Friday, December 3, 2010

Merpati puteh itu



Apakah agaknya ingin diberitahu
merpati puteh itu?
Sering dia hinggap di jendela.
Menjenguk ke dalam kamar sepiku.
Seolah mencari sesuatu...
Oh merpati puteh
Andai dikau pembawa utusan
khabarkanku cerita gembira
Hanya berita gembira.
~Bangi,03 Dec 2010, 10.30 dalam suasan mlm yang dingin~
photo credit to Thomas A Nicholas-Wright

Saturday, November 27, 2010

Petang yang sepi lagi sejuk


Saya insan paling gembira bila hujan turun.
Curahan air hujan petang ini menyejukkan alam.
Tugas menyiram pohon bunga menjadi senang.
Kata arwah emak, hujan membawa seribu satu rahmat.
Harap-harap begitu hendaknya. Bumi menjadi bersih dari debu kotoran.

Tumbuhan pun menghijau. Alhamdulillah.

Sudah lama saya tidak melihat pelangi. Harapan saya sang

pelangi menunjukkan wajah seusai teduh hujan nanti.
Warna-warna pelangi itu sepertinya rona kehidupan
saya di atas bumi ini. Syukur


~Bangi, 28 Nov 2010, di pondok usang saya~

Thursday, November 25, 2010

Musim yang baru bermula


Musim yang baru bermula. Jika di Barat salji mulai turun, mungkin tidak lebat tetapi ia bakal lebat dalam bulan Disember. Lebih-lebih lagi ketika masyarakat berugama Kristian sibuk menyediakan sesuatu buat hari Natal. Saya ada menulis cerpen tentang salji dan hari Natal, namun sehingga hari ini belum lagi disiarkan oleh media arus perdana yang saya hantar. Tidak mengapa. Mungkin belum rezeki.


Musim di tempat kerja saya ialah, minggu pendaftaran pelajar baru dari semua lapisan masyarakat dunia. Terdengar beberapa pendidik berbisik, "Musim tumbuh tanduk lagi." Haha...mengendalikan penuntut samada remaja atau yang sudah berumahtangga tetapi masih gigih menimba ilmu, bukanlah tugas yang senang. Fizikal dan mental harus kuat.


Berbagai-bagai masalah sosial dan budaya yang dibawa bersama oleh masyarakat ini ketika hari pendaftaran. Itu belum pada hari-hari mendatang.

Yang jelas semua pelajar ini bersuara lantang. Bebas mengekspresi diri jika ada yang difikir tidak disukai. Tidak seperti masa saya menjadi penuntut dahulu. Semua guru saya hormati. Ketika berselisih sering saya ucap, "Salam" atau "Selamat." Dewasa ini budaya itu hampir pupus. Seperti pupusnya beberapa spesis unggas, Panda dan beruang Koala ciptaan Illahi.


Berbalik kepada bahasa teman tadi, "Musim tumbuh tanduk lagi." Semester ini saya diberi tugas sebagai mentor, mendidik sebilangan pelajar yang baru kenal "Menara gading." Mungkinkah saya juga akan tumbuh tanduk memikirkan karenah pelajar saya? Mentees saya dari berbilang bangsa. Datang dari sejauh bumi Africa. Terlalu jauh itu.
Ya Tuhan, permudahkan urusan ini. Ya Tuhan berikanku kekuatan. Ya Tuhan tabahkan semangat saya. Semoga saya bisa memikul tanggungjawab ini. Amin
~Ikram, 4.25ptg, 26 Nov 2010...azan asar baru sahaja berkumandang...sungguh merdu kerana bilalnya adalah pelajar dari Iran~

Monday, August 9, 2010

Salam Ramadan


Mentari berzikir
Langit tidak lagi murka

Pawana berwirid bersama pepohon, memuji keagunganMu

Semua menyambut kembalinya malam seribu bulan
Selamat datang RAMADAN

Selamat bersolat terawih

Jarijemariku susun

Mohon maaf zahir dan batin

Semoga RAMADAN kali ini lebih sempurna dari RAMADAN yang lalu

Amin


~Hari terakhir Syaaban...Unipark, Bangi - 9 pagi~

Tuesday, June 22, 2010

kehidupan yang metah fragile
waktu yang tiba, terus berlalu
bak sinar mentari yang menyiram bumi
kemudian pergi, lalu alam dikelubungi
malam tanpa sebutir kejora...
Aaaa...andai masa berhenti seketika,
inginku menukang diri menjadi insan yang lebih sempurna...
Alam yang begitu delicate
seperti kuning telur yang tidak tercalar
kerana masa berhenti seketika


~Taman Suria, 24 June 2010, 10 pagi ~

Perjumpaan yang melelahkan

Memenuhi sepanjang pagi di kamar mesyuarat berbincang banyak perkara demi kemajuan tempat ini, amat memenatkan. Kening sering berkerut, pabila orang atasan menggunakan terminologi singkat untuk memberitahu sesuatu. Seperti kod ejen perisikan pula bunyinya. Aduh, diri berasa kerdil sekali.

Seusai bersurai , saya terus berkata kepada teman sepejabat, "I am blank." Harap dia faham apa yang saya maksudkan.


~ di Taman Suria, 5.50 petang ~

Sunday, June 20, 2010

Novel Jalur Sinar di Celah Daun

Novel 'Jalur Sinar di Celah Daun,' versi Inggeris kini sudah boleh dibeli di toko buku. A Ray of Light Among the Leaves, berjaya diterjemahkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia.
Amat kagum dengan kekentalan semangat Tijah, antagonisnya, gadis kampung yang meneroka tanah jauh ke dalam rimba, dan berjaya pula menjadikan ia sebuah ladang hijau subur yang mendatangkan hasil lumayan. Saya sudah membaca karya ini beberapa kali. Penulisnya tidak lain, tidak bukan, sifu saya sendiri, iaitu Zaharah Nawawi. Novel sebanyak beberapa halaman ini, saya yakin akan diangkat menjadi karya agung seperti An Old Man and the Sea. InsyaAllah.




~21 July 2010, masa makan, Taman Suria - 1.30 petang~

Berhijrah ke pejabat baru

Hijrah. Walaupun bukan bulan hijrah, tetapi saya berhijrah dari pejabat lama ke tempat baru. Suasana baru, budaya baru, dan gaya hidup yang baru. Dahulu, saya memberi arahan, kini saya diarah. Sesekali berasa konfius, bukan kerana lambakan tugas tetapi kerana sudah berada lama di zon selesa. Di tempat baru, semuanya terpaksa buat sendiri, ditempat lama, kakitangan bawahan yang tolong buatkan. Hmmm...saya tidak komplen, setakat memberitahu. Ada hikmat di sebaliknya mungkin, hidup perlu bersusah, atau belajar berpayah untuk survive. Kamar yang diberi selesa sekali tetapi melangit tingginya. Memanjat anak tangga berpuluh-puluh banyaknya dari pagi ke petang, agak memenatkan. Aaaa...tidak mengapa, mungkin ini cara baik menurunkan berat badan. Baik juga buat jantung dan hati, mengepam adrenalin menjadi kencang. Haha... minggu depan bermulalah tugas dan tanggungjawab berat, I can't wait to face the challenge. Doakan saya!

Sunday, May 23, 2010

Ujana yang sudah lama bersawang

Ish...ish...ujana sastera ini sudah beberapa kali bersawang. Agak lama juga saya tidak membukanya. Bukan kerana tidak ada modal bercerita...hehe...banyak sebenarnya hendak saya khabarkan, namun masa membatasi segala aktiviti harian saya. InsyaAllah tiba jun nanti saya akan aktif semula.Salam buat semua.


~Bangi 12.30 malam, 24 Mei 2010~

Thursday, March 11, 2010

Tahniah! Raikanlah!




Keputusan peperiksaan SPM diumumkan hari ini. Betapa ramai anak bangsa kecut perut untuk mengetahuinya. Sesetengahnya, ibu bapa pula yang berasa tidak sedap badan bagi pihak anaknya. Al maklum, hari ini juga penentu kepada kehidupan masa hadapan semua.

Kepada yang berjaya, diucapkan tahniah, semoga sukses selalu. Kepada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa, usaha lagi. Perjuangan belum selesai. Setapak langkah bijak hari ini adalah penentu masa hadapan cemerlang.

Ramai yang gagal kali pertama, tetapi bangkit semula lalu mengatur strategi memendam semangat mendalam, tidak menoleh ke belakang tetapi terus melangkah ke hadapan sehingga berjaya. Ramai yang sudah lebih berjaya daripada kumpulan yang pertama kali berjaya tadi. Perlu ada nawaitu cekal untuk terus membaiki diri menjadi insan berilmu yang disegani.


Gemuruh jiwa, semangat membara, dari puncak ingin ke angkasa, bertarungkan bintang berkelipan, menyerlah jauh dari yang biasa. Senikata lagu yang membakar semangat. Uptown 11 March 2010, Masa makan 1.00 tengahari.

Tuesday, February 16, 2010

Pumpkin

Ujana sastera saya kini bersawang lagi. Agak lama juga saya tidak mencoret apa-apa. Tahun 2010 saya mulai dengan kesibukan mengerjakan beberapa projek pejabat dan juga projek diri saya sendiri. Kini hanya tinggal dua projek lagi yang perlu dilangsaikan.

Sempena Tahun Baru Cina berserta cuti hujung minggu yang begitu panjang, saya mengambil kesempatan berehat seketika. Melupakan sementara projek yang perlu dilunaskan kerana saya diberi masa sehingga 18 Mac, untuk diselesaikan.

Baiklah, semalam saya mencuba resipi dari negeri Cik Siti Wan Kembang atau resipi dari Tanah Serendah Sekebun Bunga. 'Sira labu,' walaupun namanya mudah disebut namun menyediakan resipi ini memerlukan kepintaran dan ‘seni.’ Calang-calang chef sahaja yang mampu menyediakannya perfek. Walaupun hasil resipi saya tidaklah 100 peratus perfek, tetapi ianya almost perfect. Gembira pula bila tetamu yang bertandang memuji sira labu saya. Ehem…

Di sini saya beri secara percuma, resipi ‘sira labu’ sekiranya ada sudi mencuba.

Bahan-bahan
1 biji labu kuning sederhana besar, dikupas kulit, dipotong mengikut ulasnya (tinggalkan lapisan dalam yang hijau) dibersihkan kemudian direndam dengan secubit kapur sireh + secubit garam selama 10 minit.
2 cawan gula pasir
10 kuntum bunga cengkih

Cara-cara
Di dalam sebuah periuk yang sederhana besar, susun labu. Kemudian taburkan 1 cawan gula pasir di atas labu itu berserta 3-4 kuntum bunga cengkih. Lapiskan sekali lagi labu di atas labu yang sudah disusun cantik tadi dan taburkan secawan lagi gula pasir di atasnya. Taburkan baki bunga cengkih. Tutup periuk. Masak di atas api kecil atau api yang sederhana besar sehingga gula meresap dan labu menjadi empuk. (Masakan ini perlu sentiasa diawasi agar gula tidak hangus).

Angkat. Sejukkan sebelum didinginkan dalam peti sejuk. Hidangkan dengan secangkir kopi panas.
Bagaimana? Andainya ada yang sudah mecuba, kemudian menjadi pula, Alhamdulillah saya ucapkan. Kerana untuk mendapatkan 95% perfect, labu itu haruslah berkilat, kering lembut serta ada tarikan untuk dimakan. Selamat mencuba!

Fatin bertanya saya, mengapa labu kuning atau pumpkin? Mengapa tidak labu-labu lain? Saya pernah terbaca dalam satu kitab lama, bahawa labu kuning adalah antara sayur kegemaran Rasulllullah. Labu juga mempunyai khasiat menghalang dari terkena jangkitan urin (terutamanya wanita). Labu juga mempunyai enzim dan vitamin yang membersihkan buah pinggang manusia dengan menyaring segala jenis kotoran, hasil dari minuman berwarna yang diminum sehingga menjadikan air kencing itu bersih berwarna kekuning-kuningan. Oleh itu amalkan makan labu kuning selalu. Wallahhu alam.
~Foto kredit kepada "freephoto." Teringat teman berugama Kristian Katholik, mengukir beberapa labu kuning sempena menyambut malam Haloween, Uptown 12.30 tengahari, 18 Feb 2010~

Tuesday, January 19, 2010

Majlis Hadiah Sastera


Saya akan menghadiri majlis Penyampai Hadiah Sastera anjuran DBP malam ini.

Lokasinya adalah di hotel Legends, Kuala Lumpur. Di sini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua sahabat yang memenangi hadiah wang, plak dan sijil penghargaan. Tetamu terhormat yang bakal menyampaikan hadiah itu tidak lain dari Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Semoga kejayaan sahabat akan menyuntik inspirasi kepada saya untuk mengikuti jejak anlian. Saya tahu perjalanan itu metah jauh lagi berliku bagi diri ini yang berimpian menjadi seorang penulis dikenali ramai, suatu hari nanti.

Tahniah! Sejujurnya anlian memang insan-insan hebat lagi berbakat besar.



~ I've got the feelings, that tonight's gonna be a good night, that tonight's gonna be a good...good night..., Uptown 18 Jan 2010 ~


Monday, January 11, 2010

Lagi, kisah tentang pagi


Cerianya saya pagi ini. Menatap halaman 7 (Prime news) dalam akhbar The New Straits Times dengan spontan saya mengucap, ‘Syukur Alhamdulillah. Dirgahayu Tuanku!’ Walaupun baris ini, “Keep Allah for use only by Muslims, says Selangor Sultan," tidak menjadi tajuk muka depan akhbar ini, tetapi saya bangga. Saya juga bangga menjadi rakyat sejagat di bawah naungan Sultan yang sering tampil mendahului mana-mana Sultan lain memberi titah. Daulat Tuanku!

Memandu dari pondok sepi ke Damansara Uptown, juga berasa tidak stress, kerana saya membuka saluran HotFM97.6 mendengar Farah Fauzana melayan peminat dengan bebelan dan celotehnya yang mencuit hati. Pada 9.00 pagi pula, tetamu di konti Farah adalah penyanyi nombor satu tanahair, Dato’ Siti Norhaliza, apalagi, pagi ini begitu mengkompletekan hari saya yang sarat dengan stress dan depress. Happy belated birthday Dato Siti. Semalam hari jadi beliau.

Dahulu, saluran 91.5 Ikim menjadi kegemaran. Namun kebelakangan ini terlalu banyak leteran tentang iklan kuat, jamu, makjun, dan produk yang menghalang tua (seolah-olah menafikan pusingan alam dari muda ke tua) terutama sekali pada sebelah petang, sangat memenatkan gegendang telinga.

Sempena tahun 2010 ini, ada beberapa perubahan. Saya akan membuka mana-mana saluran radio yang memberi informasi dan hiburan sebagai lullaby enak penawar kepada fizikal yang penat dan tertekan.

Mungkin coretan ini tidak boleh dianggap secebis sastera ataupun ilmu, namun ianya memberi kepuasan sewaktu menulis atas skrin putih komputer. Skrin komputer yang begitu bersih, seputih gumpalan awan cina yang kelihatan indah dari jendela pejabat saya.


~ Percayalah kasihku lama terpendam, di ruang paling dalam (lagu Siti, kegemaran putera saya yang jauh di mata tetapi dekat di hati dan sering dirindui), Uptown 12 Jan 2010 10.45 pagi ~