Friday, July 22, 2011

Ujian Demi Ujian



Saat umat Islam girang menyambut nisfu syaaban, famili saya ditimpa duka. Saudara terdekat meninggal dunia pada Khamis malam Jumaat lalu kerana sesak nafas. Begitu pantas perginya. Sakit seketika terus tenat lalu pergi buat selamanya. Aduh, nyawa yang begitu fragile. Kembara yang sudah berpenghujung. Tanpa sempat menyelak kitab baru. Keluarga saya masih berkabung dengan pemergian saudara ini. Dia darah daging kami. Perjalanannya bertemu Pencipta yang begitu senang. Saat dimasukkan ke liang lahad, tiada teman, tiada rakan yang mengiring. Hanya adik beradik saya. Tidak juga anak angkat yang di besarkan hingga dewasa lalu semua kekayaan diturunkan pada anak "orang" ini. Sayang...pabila ayahnya sakit, anak yang pernah dibelai dan diberi kasih seperti anak kandung itu tidak mahu menjaga orang tuanya. Aduh! Kacang yang benar-benar lupakan kulit. Lalu dia dibuang seperti sampah. Pilu. Saudara ini menghubungi kakak merayu mengambilnya. Dia ingin menumpang teduh di bawah satu bumbung demi sisa-sisa hidupnya. Jadilah dia sebahagian dari keluarga kakak. Juga keluarga kami. Entah mengapa, sejarah hidupnya begitu menyentuh sanubari ini. Ada ketika saya sebak mengenang takdirnya. Saya mohon kehadrat Ilahi semoga anak "pungutan" yang sudah kaya itu insaf dan menziarah kubur ayahnya. Biar barang seketika.


Saudaraku, semadilah dengan tenang. Al-fatihah.