Thursday, February 26, 2009

Minda Yang Penat



Banyak perkara terjadi dalam hidupku akhir-akhir ini. Benakku sentiasa berfikir. Simpati kepada sahabat menjadi balu dalam usia yang begitu muda membuatku seperti memikul bebannya. Seorang teman lain pula dalam keadaan trauma semasa diberitahu batuk berpanjangan tiga bulannya itu sejujurnya barah paru-paru tahap empat yang sudah bersarang lama. Walaupun rokok tidak pernah disentuh seumur hidup malahan bukan juga perokok pasif kerana buah hati sebantalnya metah konsius tentang kesihatan. Debaran anak buah kesayangan bakal menamatkan zaman gadisnya dua minggu lagi. Makcik-makcik yang cakna lagi sibuk dan menyibukkan diri menyiapkan sangga telur untuk hari bahagianya itu. Ditambah pula kesedihanku terhadap cerpen-cerpen yang masih diperam agensi media arus perdana, bila lagi akan disiarkan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Apatah lagi penulisan ilmiahku tentang seorang tokoh masih ditahap “literature review,” belum boleh berganjak walaupun masa berlalu pergi tanpa bertanya apakah kajianku sudah di peringkat mana. Kebelakangan ini pula rata-rata jagat raya berkata tentang kemorosotan ekonomi dunia yang menempias tanah air lalu kesannya bakal dirasai dalam beberapa bulan lagi tatkala badan-badan swasta mula mengecilkan pentadbirannya. Nampak gaya impian kenaikan gaji terpaksaku lupakan tahun ini atas sebab-sebab itu. Kekal terus dalam jawatan sudah memadai, kata sekumpulan teman yang memilih pakej VSS beberapa tahun dulu. Sesekali ingin rasanyaku pergi jauh meninggalkan bebanan berfikir yang begitu berat ini. Pernah seseorang memberitahuku tidak lama dahulu, apabila minda penat berfikir, cuba bayangkan sesuatu yang dingin, seperti menikmati ais kepal di renjis sirap sarsaparila ketika zaman persekolahan dahulu. Memang dingin. Memang sedap. Namun bila ais kepal habis, berakhir jugalah kedinginan dibenakku. Keadaan kembali usai. Seusai koton kandi merah jambu seperti dijual dalam Taman Tema Disney, di California. Jam menunjukkan hampir ke pukul satu pagi. Elok jugaku rehatkan diri pejamkan mata dalam dingin pagi tanpa sebutir kejora di langit, kerana esok satu lagi hari baru ku harapkan memberi kebahagian bak menonton teater “OTC” (Otak tak Center). Apabila si penasihat tidak pernah jenuh merawat pesakit mental kronik kembali sihat. Malangnya ketika pesakit mental pulih seperti sediakala, si penasihat pula menjadi murung lalu bunuh diri. Babak ini begitu pilu sehinggaku menitiskan air mata. Melihat keadaanku menahan sebak, sahabat yang sama menonton terus menegur, “Kau menangis Dil?” Laluku jawab, “Sedih, Doktor tu meninggal dunia.” Hairan juga mengapa sahabat tidak mengeluarkan air mata, walhal setiap teater di Kuala Lumpur, sahabat tidak pernah tidak menontonnya. Akhirnya baruku tahu, sahabat tidak menghayati teater tadi kerana sibuk melakar mimpi dalam ZZZZzzzzznya di kerusi lembut dalam Dewan Teater Bandaraya itu.

~Clueless in Bangi, 27/2/09~

No comments:

Post a Comment