Tuesday, January 27, 2009



Siang tadi aku meninggalkan pondok usangku di Bangi, memandu ke Lebuhraya Karak menuju ke Bandar Dara, Pahang, menghantar puteriku pulang ke kem khidmat latihan negara di Tasik Chini. Perjalanan dalam suhu mencecah 31 darjah Celsius memenatkan fizikalku, apatah lagi mobil merah kepunyaan Farah tidak berkalis cahaya. Sinaran suria menembusi mirat memerangkan kulit tanganku walaupun ianya sudahku baluti losyen nyah matahari berSPF50. Sepertiku, ramai ibubapa sudah sampai di kem sore itu. Mereka juga menghantar anak-anak pulang selepas diberi cuti sempena Tahun baru Cina. Walaupun puteriku berkata ianya tidak adil, kerana peserta berugama Buddha diberi cuti lebih lama, namun fikirku sebaliknya. Pastinya jika ianya jatuh pada Aidilfiri tentunya yang berugama Islam juga diberi cuti lama. Kem ini terpencil dan jauh 35 kilometers ke dalam hutan dara milik Universiti Kebangsaan Malaysia. Rata-rata rumah di sini jaraknya agak jauh. Sepi. Sesekali benakku berfikir, apakah keistimewaan tempat ini. Adakah naga lagenda di tasik biru itu akan timbul menunjukkan wajahnya kepadaku apabila ia tahu aku ke sini? Jika begitu, waduh! Alangkah bertuahnya diri ini? Tanah milik orang-orang kampung di sini terlalu semak, sesemak mata memandang. Mengapa tidak digantikan tanah terbiar ini dengan barisan pohon-pohon pisang, pohon tebu atau lain-lain pohon bakal mendatangkan hasil lumayan? Ah, malas hendakku fikirkan. Teringat aku waktu menaikki Shinkanshen menuju ke Hokkaido melalui desa Nihongin, rata-rata tanahnya kaya dek pokok-pokok sayur dan sawah-sawah kecil, dikerjakan oleh penduduk seusia ayahku. Tidak sebidang pun dibiarkan ditumbuhi lalang. Sama juga waktu menaiki puncak gunung di Guiling, tatkala merentas lereng-lereng gunung dipenuhi pohon-pohon tangerine yang hampir ranum. Sejuk mata memandang. Sesejuk wajah-wajah gadis dusun berambut hitam mencecah bumi panjangnya. Sungguh tebal disanggul rapi dan dihias cantik bunga-bunga unik hanya hidup di pergunungan. "Kita dah sampai!" Kata-kata ini menoktahkan lamunanku. Stesyen ini cantik lagi bersih tetapi sedikit berbukit. Bagasi setiap peserta diperiksa rapi sebelum dibenarkan bawa ke dalam dom mereka. Melalui jalan yang tidak rata juga berbukit-bukit memengahkan badanku yang sudah seperti dugong ini. Jika aku yang menjadi peserta, pastinya beratku turun mendadak menjadi ramping semula. Hairan juga, sudah sebulan puteriku menjalani latihan khidmat negaranya, tetapi mengapa beratnya tidak jugak susut? Adakah kerana "titbits" yang kukirim memberatkannya? "Haah...ibu mana yang hantar makanan ringan pada anaknya di sini? Dengan pos laju lagi!" Ada suara yang bertanya. Aku sepi, tidak berani berkata kerana ibu itu adalah aku.

No comments:

Post a Comment