Tuesday, February 16, 2010

Pumpkin

Ujana sastera saya kini bersawang lagi. Agak lama juga saya tidak mencoret apa-apa. Tahun 2010 saya mulai dengan kesibukan mengerjakan beberapa projek pejabat dan juga projek diri saya sendiri. Kini hanya tinggal dua projek lagi yang perlu dilangsaikan.

Sempena Tahun Baru Cina berserta cuti hujung minggu yang begitu panjang, saya mengambil kesempatan berehat seketika. Melupakan sementara projek yang perlu dilunaskan kerana saya diberi masa sehingga 18 Mac, untuk diselesaikan.

Baiklah, semalam saya mencuba resipi dari negeri Cik Siti Wan Kembang atau resipi dari Tanah Serendah Sekebun Bunga. 'Sira labu,' walaupun namanya mudah disebut namun menyediakan resipi ini memerlukan kepintaran dan ‘seni.’ Calang-calang chef sahaja yang mampu menyediakannya perfek. Walaupun hasil resipi saya tidaklah 100 peratus perfek, tetapi ianya almost perfect. Gembira pula bila tetamu yang bertandang memuji sira labu saya. Ehem…

Di sini saya beri secara percuma, resipi ‘sira labu’ sekiranya ada sudi mencuba.

Bahan-bahan
1 biji labu kuning sederhana besar, dikupas kulit, dipotong mengikut ulasnya (tinggalkan lapisan dalam yang hijau) dibersihkan kemudian direndam dengan secubit kapur sireh + secubit garam selama 10 minit.
2 cawan gula pasir
10 kuntum bunga cengkih

Cara-cara
Di dalam sebuah periuk yang sederhana besar, susun labu. Kemudian taburkan 1 cawan gula pasir di atas labu itu berserta 3-4 kuntum bunga cengkih. Lapiskan sekali lagi labu di atas labu yang sudah disusun cantik tadi dan taburkan secawan lagi gula pasir di atasnya. Taburkan baki bunga cengkih. Tutup periuk. Masak di atas api kecil atau api yang sederhana besar sehingga gula meresap dan labu menjadi empuk. (Masakan ini perlu sentiasa diawasi agar gula tidak hangus).

Angkat. Sejukkan sebelum didinginkan dalam peti sejuk. Hidangkan dengan secangkir kopi panas.
Bagaimana? Andainya ada yang sudah mecuba, kemudian menjadi pula, Alhamdulillah saya ucapkan. Kerana untuk mendapatkan 95% perfect, labu itu haruslah berkilat, kering lembut serta ada tarikan untuk dimakan. Selamat mencuba!

Fatin bertanya saya, mengapa labu kuning atau pumpkin? Mengapa tidak labu-labu lain? Saya pernah terbaca dalam satu kitab lama, bahawa labu kuning adalah antara sayur kegemaran Rasulllullah. Labu juga mempunyai khasiat menghalang dari terkena jangkitan urin (terutamanya wanita). Labu juga mempunyai enzim dan vitamin yang membersihkan buah pinggang manusia dengan menyaring segala jenis kotoran, hasil dari minuman berwarna yang diminum sehingga menjadikan air kencing itu bersih berwarna kekuning-kuningan. Oleh itu amalkan makan labu kuning selalu. Wallahhu alam.
~Foto kredit kepada "freephoto." Teringat teman berugama Kristian Katholik, mengukir beberapa labu kuning sempena menyambut malam Haloween, Uptown 12.30 tengahari, 18 Feb 2010~