Friday, July 22, 2011

Ujian Demi Ujian



Saat umat Islam girang menyambut nisfu syaaban, famili saya ditimpa duka. Saudara terdekat meninggal dunia pada Khamis malam Jumaat lalu kerana sesak nafas. Begitu pantas perginya. Sakit seketika terus tenat lalu pergi buat selamanya. Aduh, nyawa yang begitu fragile. Kembara yang sudah berpenghujung. Tanpa sempat menyelak kitab baru. Keluarga saya masih berkabung dengan pemergian saudara ini. Dia darah daging kami. Perjalanannya bertemu Pencipta yang begitu senang. Saat dimasukkan ke liang lahad, tiada teman, tiada rakan yang mengiring. Hanya adik beradik saya. Tidak juga anak angkat yang di besarkan hingga dewasa lalu semua kekayaan diturunkan pada anak "orang" ini. Sayang...pabila ayahnya sakit, anak yang pernah dibelai dan diberi kasih seperti anak kandung itu tidak mahu menjaga orang tuanya. Aduh! Kacang yang benar-benar lupakan kulit. Lalu dia dibuang seperti sampah. Pilu. Saudara ini menghubungi kakak merayu mengambilnya. Dia ingin menumpang teduh di bawah satu bumbung demi sisa-sisa hidupnya. Jadilah dia sebahagian dari keluarga kakak. Juga keluarga kami. Entah mengapa, sejarah hidupnya begitu menyentuh sanubari ini. Ada ketika saya sebak mengenang takdirnya. Saya mohon kehadrat Ilahi semoga anak "pungutan" yang sudah kaya itu insaf dan menziarah kubur ayahnya. Biar barang seketika.


Saudaraku, semadilah dengan tenang. Al-fatihah.

Wednesday, June 29, 2011

Sepi terus meruntun jiwa

Semakin saya merapatkan diri kepadaNya, bertubi-tubi pula ujian yang menimpa. Seperti tidak mampu lagi bahu kecil ini memikul. Namun saya redha. Ingin saya berkongsi kesedihan bersama teman... aahh... siapalah yang bersimpati. Siapalah agaknya yang peduli. Sebaliknya saya diminta jangan beremosi. This is so pathetic! Kemanakah perginya segala sifat perikemanusiaan orang kita? Bangsa yang tersohor dengan kelembutan dan keramahan. Adakah sifat itu pupus seperti lupusnya sesetengah unggas yang kini diberi perlindungan?

Hairan... rakan seperjuangan yang bukan seagama pula beria-ia mengutus simpati. Meminta saya banyak bersabar...sedangkan insan ini tidak pernah saya angkat atau sanjung kerana dia bukan rumpun saya. Sedikitpun tidak terlintas untuk mengharapkan sesuatu. Memadai sekadar mengucapkan, "Saya bersimpati dan dapat rasakan apa yang saudari lalui." Ia sudah tentu meringankan kepiluan saya. Sayang...itu semua tidak berlaku! Sedikit peculiar!


~Menanti kehadiran hikmah...bilakah akan tiba? Di meja sastera, Bangi 12.15 mlm, 30/6/2011~

Wednesday, June 15, 2011

DBP




DBP oh DBP!

Janganlah menganaktirikan IPTS.

Ish...ish sangat sedih!










~Ikram 11.pagi sedang berehat memikirkan DBP, 16 Jun 2011~

Tuesday, June 14, 2011

Bumi berputar, zaman beredar










Gegaran meja yang ketara menyentak kekhusyukkan tugas yang dikerjakan. Bundak seketika. Apa perlu ruang dikosongkan dan berlari mencari perlindungan dari goncangan ini. Saya tinjau dari jendela. Suasana tenang di luar. Seperti tiada apa-apa yang terjadi. Haha...kelakar. Namun semua ini menghantar suhu rengsa di ubun saya. Migrain! Sakit yang sentiasa menghentam saraf di kepala. Pantas "migarid" saya telan. Mujarab. Penawar yang sentiasa ada di sisi. Seperti sahabat sejati, jangan sesiapa berani memisahkan kami. Seusai saya dikejutkan deringan telefon teman yang memberi kabar. Sumatera dilanda musibah. Sudah lali dikoklea saya. Takdir menimpa lagi kepada jiran kita. Apa yang boleh insan sekerdil saya usahakan... hanya panjatan doa demi doa agar umat Muhammad dilindungiNya. Mengapa bumi begitu marah? Baru tiga purnama, pulau Hokkaido dilanda banjir. Kini...ah malas benak ini mahu memikirkan semua itu. Sudah cukup bebanan yang dipikul pundak saya. Hanya satu yang terpacul di depan mata, haha...penulisan ilmiah yang benar-benar mahu saya khatamkan.


Tuhan...bilakah agaknya!


~Waktu makan tengahari dalam kamar kerja. Bagaimana hendak memotivasikan diri? Saya perlu kata ransang...15/6/2011~

Monday, June 13, 2011

Sepi ...









Sepi mengingatkan saya kepada artikel, "Sepi Seorang Perindu." Bukan, rasanya novel yang saya pernah baca. Mungkin juga tajuk lagu Jamal Abdillah. Tidak pasti! Tidak tahu! Tidak boleh fokus di mana pernah saya nampak sebaris ayat itu. Adakah saya pelupa? Kebarangkalian ada di situ! Tuhan, hanya Dikau yang tahu segalanya...Haha. Saya dilanda sepi. Begitu ketara. Bukan saya alu-alukan kehadiran sepi. Seperti panggilan alam, sepi tiba tanpa diseru. Dalam keriuhan teman berbicara sesuatu, gelak-tawa lalu berjenaka, saya terus sepi. Mengapa saya begini?


Rindu? Rindu itu tiba-tiba datang. Tanpa diundang. Rindu pernah berziarah dan ingin berlabuh di tubir hati. Namun saya enggan mengizinkan. Beberapa musim lalu, saya terusan merindui insan yang saya kasihi. Betapa saya rindu kepada ibu. Rindu saya kepada ayah yang sentiasa mendokan kesejahteraan puterinya. Saudara yang sudah tiada, saya rindukan anlian! Rindu pada teman sepermainan yang kerap terbayang. Terngiang-ngiang jeritan dia ketika kalah dalam permainan batu selembang masih boleh saya dengar. Oh betapa saya merindui semua! Namun anlian insan baik yang sudah dipanggil. Seperti remuk hati ini setiap kali mendapat kabar itu. Ingin saya turuti saudara semua. Ah mungkin belum masanya. Sampai waktu, saya akan pergi juga. Pesan ustaz, tidak salah merindui sesuatu. Itu sifat semulajadi insan lemah seperti saya. Ada kebenaran nasihat ustaz. Tika ini saya merindui semua guru saya. Apa kabar agaknya guru-guru saya? Sifu Z, mengapa sepi tanpa berita. Sifu sihatkah?



~14 Jun 2011...Unipark Suria 3.30 ptg. Langit itu seperti marah... mungkin akan hujan lebat petang ini~


























Thursday, May 19, 2011

Apabila kata-kata itu mengembirakan

Kelmarin saya bersua dengan seorang ibu tunggal di surau yang saya kunjungi setiap malam Jumaat. Sudah beberapa purnama tidak kelihatan kelibatnya di situ. Barangkali dia sibuk dengan banyak urusan serta mengasuh seorang anak perempuan yang masih kecil. Ya, bagi golongan wanita seperti dia, mengasuh serta meniti hidup tanpa pasangan sudah tentu berat. Berat mata memandang berat lagi bahu empunya diri memikulnya. Saya simpati. Seusai menjamah juadah yang terhidang di atas meja selesai solat Isya, dia menghulur tangan bersalaman untuk pulang. Ungkapan yang sangat mengembirakan apabila dia sempat berbisik, "Kakak kelihatan langsing!" Wah...bahagianya mendengar kata-kata ikhlas itu. Terima kasih saudari yang berhati mulia. Saya doakan saudari bertemu jodoh dengan seorang jejaka yang saleh. Amin. Ya betul! (pinjam ungkapan Sifu Z) Tiada wanita yang tidak mahu kelihatan kurus atau benar-benar kurus. Harap saya dapat menurunkan lagi berat badan ini yang hampir menjejaskan kesihatan saya. InysaAllah!





Pagi Jumaat di Unipark , 20 Mei 2011

Wednesday, April 27, 2011

Donut








Seperti sudah ketagih. Setiap petang saya mesti makan sekeping donut dan secangkir kopi di Cafe. Pastry donutnya begitu puffy. Bukan Puffery ya!
Hmmm...sedap!






petang: unipark





Sunday, March 6, 2011

Pizza



Makan pizza sewaktu tengahari bersama teman sefakulti di Pondok Pizza yang jauhnya hanya sepelempar batu dari pejabat amat menenangkan. Bayangkan masing-masing sedang lapar setelah beberapa hari menanda kerta-kertas ujian para pelajar masing-masing. Berselera sekali! Seperti bertahun tidak makan pizza rasanya. Ahh...kelakar! Semua menempah pizza "Meal 1" dengan perasa yang sama supaya ringkas. Tidak perlu menunggu lama atau bercikus-cikus merasa pizza teman sebelah. Sedap! Set itu bersekali dengan sup cendawan dan minuman bersoda. Harga termasuk tip dan cukai kerajaan berjumlah RM15.65 seorang. Agak mahal! Tetapi, tidak mengapa, kerana pizzanya sangat enak.Namun saya terperasan saiz pizza itu jauh lebih kecil dari yang pernah saya makan sebelum kenaikan harga barang dahulu. Hmmm...harga makanan sudah naik melambung ya! Porsinya juga semakin kecil. Aduh!
~senja di unipark~

Lagi tentang hati



Semenjak Rabu lepas lagi hati kecil saya berbisik, "Mengapalah lembap sangat! Takkanlah hendak memforwardkan benda sesimple itu pun mengambil masa berhari-hari?" Haaa...ayat itu belum berunsur fitnah mahupun menjatuhkan maruah seseorang. Tidak juga berbunyi hasutan, kerana ketiga-tiga "pasal" itu ada yang tidak kena. Seandainya mana-mana hal ini ada menyebut nama seseorang, aduh...parah! Boleh dikenakan "Akta Hasutan," lah jawabnya.
Namun hati kecilku, terus mengeluh! Kesal melihat gelagat orang muda yang mengambil masa amat lama untuk menghantar sesuatu yang sangat saya perlukan. Sampai bila harus saya tunggu? Adakah kalian berhajat melewat-lewatkan tugas saya? Atau sengaja busuk hati? Ahaa...itu tidak bagus! Baru semalam saya membaca kitab tentang hati... Sucikanlah hati kalian dengan berfikir benda-benda bagus dan hantarlah dokumen itu segera...pleassseeeee!


~dalam pejabat, 7/3/2011 - 11.45 pagi~ (photo credit to Adam)

Senggang


Sepetang-petangan Ahad ini saya manfaatkan dengan memasuki sesawang mencari jurnal-jurnal yang boleh diambil cebisan-cebisan ilmunya. Saya selang-selikan dengan menanda kertas ujian para penuntut saya. Lelah berbuat demikian, saya rehatkan minda lalu menyelak halaman, "Kitab huraian keajaiban hati." Karya agung imam Al-Ghazali. Keajaiban hati adalah petikan daripada Ihya Alumiddin. Berkata tentang keajaiban hati, sebaris ayat magis ini menyentak atma saya. Saya halusi maknanya, namun tidak saya nafikan, saya perlu dalami ilmu ini dengan berguru. Ya, berguru ke palang ajar. Kata perenggan ini - "Dan hati itu terdinding (terhijab) dari Allah, apabila ia tenggelam dengan selain Allah. Hatilah yang mencari. Hatilah yang berbicara dan hatilah yang mencaci. Dan dialah yang berbahagi dengan dekat kepada Allah. Maka ia memperoleh kemenangan, apabila ia mensucikannya. Hati memperoleh kekecewaan dan kesengsaraan. Hatilah pada hakikatnya yang taat kepada Allah swt. Dan sesungguhnya ibadah-ibadah yang berkembang pada anggota badan adalah cahayanya."
Teringat pula lirik lagu "tanya sama hati, apa tanda sayang...," haha, jagalah hati dari tercemar, dari hasad dengki juga dari gejala yang meracuni minda. Wallah-hualam.


~Di pojok pondok usangku di Bangi~

Saturday, March 5, 2011

Hujung minggu





Alangkah seronok jika dapat bersantai pada hujung minggu seperti anak kucing ini? Sabtu saya begitu serabut sekali. Pagi-pagi lagi sudah ada suara yang bertanya, "Sarapan apa pagi ini?" "Makan apa tengahari?" "Dah solat?" "Hari nak hujan dah ambil kain di ampaian?" "Ada buat kopi?" Aduhai, ahli keluargaku, berhentilah bertanya! Apakata kita lakukan semua itu bersama? Suamiku, ringankan bebanan isterimu, anakku bantulah ibu! Ingin sekali ibu menikmati cuti ini dengan mengerjakan sesuatu yang ibu gemari. Ya, yang benar-benar ibu suka. Contohnya, berbaring depan televisyen, membaca novel kegemaran atau menaip thesis yang masih belum siap ini. Bolehkah?




~Serabut...serabut...serabut..Bangi 6.15ptg~

Tuesday, March 1, 2011

Minggu Keusahawanan


Entreprenuer Week kembali! Kesempatan bagi siswa-siswi mencari wang saku lebih. Tidak sabar rasanya hendak melewati segala bazaar yang menyediakan cuisine tempatan dan luar negara. Penuntut dari Timur Tengah acap menyediakan makanan dari kampung halaman masing-masing. Lazat! Sungguh enak! Harga pun berbaloi. Sepatah kata orang barat "affordable." Yup, mengunyah Shawarma diselang-seli dengan hirupan "Pinacolada" dibancuh oleh penuntut dari Nigeria. Adoh! Satu kombinasi yang mmmmmm... sukar saya nukilkan di sini.

Desert? Apalagi, tahu kering disumbat makanan laut. Fullamak! Best sangat-sangat! Susah mendapati menu sebegini di luar kampus. Namun penuntut-penuntut ini berjaya menghasilkan sesuatu lain dari yang lain. Hebat! Ahh...setakat ini sahaja coretan pena saya. Saya tidak mahu ketinggalan dengan pembukaan rasmi jam 10 pagi ini. Seusai itu, apalagi? Jumpa saya di bazar makan-makan ya!

~ Mengapa minda saya memikirkan "ayam penyek, ayam penyek, ayam penyak dan bahklawa sahaja. Paras kolesterol sudah tentu naik mendadak hari ini.Huhu...Unipak 9.30pagi 2/3/2011~

Monday, February 28, 2011

Isnin nan nyaman


Subuh tadi saya terjaga begitu awal. Saat azan mendayu, "assala tu khairum minan now," saya sudah pun melangkah ke bilik air untuk mandi. Seusai mengenakan telekung, saya bersolat. Harum sungguh telekung saya kerana baru semalam saya membasuhnya. Selesai menghias diri berpakaian pejabat, saya ke dapur menyediakan sarapan buat kami bertiga. Hairan, putera saya juga bangun awal hari ini. Selalunya jangan harap. Tidak akan nampak kelibatnya meskipun mentari sudah menggalah. Syukur! Mungkinkah semua insan tidak mahu mensia-siakan Isnin lagi. Semoga ianya tidak bernokhtah di sini.

Rasanya, ramai tidak gemar ke pejabat hari Isnin. Riadah hujung minggu sudah cukup merengsakan jasmani. Apatah kaum ibu dengan pelbagai tugas yang tidak pernah berpenghujung. Ada sahaja perlu dibereskan.

Seronok! Seolah-olah diri seperti orang baru. Oh ya, saya berbaju baharu hari ini :) Alhamdulillah!


~Petang Isnin 28 Feb 2011~

Saturday, February 26, 2011

Sepanjang Jalan Kenangan


Menonton History channel petang ini begitu memilukan. Emosi bertukar sayu bila sejarah diselak. Kali ini biografi tentang Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Video yang diputar, mengimbau kenangan lagu-lagu yang pernah dinyanyikan penyanyi nombor satu Asia ini. Tanpa disedari ada genang ditubir mata. Sesungguhnya saya hidup dalam zaman kegemilangan Sudirman. Teringat bait-bait lirik 'merisik kabar' menjadi teman di kala kesepian ketika baru mengenali cinta dalam zaman persekolahan suatu ketika dahulu. Sayang, hayatnya begitu singkat. Seakan belum puas menikmati nyanyian dan berkongsi kejayaan bersama anak muda dari Temerloh ini.
Sudir, semadilah dengan damai. Ku panjatkan doa agar rohmu bersama insan-insan yang disayangi Allah.
~Bangi 27 Feb 2011, 2.24 pagi~

Wednesday, February 23, 2011

Bosan


Bosan dalam banyak perkara
Tetapi itu bukan penyakit
Bosan menonton televisyen sebenarnya
Dulu, gemar menukar ke channel CNN atau BBC
Kebelakangan ini sudah bosan
Balik-balik cerita tunjuk perasaan di Tanah Arab
Ish bosannya...
Tiada lain ceritakah?
Sekali sekala siarkanlah persediaan perkahwinan di Raja
Putera william dengan kate middleton tu...
Ini tidak...berita yang sudah basi pun masih ditunjuk
Barat oh Barat...tak habis-habis jadi kaypochi and busybody
Suka sangat jaga tepi kain negara lain...
Meluat ada
Nak termuntah pun terasa
~bosan+benci+meluat dan bermacam-macam rasa lain, bangi 1 pagi~

Malam dingin




Malam dingin
Tanpa sebutir kejora
Oh mengapa jadi begini
Alam begitu sepi
Ada cuma bayu yang berpuput
Sangat sepoi-sepoi bahasa
Oh, alam enggan berbicara
Akan kejadian yang menimpa
Musibah atas manusia...
Malapetaka sini sana
Tuhanku...
Apa itu tanda
MarahMu amat ketara

Mungkin juga
Membimbing insan alpa
Tentang kebesaranmu Ya Allah...
Muhasabahlah teman semua.
Allah hu rabbi











~yang runsing, di pondok usang Bangi~

Tuesday, February 15, 2011

Hari-hari yang malas


Malas
Mungkin suatu penyakit
Mungkin juga tidak
Malas menguruskan diri
Malas bangun pagi
Malas masak
Malas mengemas
Malas membaca
Malas segala-galanya...
Apa yang rajin?
Rajin itu sifat yang terpuji
Rajin makan ... gemuk
Rajin pergi shopping ... berabis duit
Rajin update facebook...tidak menfaat langsung...Siapa kata?
Rajin bergosip...mengumpul dosa
Rajin kerja...pendek hayat, betulkah
Yang paling rajin...tidur hingga keluar air liur...hehe...best in the world!
Bertanya dan tertanya
Kenapa tiada 'Hari Malas Sedunia?'
Ish ish...tentu best!
Jika diahirkan "malas" bagaimana? Nauzubillah.
Memang pemalas...oh correction, tidak malas tetapi sekali-sekala
sengaja memalaskan diri...bolehkah?


~Pabila otak sudah weng...baca assignments students, Unipark, Kajang~

Thursday, January 27, 2011

Ujana ini


Ujana yang semakin bersawang tebal, sukar dibersihkan.
Sesekali rasa mahu sahaja menutupnya. Tetapi sedikit sayang dengan coretan lama yang pernah mendapat pujian. Sesungguhnya masa amat mencemburui diri. Beberapa kali membuka laman ini tetapi sonder idea. Mengetuk lama papan kekunci, berkomunikasi intrapersonal, apa agaknya hendak saya lakarkan?...Ah...masa...mengapa tidak dijadikan lebih dari 24 jam? Namun jika dijadikan alam berputar 35 jam sehari, saya meminta lebih lagi...berkomunikasi lagi...aaa...alangkah baik jika kita punyai 40 jam sehari. Meminta dan terus meminta dariNYA...sifat yang perlu diberi noktah.

Sejujurnya, saya mahu bersyukur...bersyukur atas segala kejadian...walau sebesar emping salji seputih kapas...Alhamdulilah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Amin.


~Ditemani secangkir cappucion berperisa vanilla dalam malam dingin tanpa kejora, Bangi~

Monday, January 3, 2011

Tahun Baru, Tanggungjawab pun Bertambah

Diberi tugas baru menjadi ketua program pasca siswazah.
Begitu mencabar!
Pengurusan perlu dibuat dengan teliti.
Nampak gaya, masa buat diri sendiri semakin berkurangan.
Mugkin juga tidak ada.
Berbaloikah semua ini?
Memujuk diri, "belum cuba belum tahu!'
Andai tidak mampu dipikul bahu yang kerdil ini.
Serahkan sahaja kepada yang layak, habis cerita!


~nukilan dari Unipark Suria, Kajang 03 Jan 2011, 3.59petang~

Saturday, January 1, 2011

apabila semuanya tidak kena


Tahun 2011 saya mulai dengan:

1. Jari manis tangan kiri terkepit di pintu...sakitnya 'Oh Tuhan'.
2. Kalah dalam perlawanan bowling antara keluarga gara-gara
jari terkepit...'Sedih'.
3. Sakit bahu yang amat sangat ... gara-gara main bowling.

Harap-harap semua itu bernoktah hari ini.

Saya tidak mahu apa-apa lagi.

Adeh...adeh...kuku jari sudah lebam ni.

~Bangi 02-01-11, 4.31 petang~