Saturday, August 29, 2009

Salam Ramadan


Kini ujana sastera saya sudahpun bersawang. Malam ini tika insan lain hampir melarik mimpi, sebelum bangun bersahur, saya ketuk papan kekunci menulis sesuatu. Ya, Ramadan sudah pun masuk hari ke sembilan. Begitu pantas waktu berlalu. Banyak peristiwa berlaku dalam keluarga saya. Subuh pertama, tika sedang bersahur, saya dikejutkan dengan panggilan dari saudara terdekat, mengkhabarkan kematian makcik Mariah. Inna-lillahi-wa inna ilaihi rajiun. Pilu mengetuk pintu hati. Genang bertakung di mata. Tidak sempat dia menikmati Ramadan tahun ini. Bisik hati kecil saya. Teringat pula berbelas-belas tahun lalu dalam bulan Ramadan, ibu juga pergi menghadap Illahi sebelum sempat menjamah sesuatu buat berbuka. Tika itu, tinggal tujuh hari lagi menjelang Syawal. Bayangkan keadaan saya adik-beradik. Menjadi serba-salah. Aidilfitri yang sepatutnya meriah tiba-tiba suram. Hati menjadi tawar, biarpun biskut dan kek disuakan pada yang bertamu. Namun ramai enggan menjamahnya kerana mahu menghormati ibu. Tiada lagi tangan yang ingin dicium memohon kemaafan di pagi Aidilfitri itu. Kerana kedua ibubapa saya sudah tiada di atas muka bumi ini.
Dalam pada mencari ketenangan dari kehilangan mak cik Mariah. Tiba-tiba daun pintu pondok usang saya diketuk seorang remaja. "Salam-mualaikum antie, ini ada bingkisan dari Farhan. " Saya ambil bungkusan dari tangannya. Sebak. Oh alangkah terha
ru apabila putera yang jauh beribu batu mengirim hadiah Aidilfitri buat adik-adik serta ibubapanya.' Hampir-hampir saya menangis. Hati kecil saya lalu berbisik, 'ingat juga dia pada keluarga.' Tidak seharipun saya lupa mendoakan kesejahteraan putera saya yang sering dirindui itu. Sentiasa.



~Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi ibubapa tidak akan ada penggantinya. Sayangilah ibu semasa hidupnya. Begitu juga ayah, 1.30 pagi, 30 Ogos 2009~

No comments:

Post a Comment