Friday, October 21, 2016

Rindu



Sudah lama saya tidak singgah di ujana ini.
Rindu sekali. Saya baca semula semua entri yang pernah saya tulis satu ketika dahulu. Ada yang buat saya sebak.  Berkata tentang sebak, saya sudah kehilangan abang kandung dua tahun lepas.  Namun wajahnya, tuturkata nasihatnya serta segala perilaku abang sentiasa segar di atma.

Abang, damailah kau di sana.  Moga Allah tempatkan abang bersama para solihin.


~Di sini, di kamar sepi, pagi ini~

Ujana yang sudah lama saya tinggalkan

Hampir berbulan ujana ini saya tinggalkan.

Namun malam ini dan ketika ini saya membuka dan membaca semula semua coretan lama.
Pada satu entry itu, saya  berhenti dan terus sebak.  Ia mengisahkan  perjalanan dan pertemuan saya dengan sanak saudara.  Sedih...abang kandung saya sudah pergi menghadap Illahi.  Seperti suatu pukulan ketika saya diberitahu kabar ini.

Mengapa saya mengambil masa begitu lama untuk bertemunya ketika dia turun ke  Kuala Lumpur menziarahi anaknya.  Ah...penyesalan yang tidak mampu saya maafkan diri ini.  Kesal. Sekesal-kesalnya. 

Hampir dua tahun  kini pemergiannya.  Namun tidak sesaat pun saya mampu melupai abang saya. Semua nasihatnya, segala gelak tawanya, perilakunya begitu bersahaja tersangat memberi kesan kepada raga saya. Dia adalah satu-satunya abang yang kami tiga beradik punya. Kini dia sudah tiada yang usia yang boleh dikatakan muda.

Moga Allah cucuri rahmat ke atas abangku dan termpatkan dia bersama para solihin.

~Pagi dingin di kamar tidur, Bangi~

Wednesday, July 22, 2015

Selamat berjumpa lagi

Hampir dua tahun saya tidak ke ujana ini.  Pemergian saya bukan apa, cuma waktu yang begitu mencemburui diri.  Mungkin juga saya tidak bijak mengendalikan waktu.  Ada-ada sahaja yang perlu dilunaskan.  Saya hampir lupa menulis di sini.  Namun kehilangan saya hanya seketika, serasanya tidak ada sesiapa yang merindui insan kerdil tanpa nama dipersada sastera seperti saya.

Namun hilang saya membuahkan hasil.  Novel pertama  berjudul "Sehelai Daun yang Gugur" akhirnya dicetak oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan sudah berada di pasaran.  Sudi-sudilah membeli senaskah.  Ceritanya digarap bersama Sifu Zaharah, tentang cinta dua insan pendidik. Bila cinta berputik semula, tragedy menimpa dan seorang pergi buat selama-lamanya.  Kepada seorang penuntut yang sedang mengkaji novel itu, apa boleh hubungi saya melalui emel dilfroz1618@gmail.com.  Mungkin kita boleh berbual panjang di situ.

~Suatu malam di teratak sepi, bangi~

Wednesday, March 27, 2013

Ini sahaja yang dapat saya kongsi bersama anlian hari ini kerana kesihatan tidak mengizinkan saya untuk menulis lebih panjang lagi. 

Wednesday, January 23, 2013

Salam Maulidur Rasul



Ya Nabi salam mualaika
Ya Rasul salam mualaika
Ya Habib salam mualaika
Sholawatullah alaika


Esok hari Rabu juga hari lahir nabi Muhammad saw.  Marilah beramai-ramai kita berselawat ke atas junjungan nabi kita!  Juga kita panjatkan doa kepada Allah swt di atas segala rezeki yang diberiNya kepada setiap hamba tanpa berbelah bagi.  Amin






~Petang Rabu di kamar pejabat 23/01/2013~

Tuesday, January 22, 2013

 
Rabu yang dingin walaupun bumi tidak disirami hujan semalam.  Ya, pagi-pagi begini udara di luar begitu penuh oksigen.  Ah...itu dia mentari yang baru sahaja menampakkan diri di celah jendela kamar saya.   Burung-burung juga menari riang dengan berkicau riuh.  Saya senang!
Nikmatilah semua ini sementara ada.  Bukan wang ringgit menentukan sesaat kenikmatan  sebegini.  Luangkan masa seketika untuk melihat keadaan di sekeliling rumah kita.  Ayuh semua!  Bumi ciptaan Allah ini harus kita hargai seadanya.






~Rabu 23 Jan 2013 , 7.00 pagi di teratakku di Mutiara Bangi~

Hujung minggu yang sibuk

Percutian saya bermula Jumaat lepas.  Ke Utara saya!  Memandu bergilir bersama suami dan anak perempuan.  Kami ke Anak Bukit menghadiri pernikahan sekali gus majlis resepsi puteri kepada abang kandung.  Begitu meriah! Bertemu sanak-saudara yang dirindui...beborak sehingga embun dingin melapisi dedaun.  Seronok!  Andai waktu mengizinkan,  ingin saya mengulanginya lagi...perisian padat di temani secangkir kopi bujang di sediakan isteri abang.  Beberapa ketika ada genang ditubir mata.   Ah syahdu...abang kandung yang begitu cergas lagi kacak dahulu, sudah ketara garis-garis usia yang memamah. Itulah Janji Allah swt, dan sesiapa jua harus kejar lima perkara sebelum lima perkara itu. 
Singgah di Pekan Rabu mencari ole-ole dodol dan pelbagai jajan lain.  Harganya agak mahal! Seperti harga di Kuala Lumpur pun ada.  Ah...penjual! Mengapa tidak di standardisekan sahaja setiap harga.  Ada yang jual seperti mahu kaya esoknya...cekik darah!  Ada pula yang benar-benar mengikut kitab Allah.  Berbahagialah peniaga-peniaga ini...semoga jualanmu sentiasa diberkatiNya.   Hati saya berdebar-debar kini.  Berapa banyaklah agaknya saman yang bakal saya terima!  Kerana, sewaktu pulang, saya memandu sendirian. Saya tidak langsung mematuhi  tahap kelajuan tempat itu.  Rimas!  Nak segera tiba ke teratak saya sebelum maghrib. Aduh....parah!


~Senja yang tenang di kamar pejabat, 22 Jan 2013 - 6.45 petang~