Wednesday, March 25, 2009

Puisi tentang hidupku


Ya...ya…sudah agak sepi blogku jika ada yang tertunggu-tunggu apa bakalku coretkan kali ini. Aku kini sudah kembali ke zaman realiti dan bersedia memikul semua bebanan yang dipertanggungjawabkan kepadaku. Sebagai selingan, ku abadikan potret kenangan tentang kehilanganku beberapa minggu lalu kerana sibuk menghadiri majlis keramaian. Antaranya:
- Selamat pengantin baru Farah dan suami, kini kedua-duanya sudah pulang bertugas di Ireland
- Khalid dan Adnis – Aqiqah Eleina yang sudah pun berusia 3 bulan.
Hadiahnya hutang dulu Khalid yeah
- Cik Sham, selamat menyarungkan cicin kepada bakal menantu yang ayu
- Azlin Othman – bertemu jodoh dengan rakan sepejabat. Selamat Pengantin Baru Lin.
- Jasmine Ashraf (Dramatis Mr Mama) Selamat pengantin Baru. Pesan antie pada Darren
please take good care of my niece
- Puteriku yang sudah tamat Latihan Khidmat Negaranya. Pondokku tidak sepi lagi
- Putera yang metah lama tidak berjumpa
. Aku rindu

Monday, March 9, 2009

Unagi Bento


Makanan Jepun sihat. Kata sahabat yang bertugas sebagai dietician di sebuah hospital swasta. Makanan seperti sushi, tidak perlu masak kecuali nasi yang menyaluti hirisan isi ikan segar lagi enak itu. Begitu juga sayuran seperti timun, taugeh yang rangup menjadikan makanan Jepun makanan kegemaran orang yang sukakannya. Saya dipelawa makan Unagi Bento oleh Sensei yang rapat dan saya segani. Apa lagi, kesempatan ini memang tidak saya sia-siakan. Tambahan pula saya gemar Udon. Izinkan saya sebut kami selepas ini, kerana saya rasa ianya lebih mesra. Jadi kami pun pergi ke Restoran Umai-Ya yang terletak di Lot 37 bangunan See Hoy Chan di Uptown Damansara. "Irrashaimas" diucap sebelum dipelawa duduk. Menu dihulur, kami kaji sambil menyebut beberapa perkataaan dalam bahasa Jepun. Kelakar.Tiba masa memesan, kami setuju menikmati Unagi Bento tengahari itu. Oleh kerana Sensei pernah belajar di Tokyo dan masih fasih berbahasa Jepun, Sensei minta saya pesan beberapa makanan lagi dari menu. Pelayan restoran berasa pelik mengapa dua wanita ini memesan makanan untuk dimakan empat orang. "Boleh habis order banyak-banyak ini?" Saya terkejut dengan pertanyaan pelayan. Mungkin dia anggap kami hanya pandai memesan, makannya belum tentu. Saya pun jawab, "Haiya mau kasi awak bisnes ma!" Setelah mengambil pesan, pelayan beredar. Saya berkata kepada Sensei, "Adakah patut dia tanya kita begitu?" Seharusnya dia gembira kita beri bisnes padanya. Kami benar-benar mengosongkan perut untuk nikmati Unagi Bento. Serasanya, jika dihidangkan seekor gajah pun barangkali, akan kami habisi dek lapar. Beberapa minit kemudian semua hidangan dipesan datang. Makanan dipesan dikomplimen dengan seteko O-cha (teh hijau). Jangankan makanan semua licin, seteko O-cha pun habis kami teguk. Kenyang. Bila kami minta bill, pelayan sama datang menyerahkannya. Saya sempat pulangkan paku buah keras dengan selamba, "Ha, tadi u tanya boleh habis tak? Tengok! Takde satu nasi pun tinggal ma!" Segan silu dia membalas, "Ya lor, selalu orang tak order banyak, semua pun makan sikit. Order macam ini lima-enam orang makan!" Selepas pelayan mengucap "Jia matta," saya beritahu sensei, "Mungkin juga pelayan itu fikir, kita kuat makan tak?" ...hik ... hik ... hik. Lalu sensei jawab, "Makan untuk hidup, baru kita benar-benar hidup." Lega dengar kata-kata itu, saya tidak rasa bersalah kerana makan banyak.
Sensei wa, ano unagi bento wa, hoishi desune?
~Senyum sendiri bila teringat insiden di Umai-ya~ Bangi, 9/3/09

Saturday, March 7, 2009

Tanganku hulur, maafku pinta

Ramai tidak gembira apabila mata pena sasteraku menulis tentang keindahan zaman kanak-kanak. Teman yang swinged-by di blogku mengutuk serta memberi komen bahawa zaman kanak-kanak tidak semuanya indah. Lihat sahaja anak-anak di Palestin itu, mana letaknya keindahan zaman kanak-kanak mereka, malahan terjaga sahaja dari lena, kerisauan sudah menanti adakah hari ini lebih indah atau buruk dari semalam. Aku mungkin alpa dan naif tentang itu. Sejujurnya aku harus lebih berhati-hati menulis subjek sensitif ini. Seorang yangku segani lagi hormati, menelefon memberitahuku, zaman kanak-kanaknya penuh duka nestapa. Berlaku Perang Dunia Kedua sementara Malaya dikuasai Jepun. Tidak ada ayam goreng Kentucky mahupun kentang goreng Mac Donald ketika itu. Yang ada cuma ubi rebus, ikan kering, pucuk paku dan pucuk ubi. Usia seawal lima enam tahun sudah melihat darah di sini sana. Astagfirullah...Izinkanku menyusun jari memohon maaf di atas kelantangan penulisanku tentang keindahan alam kanak-kanak. Maafkanku saudara saudari pembaca sekalian. Hari ini aku belajar sesuatu yang baru.

~ I am truly sorry, please forgive me, Bangi 08/03/09 ~

Selamat Pengantin Baru


Anak saudara yang sudah mengakhiri zaman singlenya beberapa jam tadi. Potrait ini ku abadikan ketika meraikan ulangtahun Diya Badrisya, dua tahun lepas di Mac Donald, Subang Jaya. Tanpa solek, tanpa alis mata tebal, seperti yang selaluku tonton dalam sitcom "Mr Mama" setiap Selasa jam 10 malam di TV3, namun dia tetap manis. Selamat pengantin baru Jasmin Ashraff, semoga kekal hingga ke akhir hayat. Auntie selalu doakan kebahagianmu dengan Muhd Darren Gibran. Amin.

~sonder idea untuk penulisan kreatif. Bangi 08/03/09 - 2.41pagi~

Thursday, March 5, 2009

Ingin rasanyaku putar waktu kembali ke zaman kanak-kanak. Kukatakan zaman kanak-kanak kerana zaman ini datang sekali sahaja dalam hidup. Seperti kata Harun Yahya dalam bukunya berjudul, "The Circle of Life." Zaman kanak-kanak merupakan zaman paling indah dalam hidup seseorang. Zaman untuk bermain sepanjang hari. Zaman yang tidak perlu patuh pada jadual, apatah lagi zaman tidak ada bebanan tanggungjawab. Kulayari diri mengembara ke zaman kanak-kanakku. Aku mahu lari seketika dari tanggungjawab yang membebaniku. Hanya seketika. Ini janjiku. Sahabat semua kecewa bila gagal menghubungiku melalui talian tetap mahupun telefon bimbitku. Jika ada yang berjaya mengesanku, tentunya metah kecewa kerana perbualanku hambar keranaku paksa diri berbual, walhal diriku sebenarnya tidak mahu berkata sesuatu. Senyum tawa yang ku buat-buat. Walhal aku tidak mahu ketawa. Walaupun sahabat tahu, tawaku spontan, lahir dari nurani yang terhibur. Ikhlas. Tawa yang tidak dipaksa kerana tawa itu adalah aku, dan aku adalah tawa itu. Seperti ketika zaman kanak-kanakku. Sayangnya tatkala pengembaraanku ke zaman itu, aku jadi penyepi. Introvert. Aku keliru. Begitu keliru. Insan-insan yang mengasihiku berasa aneh. Semalam, saudaraku bertanya, "Kenapa dengan you, Dil? You sakitkah? Mengapa sepi? Mengapa membisu seribu bahasa?" Tiada jawapan pada semua soalan itu. Sebenarnya aku kini dalam alam kanak-kanakku. Alam yang tidak memikirkan bebanan tugas di pejabat, penulisan thesis, penulisan kreatif mahupun memikir masa depanku. Izinkanku kecapi zaman ini buat seketika. Walaupun aku jadi pendiam, penyepi, sonder kata-kata berbanding diri sebenarku yang sungguh extrovert. Tentunya apabila puas nanti, aku akan kembali ke zaman yang sedia ada. Pastiku ketawa semula. Pastiku senyum lebar ketika bertegur-sapa. Pastiku galas semula bebanan tugas dengan penuh dedikasi. Penuh tanggungjawab. Buat seketika ini, biarkan ku sendirian melalui saat-saat bahagia ini. Saudara berasa pelik? Aku tidak fikir begitu.

~Silent is golden, uptown 06/03/09~

Sunday, March 1, 2009

Tasik Chini


Tasik Chini...apakah keistimewaan tempat ini? Benakku penat berfikir. Ketika memandu menuju ke kem PLKN, ku cuba cari sesuatu yang bolehku panggil indah. Ia, keindahan yang ada di dalam hutan belantara ini. Pencarianku tidak sia-sia. Akhirnya ku temui juga keindahan itu. Sebagai bukti, lihatlah kembang seroja berona merah jambu ini. Cantik! Sangat cantik. Tasik yang kaya hidupan air, dengan ikan-ikan berenang senang menjadi sumber protin utama kepada orang Asli dari puak Jakun yang hidup di pesisir tasik. Walaupun Tasik Chini kelihatan redup lagi sepi, namun keindahannya menyerlah bilaku amati batang pohon rimba condong itu. Kepada pencinta alam, juga kepada seseorang yang meminati fotografi, keindahan ini pasti kan diabadikan dalam lensa kameranya.







Saturday, February 28, 2009

Perjalanan yang tidak ku harapkan



Perjalanan ke Tasik Chini buat kali kedua melawat puteriku yang hampir tamat latihan khidmat negaranya metah tidak kugemari. Namunku pujuk jasmani dan rohani memandu jauh berbatu-batu, meredah hutan dara Gambang, ke kem PLKN yang terletak di Tasik Chini. Tidak lupa perjalananku kali ini kubekal bersama komputer riba lengkap dengan broadband agar mudah puteriku menghubungi website UPU (Unit Pengajian Universiti) mengesan lokasi kursus matrikulasi yang bakal dia pergi tidak lama lagi. Saatku menelefon memberitahu sudah sampai, tiba-tiba kelihatan seseorang dicelah-celah pohon besar. Sebesar pemeluk, bergerak perlahan menghampiri kereta. Aduh, agak tidak percaya, gadis yang berjalan itu sebenarnya puteriku yang sudah susut berat badannya. Puteriku kelihatan cengkung, kurus, sedikit lebih ayu. Memeluk, mencium, dipeluk dan dicium bagi melepas rindu yang mendalam, akhirnya puteriku cadangkan kami turun ke muara tasik menikmati bekalan yangku bawa dari rumah untuknya. Sambil menjamah serba-sedikit juadah kegemaran, laptop dibuka dan website dicari. Aneh, broadband boleh dapat dalam hutan rimba itu. Itulah dipanggil teknologi. Walaupun ketika itu langit berwarna kelabu seperti hendak hujan, duduk pula menghadap tasik dengan bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa amatlah menenangkan. Perjalanan yang tidak kusukai mulanya, kini lenyap. Sesekali melihat kocakan air oleh ikan-ikan yang timbul dipermukaan tasik menghirup oksijen melesapkan kepenatanku. Kurenung dalam raut wajah cengkung puteriku. Jelas kelihatan garis-garis kerinduan, garis-garis keperitan menjalani latihan ala-ala komandor di mata yang redup lagi teduhnya itu. Timbul kesayuan dihatiku. Hampir sahaja manik-manik jernih berkelopak di mata. Namun pantasku bangun menuju ke tasik, agar puteriku tidak nampak hiba di hati mamanya yang sedang merindu. Semua biskut Mark & Spencer yang kubekalkan habis dibuka seperti sudah bertahun-tahun tidak menikmatinya. Kuamati sifat kemanjaan puteriku, aku senyum sendiri. Syukur, dua minggu lagi latihan khidmat negaranya tamat. Pastinya teratak kami di Bangi bingit kembali dengan petikan piano lagu-lagu Mozart dan Beethoven berkonserto tinggi memecah sepi pagi setiap hari. Lagu Kris Diyanti "Menghitung hari" pastinya berkumandang lagi, sebagai hadiah buat mamanya sebelum kurebahkan diri setiap malam. Tidak sabarku tunggu saat itu.
~yang merindu, Bangi, 03 March 2009~