Saturday, February 28, 2009

Perjalanan yang tidak ku harapkan



Perjalanan ke Tasik Chini buat kali kedua melawat puteriku yang hampir tamat latihan khidmat negaranya metah tidak kugemari. Namunku pujuk jasmani dan rohani memandu jauh berbatu-batu, meredah hutan dara Gambang, ke kem PLKN yang terletak di Tasik Chini. Tidak lupa perjalananku kali ini kubekal bersama komputer riba lengkap dengan broadband agar mudah puteriku menghubungi website UPU (Unit Pengajian Universiti) mengesan lokasi kursus matrikulasi yang bakal dia pergi tidak lama lagi. Saatku menelefon memberitahu sudah sampai, tiba-tiba kelihatan seseorang dicelah-celah pohon besar. Sebesar pemeluk, bergerak perlahan menghampiri kereta. Aduh, agak tidak percaya, gadis yang berjalan itu sebenarnya puteriku yang sudah susut berat badannya. Puteriku kelihatan cengkung, kurus, sedikit lebih ayu. Memeluk, mencium, dipeluk dan dicium bagi melepas rindu yang mendalam, akhirnya puteriku cadangkan kami turun ke muara tasik menikmati bekalan yangku bawa dari rumah untuknya. Sambil menjamah serba-sedikit juadah kegemaran, laptop dibuka dan website dicari. Aneh, broadband boleh dapat dalam hutan rimba itu. Itulah dipanggil teknologi. Walaupun ketika itu langit berwarna kelabu seperti hendak hujan, duduk pula menghadap tasik dengan bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa amatlah menenangkan. Perjalanan yang tidak kusukai mulanya, kini lenyap. Sesekali melihat kocakan air oleh ikan-ikan yang timbul dipermukaan tasik menghirup oksijen melesapkan kepenatanku. Kurenung dalam raut wajah cengkung puteriku. Jelas kelihatan garis-garis kerinduan, garis-garis keperitan menjalani latihan ala-ala komandor di mata yang redup lagi teduhnya itu. Timbul kesayuan dihatiku. Hampir sahaja manik-manik jernih berkelopak di mata. Namun pantasku bangun menuju ke tasik, agar puteriku tidak nampak hiba di hati mamanya yang sedang merindu. Semua biskut Mark & Spencer yang kubekalkan habis dibuka seperti sudah bertahun-tahun tidak menikmatinya. Kuamati sifat kemanjaan puteriku, aku senyum sendiri. Syukur, dua minggu lagi latihan khidmat negaranya tamat. Pastinya teratak kami di Bangi bingit kembali dengan petikan piano lagu-lagu Mozart dan Beethoven berkonserto tinggi memecah sepi pagi setiap hari. Lagu Kris Diyanti "Menghitung hari" pastinya berkumandang lagi, sebagai hadiah buat mamanya sebelum kurebahkan diri setiap malam. Tidak sabarku tunggu saat itu.
~yang merindu, Bangi, 03 March 2009~

No comments:

Post a Comment