Wednesday, January 23, 2013

Salam Maulidur Rasul



Ya Nabi salam mualaika
Ya Rasul salam mualaika
Ya Habib salam mualaika
Sholawatullah alaika


Esok hari Rabu juga hari lahir nabi Muhammad saw.  Marilah beramai-ramai kita berselawat ke atas junjungan nabi kita!  Juga kita panjatkan doa kepada Allah swt di atas segala rezeki yang diberiNya kepada setiap hamba tanpa berbelah bagi.  Amin






~Petang Rabu di kamar pejabat 23/01/2013~

Tuesday, January 22, 2013

 
Rabu yang dingin walaupun bumi tidak disirami hujan semalam.  Ya, pagi-pagi begini udara di luar begitu penuh oksigen.  Ah...itu dia mentari yang baru sahaja menampakkan diri di celah jendela kamar saya.   Burung-burung juga menari riang dengan berkicau riuh.  Saya senang!
Nikmatilah semua ini sementara ada.  Bukan wang ringgit menentukan sesaat kenikmatan  sebegini.  Luangkan masa seketika untuk melihat keadaan di sekeliling rumah kita.  Ayuh semua!  Bumi ciptaan Allah ini harus kita hargai seadanya.






~Rabu 23 Jan 2013 , 7.00 pagi di teratakku di Mutiara Bangi~

Hujung minggu yang sibuk

Percutian saya bermula Jumaat lepas.  Ke Utara saya!  Memandu bergilir bersama suami dan anak perempuan.  Kami ke Anak Bukit menghadiri pernikahan sekali gus majlis resepsi puteri kepada abang kandung.  Begitu meriah! Bertemu sanak-saudara yang dirindui...beborak sehingga embun dingin melapisi dedaun.  Seronok!  Andai waktu mengizinkan,  ingin saya mengulanginya lagi...perisian padat di temani secangkir kopi bujang di sediakan isteri abang.  Beberapa ketika ada genang ditubir mata.   Ah syahdu...abang kandung yang begitu cergas lagi kacak dahulu, sudah ketara garis-garis usia yang memamah. Itulah Janji Allah swt, dan sesiapa jua harus kejar lima perkara sebelum lima perkara itu. 
Singgah di Pekan Rabu mencari ole-ole dodol dan pelbagai jajan lain.  Harganya agak mahal! Seperti harga di Kuala Lumpur pun ada.  Ah...penjual! Mengapa tidak di standardisekan sahaja setiap harga.  Ada yang jual seperti mahu kaya esoknya...cekik darah!  Ada pula yang benar-benar mengikut kitab Allah.  Berbahagialah peniaga-peniaga ini...semoga jualanmu sentiasa diberkatiNya.   Hati saya berdebar-debar kini.  Berapa banyaklah agaknya saman yang bakal saya terima!  Kerana, sewaktu pulang, saya memandu sendirian. Saya tidak langsung mematuhi  tahap kelajuan tempat itu.  Rimas!  Nak segera tiba ke teratak saya sebelum maghrib. Aduh....parah!


~Senja yang tenang di kamar pejabat, 22 Jan 2013 - 6.45 petang~

Monday, January 14, 2013

Bangi Yang Tenteram

Azan Maghrib baru sahaja berkumandang di sekitar sini.  Bersahut-sahutan antara satu masjid dengan surau yang lain.  Syahdu mendengarnya.  Itu panggilan kepada muslimat untuk berhenti seketika dari apa yang dikerjakan supaya bergegas ke masjid mendirikan solat berjemaah.  Namun, berapa ramaikah di kalangan kita yang benar-benar menjadi ahli masjid atau surau?  Setiap kali solat, saf boleh dilihat tidak berapa.  Untk mendapatkan satu saf seramai 20 orang juga sukar.  Oh Tuhan, ampunilah dosa-dosa hambamu yang alpa serta leka dengan duniawi termasuk juga penulis blog ini.
 
 
 
 
 
Cuaca senja ini agak merimaskan di pojok tempat kerja saya., Bangi 7.40 malam  
 
 

Sunday, January 13, 2013

Isnin yang gelap

Bersyukur saya kepada Allah kerana dibangkitkan dari tidur dengan bernafas lagi penuh bernyawa.  Namun, ketika memanjatkan doa kepadaNya, terasa ada bebanan dibahu kiri.  Agak sukar mengangkat tangan dan meluruskannya ke atas.  Ya Tuhan, baru semalam saya sihat tetapi tidak lagi di pagi Isnin ini.  Saya redha.  Pasti Allah merancang sesuatu buat saya.  Alhamdullilah, sekurang-kurangnya Allah tidak melupai saya. 
 
Santai petang di teratakku di Mutiara Bangi, 14 Jan 2013
 
Membaca dan memberi markah pada transkrip pelajar-pelajar yang mengambi subjek saya begitu mencabar sekali. Setiap transkrip perlu di baca dua kali kemudian barulah mendapat apa message yang ingin disampaikan.  Majoriti tidak menepati brief yang diberi terlebih dulu. Malah sesetengahnya terang-terangan menceduk kerja di Internet.  This is so pathetic.  It should stop!