima kasih Sifu, atas segala nasihat dan tunjuk ajar dalam menangani cerpen yang mengangkat martabat wanita ini. Kepada Azmarini, jasa sdr tidak mungkin saya lupa. Terima kasih DBP!
Kepada sahabat yang gemar membaca cerpen, jangan lupa dapatkan senaskah majalah Dewan Budaya bulan November 2009
Amin.
Kini, menunggu kemunculan cerpen, 'Shakuhachi dari Ikedako,' pula :), Uptown, 3 Nov 2009 - 3 petang.

Why do old people wake so early? Is it to have one longer day?


Petikan di atas saya ambil dari novel agung Ernest Hemingway, "The Old Man and The Sea." Tatkala direhatkan di hospital Selayang kelmarin atas sebab-sebab kesihatan, saya baca novel ini dan berasa terharu dengan kedaifan seorang nelayan tua yang tidur berbantalkan lipatan celana yang disumbat suratkhabar. Celana yang sama akan dipakai keesokan harinya. Aduh, sedihnya! Tetapi sikap cekal dan keras hatinya tidak seorang pun dapat menandingi.

Dari pojok lain, beberapa kali Ernest menggambarkan jauhnya mentari itu dalam bait-bait berikut, "The sun is one mile high...," "The sun was two miles higher..." Jika diterjemah ke dalam bahasa ibunda, ianya berbunyi, "Mentari sudah naik segalah," "Mentari sudah naik tinggi di dada langit." Heheh ... apa kata Sifu saya? Sedapkah bunyinya?
Dia minum hanya kopi hitam sementara makanan hariannya ikan sardin dan tuna. Dia juga menukar sesuatu keperluan hidup dengan kepala ikan-ikan besar hasil tangkapannya kepada Pedrico, seperti suratkhabar semalam. Aduh sekali lagi simpati saya kepada Ernest.

Namun sebaris ayat ini menarik perhatian saya. Bunyinya begini, "But he thought, I keep them with precision. Only I have no luck any more. But who knows? Maybe today. Everyday is a new day. It is better to be lucky. But I would rather be exact. Then when luck comes, you are ready." Benar, setiap ha
ri itu hari baru. Jika tidak bernasib baik hari ini, mungkin esok rezeki kita lebih baik.

Kepada insan-insan yang mencari novel 99 halama ini, sila berkunjung ke Kinokuniya di Suria KLCC. Ia dijual dengan harga 29.90 ringgit senaskah.

Mengenai sakit saya? Dari artikel Dato Dr Norashikin dalam MM 1 Nov 2009, ianya dipanggil "prolonged stress." Stress? Boleh jadi juga betul. Boleh jadi juga tidak. Uish! Bagaimana ianya sudah kekal dalam tubuh ini? Setahu saya ada-ada masa memang saya berasa tertekan. Siapa tidak?

Teringat akan sajak "Sudah Kudengar," Kemala, bait-baitnya betah meremangkan bulu roma, Bangi 02 Nov 2009, 1.35 pagi