Friday, May 15, 2009


Hari Ibu baru sahaja berlalu. Saya terima banyak sms dari sahabat mengucapkan 'Selamat Hari Ibu.' Sebagai menghargai ucapan sahabat, saya juga membalas sms dengan memberi ucapan yang sama. Bagi mengingati ibu yang sudah lama pergi menghadap Illahi, saya ke pusaranya. Saya bersihkan rumput-rumput liar hidup segar di sekeliling batu nisan ibu. Bukan kerana ianya hari ibu, tetapi saya memang sudah lama merindui dan akan sentiasa rindukan ibu saya :(


~teringat puding labu ibu yang enak, Bangi, 18 May 09, 1.19am~

Sunday, May 3, 2009

Seni makan

Birasku yang dulu gendut kini kelihatan langsing atas disiplin diri mengamalkan diet sihat. Setiap hari dia makan oats dicampur buah-buahan segar. Digamit rasa ingin mencuba. Apatah lagi impian menurunkan berat sentiasa berkobar-kobar dan baju se almari yang setia menunggu untuk disarungkan semula seperti dulu. Aku sudah cuba diet sihat ini. Hari-hari kerja, menu makan tengahariku hanya oats organik dicampur hirisan pisang dan sekotak kecil kismis. Ummmph...enak lagi berkhasiat. Kismis membantu memori lebih mengingati tarikh-tarikh penting. Tetapi mengapa beratku tidak juga turun-turun? Di manakah silapnya diet sihat ini? Uish, tidak boleh jadi...serasanya berpuasa hari Isnin dan Khamis lebih bagus dari makan oats dengan buah segar. Teringat aku Professor Chad Saleem Faruqi yang mengamalkan diet cara Islam ini. Dia kelihatan fit dan bertenaga walaupun sudah berusia.


~Eat what you can and can what u cannot, Bangi 12.28am 04 Mei 2009~

Thursday, April 30, 2009

Sungguh dodgy

The Dodger & The Dipper
Tajuk cerpen ini menarik perhatianku. Tetapi mengapa teksnya dalam Bahasa Melayu? Tidak dapatku gambarkan, jika ada karya William Shakespeare diberikan tajuk Bahasa Melayu. Kemudian teksnya dalam Bahasa Inggeris. Contoh "A midsummer night's dream" ditukar jadi, 'Mimpi di malam pertengahan musim panas.' Akankah penganalisis karyanya pertikaikan atau berkata sesama sendiri, "biar betul mamat Shakespeare ini."
Hmmm... jom pekena kopi dulu!

Thursday, April 16, 2009


Secebis Sastera dari Hamka

Setiap agama punya rukun dan syarat. Ada sunat, makruh ada pula kewajipan yang diharamkan. Agama menentukan batas yang tidak boleh dilampaui begitu sahaja. Rukun yang tidak boleh dikurangkan. Setiap perintah - solat, puasa, zakat dan haji, ibarat panji-panji berkibar megah. Simbol penyatuan Islam. Segala rukun agama mengikat penyatuan, menegakkan perdamaian umat di bawah satu komandor sebagai tentera Allah. Tentera yang mesti menang di atas muka bumi ini. Sewaktu agama lain mengatakan Tuhan itu berempat, berlima, berpuluh dan berdozen, kita tegak menjadi tenteraNya, mempertahankanNya. Mengatakan Dia Yang Maha Esa, Dia Yang Maha tunggal. Tidak berteman. Tidak berjodoh. Tidak beranak dan tidak pula dilahirkan. Tatkala agama lain mendurhakaiNya, menyuruh mengerjakan maksiat dan mengabaikan perintahNya, kita tegak bersaf-saf memuji dan menyanjungNya. Solat, tanda pertalian kita dengan Allah. Sempurnakah solat saudara hari ini?




~Uptown 6.30 petang 16 Apr 2009, sudah pun masuk hari Jumaat~

Sunday, April 5, 2009

Kecewa

Kecewa lagi.
Mungkin belum cukup bagus untuk dipersembahkan kepada umum sebagai bacaan pagi Ahad yang santai.
Melihat cerpen sahabat dalam MM, kecewa mengocak kedamaian hati. Diri seperti merajuk. Naluri tertanya-tanya, bila lagi? Ahh...seperti wine yang belum sampai tahap vintagenya, begitu juga nasib cerpen-cerpenku.
Atau barangkali, cerpenku tidak sehebat cerpen sahabat yang sudah lama berkarya. Hmmm...ku pujuk diri bersabar...sabar...sabar. Seharianku kerjakan pelbagai aktiviti, membawa lari minda hampa dari berfikir tentang hasil penaku belum sebagus orang-orang hebat. Atau sudah takdir...bak sebentuk cincin bertatah marjan diberi Napoleon kepada Josephine, berukir perkataan "destiny." Namun itu sama sekali tidak mematahkan semangatku untuk terus berkarya.


~I believe I can fly, I believe I can touch the sky, thingking 'bout you every night and day, spread my wings and fly away, Bangi 6 April 09,12.35pm~

Friday, April 3, 2009

Notebook yang letih



Entah mengapa, beberapa hari lepas, Acer notebook yang berusia hampir empat tahun buat hal. Mula-mula, kipasnya tidak berfungsi, menyebabkan ia panas walau baru beberapa minit membukanya. Kemudian ia langsung tidak mahu menunjukkan skrin putihnya, walaupun punat 'on' ku tekan begitu gentle sekali. Keadaan ini menyebabkan diri berasa sedikit tertekan. Banyak yang perlu ku bereskan setiap hari selepas waktu isyak. Aku perlu menaip kerja-kerja kebajikanku, kerja sekolah, juga kerja sasteraku di waktu malam tatkala insan-insan lain sudahpun berdengkur diulit mimpi indah. Kawan kata aku ini a night person. Bertenaga pabila mentari sudah mahu menyembunyikan wajah. Entah, aku tidak pasti tentang itu. Yangku tahu, aku memang gemar malam. Suasana sunyi di Bangi metah tenteram. Sunyi lagi tenang dengan lampu-lampu jalan menuju ke UKM begitu jelas dilihat dari jendela kamar sepi tempatku bekerja. Merenung lama lampu-lampu neon dalam malam yang sesekali kedengaran bunyi nyaring motorsikal kapcai ditekan minyaknya, ilham datang mencurah-curah. Ah! Kelakar. Ada juga masa-masa sonder idea, walaupun nyaring bunyi motorsikal bertalu-talu datang dan pergi. Papan kekunciku ketuk sahaja tanpa menurunkan apa-apa cerita. Itu juga kelakar.
Kini notebook ku berbakti semula selepas dibaiki Heng, pemuda Tionghua yang punya kedai di Low Yat Plaza dua hari lepas. Heng beri khidmat percuma kerana dia kawan sekolah puteraku.

~i spread my wings and i 'll learn how to fly, i 'll do what it takes till i touch the sky, I'll make a wish, take a chance, make a change and breakway, tengah malam di Bangi~

Wednesday, March 25, 2009

Ulasan Cerpen berharga 50 sen


Aku belum benar-benar kompeten (competence) mengulas cerpen sahabat yang sudah lama menulis. Namun, membaca ulasan cerpen Putih Kelir Pewaris Merah Muleta (MM 22 Mac 2009) dengan cerpen
Gadis Matador dan Lembu Jantan (MM 25 Feb 2007) inginku coret pendapat lima puloh senku di sini. Kulihat dari segi psikologi juga dari kaca mataku sebagai pembaca biasa, cerpen PKPMM, cerpen percintaan nan indah lagi halus bahasanya. Penulis mengaitkan rona putih kelir dan el traje de lucas ditebar matador dalam pertanding lawan lembu. Satu aktiviti sihat musim panas di Sepanyol. Hubungan kasih-sayang dua insan terjalin antara Fatimah, gadis dari Tanah Seluas Sekebun Bunga dengan Eduardo yang masing-masingnya pewaris kepada dua tradisi berbedza. Wayang Kulit dan Laga Lembu. Sementara dalam Gadis Matador dan Lembu Jantan, penulis berjaya menarik diriku menjiwai watak Medina, keturunan ketujuh Matador Cantajelo, legenda bertarat dunia. Cerpen ini tidak aneh padaku tetapi sedikit unik kerana dari sudut psikologi, kasih sayang pasti terjalin di antara manusia dan haiwan apatah lagi jika haiwan itu dibelai setiap hari untuk beberapa ketika. Aku seperti empati lalu sedih tatkala Antonio mendesak Medina melawan Banderas (Lembu jantan) di bawah jagaanya itu dalam gelanggang, ditontoni penonton yang mempertaruhkan wang jutaan Peseta, seseparuhnya sudah pun meramalkan Medina bakal tewas ditangan Banderas hanya kerana dia seorang wanita dalam sukan yang dianggotai kaum pria. Diselit dengan beberapa kata hikmah seperti, ‘di kalangan manusia banyak haiwan, di kalangan haiwan pun ada manusia’ menjadikan cerpen ini terusku baca. Ada beberapa fakta sengaja dikreatifkan penulis seperti Plaza De Toros. Digambarkan sebesar sembilan buah padang bola. Sejujurnya dan setahuku, gelanggan ini tidak luas sebab lokasinya sedikit jauh dari kota Madrid. Memadai jika ia digambarkan seluas Stadium Melawati Shah Alam sahaja. Bullfight Rings yang besar-besar terletak di Cordoba, Seville dan Madrid. Sebagai pembaca, aku selesa jika di kekalkan nota kaki, kerana dalam penulisan ilmiahku, inilah yang diminta. Andainya penulis menterjemah Bahasa Sepanyol ke Bahasa Melayu, ia bakal mencacatkan cerpen indah ini, sementara cerita pula jadi meleret-leret. Tatkala diberi kesempatan melihat beberapa corrida berlatih dengan novillo liar pagi itu dalam gelanggang di kota Madrid, teman-teman sayu. Tidak mahu corrida kacak berkulit merah jambu jadi korban kepada sukan ini. Aku tidak beranggapan begitu. Sayu sedihku metah ketara waktu melawat Al-Hambra, Istana zaman kegemilangan Andalus, dindingnya penuh berukir ayat-ayat Quran. Sungguh indah. Sunguh mengkagumkan. Peninggalan sejarah ini pernah dijadikan gereja oleh puak Christian selepas empayar Andalusia tewas. Aku hampir saja rebah pilu namun sempat memegang sebatang tiang dalam istana lambang sejarah keagongan Islam itu tatkala selesai mendengar empayar Osmaniah (Ottoman) juga mengalami nasib yang serupa. Kata Erma, pemandu pelancung asal usul berdarah Arab, mungkin juga Islam tewas atas beberapa sebab, antaranya - judi, arak, perempuan, tamak haloba, terlalu berpuas hati dengan sesuatu kejayaan dan tidak bersatu.
Glossari:
Tanah Seluas Sekebun Bunga - Kelantan. Peseta - matawang Sepanyol. El traje de lucas - kain rona merah bagi menarik perhatian lembu. Plaza de Toros - Gelanggang laga lembu. Corrida - Metador muda. Novillo - lembu muda.
Zu, Louis,aku dan Erma suatu ketika dulu.
~Teringat 'Payaya' dihidang, terpaksaku makan dengan menutup hidung~ Bangi 11.53pm