Monday, January 11, 2010

Lagi, kisah tentang pagi


Cerianya saya pagi ini. Menatap halaman 7 (Prime news) dalam akhbar The New Straits Times dengan spontan saya mengucap, ‘Syukur Alhamdulillah. Dirgahayu Tuanku!’ Walaupun baris ini, “Keep Allah for use only by Muslims, says Selangor Sultan," tidak menjadi tajuk muka depan akhbar ini, tetapi saya bangga. Saya juga bangga menjadi rakyat sejagat di bawah naungan Sultan yang sering tampil mendahului mana-mana Sultan lain memberi titah. Daulat Tuanku!

Memandu dari pondok sepi ke Damansara Uptown, juga berasa tidak stress, kerana saya membuka saluran HotFM97.6 mendengar Farah Fauzana melayan peminat dengan bebelan dan celotehnya yang mencuit hati. Pada 9.00 pagi pula, tetamu di konti Farah adalah penyanyi nombor satu tanahair, Dato’ Siti Norhaliza, apalagi, pagi ini begitu mengkompletekan hari saya yang sarat dengan stress dan depress. Happy belated birthday Dato Siti. Semalam hari jadi beliau.

Dahulu, saluran 91.5 Ikim menjadi kegemaran. Namun kebelakangan ini terlalu banyak leteran tentang iklan kuat, jamu, makjun, dan produk yang menghalang tua (seolah-olah menafikan pusingan alam dari muda ke tua) terutama sekali pada sebelah petang, sangat memenatkan gegendang telinga.

Sempena tahun 2010 ini, ada beberapa perubahan. Saya akan membuka mana-mana saluran radio yang memberi informasi dan hiburan sebagai lullaby enak penawar kepada fizikal yang penat dan tertekan.

Mungkin coretan ini tidak boleh dianggap secebis sastera ataupun ilmu, namun ianya memberi kepuasan sewaktu menulis atas skrin putih komputer. Skrin komputer yang begitu bersih, seputih gumpalan awan cina yang kelihatan indah dari jendela pejabat saya.


~ Percayalah kasihku lama terpendam, di ruang paling dalam (lagu Siti, kegemaran putera saya yang jauh di mata tetapi dekat di hati dan sering dirindui), Uptown 12 Jan 2010 10.45 pagi ~

No comments:

Post a Comment