Monday, September 28, 2009

Salam Lebaran



Masa sering mencemburui kita lantas begitu pantas pergi. Adakah kita mengejar masa atau masa yang mengejar kita, fikir-fikirkan! Haha... Sudah sembilan hari pula Aidilfitri diraikan. Adakah kita sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar... yang mana satu? Kepada yang sudah mula berpuasa enam, selamat berpuasa 6 saya ucapkan. Semoga sahabat semua mendapat barakah pahala yang berlipat ganda dariNya.
Lebaran tahun ini saya pulang ke Pasir Putih, Kelantan. Bukan apa, cuma saya rindukan kemeriahan Syawal di desa, tambah pula sudah lima tahun saya tidak pulang beraya di sana. Kemeriahan Aidilfitri lebih terasa dari meraikan Lebaran di kota. Itu tanggapan saya, mungkin juga tidak kepada sesetengah insan lain. Kediaman Ibu mertua terletak betul-betul di simpang jalan ke Sekolah Kamil. Senang mencarinya. Di hadapan rumah pula ada sebuah kedai runcit dibina arwah ayah mertua tatkala dia hidup dahulu. Kini, kedai itu disewakan dan perniagaannya pula bertukar kepada percetakan oleh orang yang menyewanya. Begitulah masa berlalu, dahulu lain kini pula lain. Begitu juga keluarga di sebelah suami. Saya congakdharab, jumlah yang pulang tahun ini seramai 63 orang semuanya. Besar sungguh famili ini kan! Bayangkan keseronokan berebut menggosok baju baru pada malam hari raya, kemudian berebut pula masuk bilik air di pagi Syawal menyiapkan diri untuk ke masjid bersembahyang raya. Siapa lambat, alamat ditinggalkan. Kepada anak-anak saudara yang tidak mahu tertinggal, terus mengambil jalan pintas dengan mandi di sumur yang terletak di bahagian dapur basah. Haha...pagi itu lecahlah semua pojok dapur basah itu. Terdengar riuh suara merdu ibu mertua yang amat pekat telo kelantannya. Pada biras-biras yang baru menjadi ahli keluarga, beranggapan keriuhan itu adalah suara kemarahan ibu mertua, tetapi sebenarnya tidak begitu. Anak-anak yang lahir dan dibesarkan di kota, walaupun tahu menceduk air dari sumur, sesekali terlucut juga kain basahan yang membaluti badan. Yang lain tu, pembaca bayang-bayangkanlah. Haha...kelakar kan!

Selamat Hari Raya kepada sahabat semua. Minal Aidil wal faidzin. Kepada Ru'Aina yang sudah terbang ke bumi Anbiya, selamat menjadi warga universiti Al-Azhar. Semoga sukses dan cemerlang sokmo!

~Sesekali teringat akan umat Islam di Palestin dan Aghanistan...adakah Aidilfitri insan-insan ini semeriah kita di Malaysia?, Bangi 29 Sept 1.14pagi~