Tuesday, January 27, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur

Hari ketiga Tahun Baru Cina, aku sudah berada di Kerteh. Farah ditukarkan ke Petronas Carigali menerajui bahagian akaun cawangan ini. Perjalanan ke Kerteh dari Tasik Cini mengambil masa hanya 2 jam. Lebuhraya baru Plus memberi satisfaksi pengguna semua. Canggih. Pasti sesiapa yang menggunakan lebuhraya baru ini tidak akan sesat. Signagenya lengkap lagi terang. Terengganu negeri minyak, banyak petroliam, sumber utama hasil bumi kurniaan Illahi. Negeri yang banyak dana. Sungguh kaya ... sayang penduduknya tidak sekaya negerinya. Penduduknya tidak seramah negeri Cik siti Wan Kembang. Penduduknya juga sedikit "kupik" jika dibandingkan dengan penduduk Kelantan. Segala bentuk subsidi diberi kerajaan negeri. Namun ... ah malas hendakku panjangkan. Bangalow comel tiga bilik kediaman Farah dahulunya kepunyaan syarikat Shell, tetapi kini diambil alih Petronas. Suasana di kawasan perumahan ini damai, tiada pagar di antara rumah. Tenang, setenang air sungai di Taman Negara. Tamu yang sering bertandang adalah tupai-tupai nakal sebesar anak kucing. Sungguh nakal, sampah yang diikat rapi boleh digigit sehingga koyak plastiknya ... bertaburan. Satu kerja pula membersihkan kotoran itu. Pagi esoknya selepas solat subuh, ku buka jendela, Astaga, aku mengucap panjang. Depa berjalan seiring melintasi celah-celah rumah di situ. Uisssyyy ... apa punya pagi, hati kecilku berkata. Mungkin juga dua ekor khinzir hutan itu dalam perjalanan pulang kesarang yang berdekatan.


Siang tadi aku meninggalkan pondok usangku di Bangi, memandu ke Lebuhraya Karak menuju ke Bandar Dara, Pahang, menghantar puteriku pulang ke kem khidmat latihan negara di Tasik Chini. Perjalanan dalam suhu mencecah 31 darjah Celsius memenatkan fizikalku, apatah lagi mobil merah kepunyaan Farah tidak berkalis cahaya. Sinaran suria menembusi mirat memerangkan kulit tanganku walaupun ianya sudahku baluti losyen nyah matahari berSPF50. Sepertiku, ramai ibubapa sudah sampai di kem sore itu. Mereka juga menghantar anak-anak pulang selepas diberi cuti sempena Tahun baru Cina. Walaupun puteriku berkata ianya tidak adil, kerana peserta berugama Buddha diberi cuti lebih lama, namun fikirku sebaliknya. Pastinya jika ianya jatuh pada Aidilfiri tentunya yang berugama Islam juga diberi cuti lama. Kem ini terpencil dan jauh 35 kilometers ke dalam hutan dara milik Universiti Kebangsaan Malaysia. Rata-rata rumah di sini jaraknya agak jauh. Sepi. Sesekali benakku berfikir, apakah keistimewaan tempat ini. Adakah naga lagenda di tasik biru itu akan timbul menunjukkan wajahnya kepadaku apabila ia tahu aku ke sini? Jika begitu, waduh! Alangkah bertuahnya diri ini? Tanah milik orang-orang kampung di sini terlalu semak, sesemak mata memandang. Mengapa tidak digantikan tanah terbiar ini dengan barisan pohon-pohon pisang, pohon tebu atau lain-lain pohon bakal mendatangkan hasil lumayan? Ah, malas hendakku fikirkan. Teringat aku waktu menaikki Shinkanshen menuju ke Hokkaido melalui desa Nihongin, rata-rata tanahnya kaya dek pokok-pokok sayur dan sawah-sawah kecil, dikerjakan oleh penduduk seusia ayahku. Tidak sebidang pun dibiarkan ditumbuhi lalang. Sama juga waktu menaiki puncak gunung di Guiling, tatkala merentas lereng-lereng gunung dipenuhi pohon-pohon tangerine yang hampir ranum. Sejuk mata memandang. Sesejuk wajah-wajah gadis dusun berambut hitam mencecah bumi panjangnya. Sungguh tebal disanggul rapi dan dihias cantik bunga-bunga unik hanya hidup di pergunungan. "Kita dah sampai!" Kata-kata ini menoktahkan lamunanku. Stesyen ini cantik lagi bersih tetapi sedikit berbukit. Bagasi setiap peserta diperiksa rapi sebelum dibenarkan bawa ke dalam dom mereka. Melalui jalan yang tidak rata juga berbukit-bukit memengahkan badanku yang sudah seperti dugong ini. Jika aku yang menjadi peserta, pastinya beratku turun mendadak menjadi ramping semula. Hairan juga, sudah sebulan puteriku menjalani latihan khidmat negaranya, tetapi mengapa beratnya tidak jugak susut? Adakah kerana "titbits" yang kukirim memberatkannya? "Haah...ibu mana yang hantar makanan ringan pada anaknya di sini? Dengan pos laju lagi!" Ada suara yang bertanya. Aku sepi, tidak berani berkata kerana ibu itu adalah aku.

Monday, January 26, 2009

Bengkel Penulisan


Saya menjadi peserta Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor II dari 23-25 Jan 2009, anjuran Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Gapena dan DBPWS yang berlokasi di Hotel Straits Meridian, Melaka. Bengkel ini disertai 60 peserta terdiri dari berbagai latarbelakang dan negeri. Beberapa perkara penting saya pelajari walaupun diri tidak minat bermain dengan fakta dan tarikh sejarah. Namun mendengar pengalaman peserta-peserta rata-ratanya sudahpun menghasilkan novel sejarah, berdetak juga hati kecil untuk mencuba. Selain menimba ilmu penulisan, saya pulang ke rumah dua kilo lebih berat kerana makanan enak lagi sedap disediakan oleh Chef-Chef hotel terdiri dari belia-belia Melayu. Kagum dengan semangat waja sdr Nisah Hj Harun, seorang peguam Syarie, menjadi penulis sepenuh masa menjual buku-bukunya juga penulis-penulis lain ala-ala ebay dan amazon.com. Sifu Z diundang berkongsi pengalaman dalam novel "Panglima Salleh Selimpang Merah," mendapat pujian semua atas ketabahannya hadapi halangan atau "limitations of the study" dalam menyiapkan novel itu. Saya suka sesi Sifu Z kerana tidak mengantuk, sesi-sesi lain itu, faham-faham sajalah bila perut metah kenyang, apa lagi, ... ZZZZzzzZZZ lah jawabnya.





Sleepless in Bangi, 27 Jan 2009

Wednesday, January 21, 2009

Hari-hari yang sibuk...

Hari yang metah sibuk kerana akan bercuti dari rutinku esok dan minggu hadapan. Rata-rata ramai kakitangan mengambil cuti panjang menyambut "Xinnian Kuai le" atau dalam bahasa ibundaku dipanggil "Tahun Baru" bersama keluarga. Tidak kisah apa yang disebut asal membawa erti yang sama. Esokku punya lagi hari yang benar-benar sibuk seawal 5 pagi untuk ke LCCT menghantar seseorang pulang ke desanya bertemu keluarga setelah 2 tahun tidak berbuat demikian. Petang pula aku akan ke Melaka menghadiri "Bengkel Penulisan Sejarah." Sibuk ... terlalu sibuk, tetapi aku gembira.

uptown 22 jan, 2009

Tuesday, January 20, 2009

Tarbiah Suci


Salam warga Kol dan Kepezi
Tarbiah Suci adalah cerpen ke dua saya . Ilham lahir selepas menghadiri satu kenduri khawin. Di sini saya turunkan isi cerpen sepenuhnya untuk tatapan anlian. Sudi-sudikan menulis barang sepatah dua kata nasihat demi perjuangan sastera saya. Selamat membaca.
Cerpen

TARBIAH SUCI

DERINGAN telefon sebentar tadi dijawab Mak Jah. Hatinya kepalang girang. Sudah kesekian lama dia menanti panggilan jauh beribu batu dari Nellysa. Anak gadis yang sedang melakar impian. “Bang! Anak kita nak pulang. Sebentar tadi dia telefon. Nellysa nak pulang Bang! Anak kita nak pulang!” Teriak Mak Jah dengan nada girang kepada Haji Nordin suaminya. “Syukur Alhamdullilah,” Mak Jah menadah tangan memanjat doa kepada Allah kerana permintaannya dimakbulkan Illahi. Beberapa hari ini sambil bernyanyi-nyanyi kecil, Mak Jah bak lipas kudung mengemas kamar tidur yang lama tidak berpenghuni. Kamar itu sepi sejak Nellysa terbang ke London menyambung kuliah di University of Warwick, di Coventry, England. Nellysa, gadis berlesung pipit dengan senyuman menawan, satu-satunya puteri Mak Jah dan Haji Nordin. Puteri harapan Mak Jah bakal mewarisi harta dan menjaga mereka tatkala tua sebelum hayat pergi menghadap Tuhan. Nellysa tiba dari London, senja itu. Kepulangan puteri kesayangan dirai dengan hidangan makan malam kegemaran, di masak dari air tangan bonda. Naluri semua ibu, pastinya begitu. Rindu bakal terubat apabila puteri kesayangan pulang ke kamar sepi rumah agam Mak Jah. Kamar sepi pastinya kembali bercahaya. Hampir seminggu berlalu. Dalam kedamaian menjamu selera tengahari itu, Nellysa merenung wajah ayah dan bonda. Peredaran masa memamahkan usia kedua-duanya. Usia yang sudah separuh abad. Dia sangsi sama ada perlu mengabarkannya atau tidak. “Apakah harus aku sampaikan berita ini?” Dia berteka-teki sambil menolak hujung rambut yang mencucuk mata. Dewa arjuna menuntut cinta dikenali dua tahun lepas kini menjadi teman istimewanya sepanjang pengajian di universiti. Tenang sekali Nellysa memulakan bicara. "Abah, Mak, Ogos nanti Nelly pulang lagi. Nelly akan bawa seorang teman. Mak jangan terperanjat pulak! Dia nak masuk Islam. Teman Nelly meminta ayah tolong Islamkan dia. Dia akan menginap di rumah ini ketika proses pengislaman itu termasuk berkhatan sekali. Mak tak marahkan?” Terang Nellysa antara dengar dengan tidak sambil menunggu reaksi dari Mak Jah. Hampir tercekik nasi yang dikunyah, mendengar cerita Nellysa. Selera Mak Jah tertutup. Nasi dalam pinggan tidak dijamah lagi. Dia terkedu di kerusi, remuk rasa di dada. Beberapa ketika dia melempar pandangan ke arah Haji Nordin dengan seribu satu persoalan di jemala. Bungkam. Perlahan-lahan semangatnya dikumpulkan. Dia bertanya dengan nada sedikit kesal. “Apa! Nelly nak ke London lagi? Bukankah pengajian Nelly sudah tamat?” “Ini kenapa nak balik sana lagi?” Berkerut dahi Mak Jah melafazkan soalan. Dikecilkan retinanya memandang puteri kesayangan. Air sejuk di dalam gelas diteguk perlahan. Dia menunggu jawapan dalam penuh kesabaran. “Memanglah Mak, pengajian Nelly dah tamat, tetapi Nelly kena buat kertas ACCA pula. Bila buat kertas ini nanti, Nelly kena bekerja sambil belajar. Dari situ mereka menilai sama ada Nelly layak atau tidak menduduki peperiksaan ACCA tu, Mak.” Jelas Nellysa sambil meratah daging lembu panggang yang terhidang di depannya. Mak Jah bukanlah tahu benar tentang pengajian anak-anaknya, walaupun dia pernah menjadi kakitangan kerajaan, namun atas kesibukannya menjadi suri rumahtangga, dia sudah tidak arif dengan perkembangan pendidikan luar negara. Pada rauh wajah Mak Jah ada kekecewaan. Kekecewaan yang sukar disembunyikan. Sangkanya Nellysa pulang kerana sudah tamat pengajian. Sebaliknya tidak. “Buat apa hendak balik London lagi? Orang perempuan, setinggi mana belajar pun, tempat mereka di dapur juga. Bila dah kahwin nanti tugas mencari rezeki serahkan sahaja pada suami, habis cerita.” Pujuk Mak Jah sambil mencapai kendi air di sisi untuk membasuh tangan. Dia tidak tahu apa nasihat lagi yang perlu dilafazkan. Tanggal Sembilan Ogos, Nellysa pulang semula ke tanahair bersama dewa arjuna kelahiran Macedonia, yang sudah pun bekerja di firma gergasi, Barons Accounting Limited. Adam diperkenalkan kepada semua ahli keluarga. Abang-abang Nellysa sukakan Adam. Dia lucu, ada-ada sahaja gelagatnya membuat seisi rumah ketawa, kecuali Mak Jah. Sepanjang menjalani kursus di Jakim, Adam begitu tekun mendalami Islam. Mak Jah pula tidak lekang mengamati anak gadis yang dilihatnya terlalu akrab dengan orang asing ini. Setiap perbuatan Nellysa diamati. Dia tidak mahu sesuatu berlaku bakal menjadikan buah mulut jiran tetangga. Adam dan Nellysa umpama sepasang tekukur, berjalan seiring, beriadah berdua malahan segala-galanya dilakukan bersama. Awalnya, Mak Jah tidak bersyak-wasangka. Fikirnya, Adam hanyalah teman biasa kepada Nellysa. Namun bila dilihat tingkah laku puterinya itu seperti seorang isteri yang menjaga rapi segala kebajikan suami, hati Mak Jah mulai curiga. Tambahan pula selepas Adam dikhatankan tempoh hari, semua tuntutan orang asing ini Nellysa penuhi. Makannya disuapi, air diminumkan, ke bilik air pun di temankan. Kecaknaan berlebihan Nellysa terhadap Adam menimbulkan persoalan di jemala Mak Jah. Benaknya mula berteka-teki, "Mungkinkah puteri kesayanganku sedang bercinta dengan orang asing ini? Tidak mungkin," hati kecil Mak Jah menafikannya. "Mana mungkin puteriku bersuamikan orang asing. Dia diberikan tarbiah suci yang cukup. Tidak mungkin ini akan berlaku. Keturunanku belum pernah ada bernikah dengan orang asing,” dia mesti berbuat sesuatu supaya puteri kesayangan tidak menyukai Adam. Ke rumah Ustaz Siron harus disegerakan. Air jampi Ustaz Siron mesti diberikan supaya Nellysa tidak jatuh hati kepada Adam. Langkahnya perlu disembunyi dari semua. Mak Jah mahu mengubati Nellysa. Dia metah sayang kepada satu-satunya puteri harapan. Abang-abang Nellysa sudah pun berumah tangga. Mak Jah tidak mahu dibela menantu. Kedua-dua menantu diibaratkan duri dalam daging, masing-masing mementing diri. Menantu yang hanya tahu mengikis harta keluarga. Mengharapkan mereka menjenguk ke dapur menyediakan juadah buat dia dan Haji Nordin jauh sekali. Masing-masing keluar rumah ketika subuh dan pulang apabila mentari terbenam, sibuk mengumpul harta. Tidak cukup harta yang dicari, harta Mak Jah pula hendak direbut mereka. Harapan Mak Jah hanya pada Nellysa, buah hati pengarang jantung dia dan suami. Dua minggu Adam memerap di dalam kamar tidur. Kini dia sembuh dan sudah boleh bercelana. Haji Nordin pula tidak jemu-jemu membimbing Adam. Orang sepemurah Haji Nordin tidak pernah lokek menurunkan ilmu agama kepada sesiapa. Adam berusaha mendalami agama Islam, malahan dia boleh membaca Al-fatihah kini. Mengucap dua kalimah Syahadah pun sudah jelas dan lancar. Kitab-kitab agama di dalam almari sering di belek-belek seolah-olah ada sesuatu yang dicarinya dalam hala tuju kehidupan sebagai insan beriman. Selepas solat asar petang itu ketika Haji Nordin sedang bersantai di anjung peranginan rumah, ditemani kopi panas dan ubi rebus yang disediakan Mak Jah, Adam dan Nellysa merapati dan duduk disebelah ayahnya. Mak Jah yang asyik menyiram pepohon Anggerik di laman rumah dipanggil turut sama. Ada sesuatu yang hendak disampaikan.
Jantung Mak Jah berdetak. “Apakah gerangan yang hendak dibincangkan Nellysa?” Bertubi-tubi soalan itu diajukan kepada anggerik-angerik mekar disiram. Sambil melangkah perlahan ke meja, dia duduk menghadap Haji Nordin. Jelas sekali pertemuan lapan mata petang itu tidak menyenangkannya. Sesekali dia melemparkan pandangan kepada Adam dengan penuh geram. Seperti serigala lapar, mahu sahaja rasanya dia mencakar wajah kacak anak muda itu. Sifat keibuan yang pernah ditunjukkan pertama kali Adam menjejaki rumah, lenyap dibawa arus kebimbangan. Dia gusar apakah Adam berjaya menguasai minda Nellysa. Raut wajah yang dahulunya girang sudah ada cahaya duka. “Mak, Ayah," Nellysa membuka bicara. "Nelly hendak beritahu sesuatu. Adam melamar Nelly tahun lepas. Nelly setuju, dengan syarat dia masuk Islam. Sekarang Adam sudah jadi saudara baru. Kami sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga. Mak, Ayah, Nelly minta izin untuk bernikah. Nelly hendak ayah menikahkah kami." Anak gadis Mak Jah nekad memilih Adam dan berkongsi hari nusanya, bersama orang asing ini. Tiba-tiba dada Mak Jah senak seperti dilanda segumpal angin kencang. Dia tidak bersuara. Air mukanya penuh garis kecewa. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi, terus menuju ke kamar tidur. Berdentam pintu kamar ditutupnya. Terdengar raungan kuat diikuti suara tangisan. Petang itu, Mak Jah seperti orang baru pulih dari kena sampuk Dia syahdu apabila mendengar kenyataan yang merobek jiwanya sebentar tadi. Baru semalam dia ke rumah Ustaz Siron mendapatkan air penawar bagi memulihkan semangat Nellysa. Semangat supaya melupakan Adam. Semangat difikirkan sudah lari daripada tarbiah suci berlandaskan Islam yang diberi kepada puterinya selama ini. “Kau ni Nelly, kenapalah kau sukakan orang asing ini? Sudah habis orang Melayu di atas bumi inikah yang kau pilih dia itu? Mak tak berkenanlah! Mak tengok dia susah dilenturkan. Berat tanggungjawab kau nanti membimbing dia supaya percayakan Qadak dan Qadar Tuhan.” Terang Mak Jah dengan penuh kerisauan. “Mak, Adam itu baik. Dia jaga Nelly. Budak-Budak Melayu kita jangan harap! Apa-apapun dia sayang Nelly. Kami berjanji untuk sama-sama menghurmati.” Terang Nellysa girang sambil mengunci beg pakaiannya untuk di angkat oleh pemandu peribada Pak Nordin masuk ke dalam kereta. “Janji-janji ini Mak kurang percayalah!” Sampuk Mak Jah dengan nada kecewa. sambil membetulkan tudung di kepala untuk berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, menghantar Nellysa dan Adam terbang ke London. Dia sangat berharap puteri kesayangan tidak melupai tarbiah suci yang diajari, sambil sentiasa menjaga aqidah sebagai wanita Islam yang bermaruah. Sepanjang perjalanan ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Mak Jah sepi seribu bahasa. Sepinya seolah-olah memohon simpati daripada puteri kesayangan supaya mengubah fikiran. Walaupun, sesekali terdapat awan putih di antara awan-awan kelabu di raut wajah gebunya, tetapi Mak Jah tidak meredhai pemergian Nellysa kali ini. Musim silih-berganti, tahun pula sudah hampir ke penghujungnya. Angerik-anggerik merah di taman rumah agam mulai berbunga kembali. Puteri kesayangan juga mengotai janji. Dalam perut pesawat Airbus yang terbang menyusur awan putih seperti kapas itu, benaknya terus berfikir, pasti segala kekhilafannya sebelum ini mengguris perasaan ayah bondanya. Ingin sekali dia menyusun jari memohon maaf kepada Mak Jah dan Haji Nordin. Dia pulang bagi majlis pernikahannya. Seperti camar yang pulang selepas musim salju berlalu, dia pulang membawa banyak beg pakaian dan barang-barang. Tidak satupun ditinggalkannya di London. London seperti sebuah peta kosong. Begitu jugalah jiwanya. Kosong. Saat itu dia merindui Mak Jah. Dia benar-benar memerlukan ibunya. Kepulangannya ke bumi tercinta tidak ditemani sesiapa. Tidak juga Adam Iskandar Stephen Brown. Buah hati pengarang jantung yang pernah melafaz untuk sehidup semati bersama. Jejaka yang meninggalkan seribu satu kenangan manis dalam diri gadis Melayu ini. Dia menoktahkan semua perhubungannya di sana. Tarbiah suci yang pernah dipelajari dari ayah bonda menggamit kembali. Dia pasrah. Agak hairan melihat kepulangan Nellysa sendirian. Kelibat Adam dicari Mak Jah tetapi tidak kelihatan. Apatah pula di rumah, persiapan pernikahan semua sudah sempurna penyediaannya, seperti yang direncana. Sebenarnya, Nellysa puteri kesayangan pulang membawa bingkisan kenangan pilu bersama insan yang sudah pergi dari bumi tercinta ini buat selama-lamanya. Mak Jah dan Haji Nordin menerima takdir anak gadisnya dengan berdoa dan berdoa semoga roh Adam Iskandar Stephen Brown, jejaka tampan Macedonia yang pernah singgah seketika dihati puteri kesayangan kelak bersama mereka dijanjikan syurga oleh Yang Maha Esa. Tarbiah suci diimbas kembali. Moga-moga ada sinar di penghujungnya buat puteri kesayangan mereka.
Uptown, 21 jan 2009

Monday, January 19, 2009

Potret di Dinding Biru


Saya sering berimpian menjadi penulis cerpen tetapi tidak tahu di mana dan bagaimana hendak memulakannya. Mungkin juga saya tidak pernah meletakkan effort mencari tempat-tempat yang menyediakan kursus/bengkel penulisan. Akhirnya saya berjaya, itupun di saat akhir saya menelefon memberitahu saya tidak mempunyai cerpen. Untuk itu saya dibenarkan mengikuti bengkel. Jika saya mempunyai cerpen, besar kemungkinan penyertaan saya ditolak kerana sudah terlalu lambat untuk membaca karya saya. Saya amat bersyukur kepada insan-insan mulia kerana membuka peluang ini kepada saya. Selepas mengikuti bengkel pertama di UKM pada 01 dan 02 November 2008, saya pulang ke rumah dengan azam berkobar-kobar menulis sesuatu yang boleh dipanggil cerpen. Berbekalkan beberapa tips dan nota diberi pada bengkel itu, saya menggarap cerpen “Potret di Dinding Biru.” Setelah siap saya hantarnya kepada Sifu Z bagi mendapat sentuhan sasteranya. Beberapa kali melalui alam maya, diforward, diemail dan diedit, akhirnya Sifu Z sarankan supaya cerpen dihantar kepada Berita Harian. Saya sebenarnya tidak arif dalam bab hantar-menghantar karya kepada media arus perdana. Atas asuhan, bimbingan dan tunjuk ajar Sifu Z dan Dr Mawar, akhirnya cerpen pertama saya disiarkan pada 27 Disember 2008. Saya terharu. Kebetulan pagi itu saya sedang bersiap menghantar Fatin ke stesyen bas di Stadium Kelana Jaya, bagi memulakan latihan khidmat negaranya di Tasik Chini. Di sini, ingin saya rakamkan terima kasih seluas lautan kepada Sifu Z dan Dr Mawar atas segala penat jerih membimbing saya. Jasa anlian tetap dikenang.

Uptown, 20 jan 2009