Tuesday, June 14, 2011

Bumi berputar, zaman beredar










Gegaran meja yang ketara menyentak kekhusyukkan tugas yang dikerjakan. Bundak seketika. Apa perlu ruang dikosongkan dan berlari mencari perlindungan dari goncangan ini. Saya tinjau dari jendela. Suasana tenang di luar. Seperti tiada apa-apa yang terjadi. Haha...kelakar. Namun semua ini menghantar suhu rengsa di ubun saya. Migrain! Sakit yang sentiasa menghentam saraf di kepala. Pantas "migarid" saya telan. Mujarab. Penawar yang sentiasa ada di sisi. Seperti sahabat sejati, jangan sesiapa berani memisahkan kami. Seusai saya dikejutkan deringan telefon teman yang memberi kabar. Sumatera dilanda musibah. Sudah lali dikoklea saya. Takdir menimpa lagi kepada jiran kita. Apa yang boleh insan sekerdil saya usahakan... hanya panjatan doa demi doa agar umat Muhammad dilindungiNya. Mengapa bumi begitu marah? Baru tiga purnama, pulau Hokkaido dilanda banjir. Kini...ah malas benak ini mahu memikirkan semua itu. Sudah cukup bebanan yang dipikul pundak saya. Hanya satu yang terpacul di depan mata, haha...penulisan ilmiah yang benar-benar mahu saya khatamkan.


Tuhan...bilakah agaknya!


~Waktu makan tengahari dalam kamar kerja. Bagaimana hendak memotivasikan diri? Saya perlu kata ransang...15/6/2011~

Monday, June 13, 2011

Sepi ...









Sepi mengingatkan saya kepada artikel, "Sepi Seorang Perindu." Bukan, rasanya novel yang saya pernah baca. Mungkin juga tajuk lagu Jamal Abdillah. Tidak pasti! Tidak tahu! Tidak boleh fokus di mana pernah saya nampak sebaris ayat itu. Adakah saya pelupa? Kebarangkalian ada di situ! Tuhan, hanya Dikau yang tahu segalanya...Haha. Saya dilanda sepi. Begitu ketara. Bukan saya alu-alukan kehadiran sepi. Seperti panggilan alam, sepi tiba tanpa diseru. Dalam keriuhan teman berbicara sesuatu, gelak-tawa lalu berjenaka, saya terus sepi. Mengapa saya begini?


Rindu? Rindu itu tiba-tiba datang. Tanpa diundang. Rindu pernah berziarah dan ingin berlabuh di tubir hati. Namun saya enggan mengizinkan. Beberapa musim lalu, saya terusan merindui insan yang saya kasihi. Betapa saya rindu kepada ibu. Rindu saya kepada ayah yang sentiasa mendokan kesejahteraan puterinya. Saudara yang sudah tiada, saya rindukan anlian! Rindu pada teman sepermainan yang kerap terbayang. Terngiang-ngiang jeritan dia ketika kalah dalam permainan batu selembang masih boleh saya dengar. Oh betapa saya merindui semua! Namun anlian insan baik yang sudah dipanggil. Seperti remuk hati ini setiap kali mendapat kabar itu. Ingin saya turuti saudara semua. Ah mungkin belum masanya. Sampai waktu, saya akan pergi juga. Pesan ustaz, tidak salah merindui sesuatu. Itu sifat semulajadi insan lemah seperti saya. Ada kebenaran nasihat ustaz. Tika ini saya merindui semua guru saya. Apa kabar agaknya guru-guru saya? Sifu Z, mengapa sepi tanpa berita. Sifu sihatkah?



~14 Jun 2011...Unipark Suria 3.30 ptg. Langit itu seperti marah... mungkin akan hujan lebat petang ini~


























Thursday, May 19, 2011

Apabila kata-kata itu mengembirakan

Kelmarin saya bersua dengan seorang ibu tunggal di surau yang saya kunjungi setiap malam Jumaat. Sudah beberapa purnama tidak kelihatan kelibatnya di situ. Barangkali dia sibuk dengan banyak urusan serta mengasuh seorang anak perempuan yang masih kecil. Ya, bagi golongan wanita seperti dia, mengasuh serta meniti hidup tanpa pasangan sudah tentu berat. Berat mata memandang berat lagi bahu empunya diri memikulnya. Saya simpati. Seusai menjamah juadah yang terhidang di atas meja selesai solat Isya, dia menghulur tangan bersalaman untuk pulang. Ungkapan yang sangat mengembirakan apabila dia sempat berbisik, "Kakak kelihatan langsing!" Wah...bahagianya mendengar kata-kata ikhlas itu. Terima kasih saudari yang berhati mulia. Saya doakan saudari bertemu jodoh dengan seorang jejaka yang saleh. Amin. Ya betul! (pinjam ungkapan Sifu Z) Tiada wanita yang tidak mahu kelihatan kurus atau benar-benar kurus. Harap saya dapat menurunkan lagi berat badan ini yang hampir menjejaskan kesihatan saya. InysaAllah!





Pagi Jumaat di Unipark , 20 Mei 2011

Wednesday, April 27, 2011

Donut








Seperti sudah ketagih. Setiap petang saya mesti makan sekeping donut dan secangkir kopi di Cafe. Pastry donutnya begitu puffy. Bukan Puffery ya!
Hmmm...sedap!






petang: unipark





Sunday, March 6, 2011

Pizza



Makan pizza sewaktu tengahari bersama teman sefakulti di Pondok Pizza yang jauhnya hanya sepelempar batu dari pejabat amat menenangkan. Bayangkan masing-masing sedang lapar setelah beberapa hari menanda kerta-kertas ujian para pelajar masing-masing. Berselera sekali! Seperti bertahun tidak makan pizza rasanya. Ahh...kelakar! Semua menempah pizza "Meal 1" dengan perasa yang sama supaya ringkas. Tidak perlu menunggu lama atau bercikus-cikus merasa pizza teman sebelah. Sedap! Set itu bersekali dengan sup cendawan dan minuman bersoda. Harga termasuk tip dan cukai kerajaan berjumlah RM15.65 seorang. Agak mahal! Tetapi, tidak mengapa, kerana pizzanya sangat enak.Namun saya terperasan saiz pizza itu jauh lebih kecil dari yang pernah saya makan sebelum kenaikan harga barang dahulu. Hmmm...harga makanan sudah naik melambung ya! Porsinya juga semakin kecil. Aduh!
~senja di unipark~

Lagi tentang hati



Semenjak Rabu lepas lagi hati kecil saya berbisik, "Mengapalah lembap sangat! Takkanlah hendak memforwardkan benda sesimple itu pun mengambil masa berhari-hari?" Haaa...ayat itu belum berunsur fitnah mahupun menjatuhkan maruah seseorang. Tidak juga berbunyi hasutan, kerana ketiga-tiga "pasal" itu ada yang tidak kena. Seandainya mana-mana hal ini ada menyebut nama seseorang, aduh...parah! Boleh dikenakan "Akta Hasutan," lah jawabnya.
Namun hati kecilku, terus mengeluh! Kesal melihat gelagat orang muda yang mengambil masa amat lama untuk menghantar sesuatu yang sangat saya perlukan. Sampai bila harus saya tunggu? Adakah kalian berhajat melewat-lewatkan tugas saya? Atau sengaja busuk hati? Ahaa...itu tidak bagus! Baru semalam saya membaca kitab tentang hati... Sucikanlah hati kalian dengan berfikir benda-benda bagus dan hantarlah dokumen itu segera...pleassseeeee!


~dalam pejabat, 7/3/2011 - 11.45 pagi~ (photo credit to Adam)

Senggang


Sepetang-petangan Ahad ini saya manfaatkan dengan memasuki sesawang mencari jurnal-jurnal yang boleh diambil cebisan-cebisan ilmunya. Saya selang-selikan dengan menanda kertas ujian para penuntut saya. Lelah berbuat demikian, saya rehatkan minda lalu menyelak halaman, "Kitab huraian keajaiban hati." Karya agung imam Al-Ghazali. Keajaiban hati adalah petikan daripada Ihya Alumiddin. Berkata tentang keajaiban hati, sebaris ayat magis ini menyentak atma saya. Saya halusi maknanya, namun tidak saya nafikan, saya perlu dalami ilmu ini dengan berguru. Ya, berguru ke palang ajar. Kata perenggan ini - "Dan hati itu terdinding (terhijab) dari Allah, apabila ia tenggelam dengan selain Allah. Hatilah yang mencari. Hatilah yang berbicara dan hatilah yang mencaci. Dan dialah yang berbahagi dengan dekat kepada Allah. Maka ia memperoleh kemenangan, apabila ia mensucikannya. Hati memperoleh kekecewaan dan kesengsaraan. Hatilah pada hakikatnya yang taat kepada Allah swt. Dan sesungguhnya ibadah-ibadah yang berkembang pada anggota badan adalah cahayanya."
Teringat pula lirik lagu "tanya sama hati, apa tanda sayang...," haha, jagalah hati dari tercemar, dari hasad dengki juga dari gejala yang meracuni minda. Wallah-hualam.


~Di pojok pondok usangku di Bangi~