Sunday, May 17, 2009

Hari Guru


'Selamat hari Guru.' Bila? Aha...kelakar! Tarikhnya memang saya tidak ingat. Dahulu, ketika anak-anak masih di bangku sekolah, sering saya diminta menyediakan sepuluh sebelas hadiah yang berlainan untuk diberikan kepada 'favourite teachers' anak-anak. Mak ai ramainya fav teachers. Kata Farah, semua cikgu mesti diberikan hadiah, jika tidak ada yang akan berasa hati. Lain pula dengan Farhan, ustazah seorang inilah favouritenya. Setangkai mawar merah hati sering dihadiahkan kepada ustazah. Sayangnya, pada satu penggal itu dia dirotan ustazah hanya kerana dia menoleh belakang apabila rakan se darjah bertanyakan sesuatu. Rotan itu hinggap di pipi kanannya sehingga berbekas. Dia malu kepada rakan-rakan lain. Insiden ini menyebabkan dia tidak lagi menghadiahkan mawar kepada ustazah itu. Lain pula dengan Fatin yang kini sudah pun memulakan kursus 'asasi sains' di KMK, Junjung, Kedah. Sedikit kreatif, dia membuat sendiri kad ucapan, kemudian menampal potraitnya supaya setiap guru mengingati wajahnya. Kekreatifannya metah berkesan. Sehingga hari ini, setiap guru yang bersua muka dengan Fatin masih mengenalinya.

Waktu di sekolah rendah dahulu, seorang guru lelaki menjadi favourite saya. Dia kacak lagi bergaya. Sedihnya, pada suatu pagi saya terlambat sampai ke sekolah. Lalu saya didenda mengutip sampah. Kata cikgu, 'Sampah sahaja.' Saya fikir daun-daun kering juga sampah. Akibatnya saya ditampar sehingga berdesing telinga. Sangat sakit. Saya menangis. Sejak itu saya bencikan dia. Saya tidak lagi senyum apakan mengucap selamat kepadanya. Berita terakhir saya dengar dari sahabat, dia sudah meninggal dunia. Maafkan saya cikgu. Namun hingga hari ini saya bertanya pada diri, bukankah daun-daun kering itu juga sampah?


~Teringat lagu 'To sir With Love' nyanyian Lulu, Bangi 18/05/09, 2.02am~

No comments:

Post a Comment