Monday, March 9, 2009

Unagi Bento


Makanan Jepun sihat. Kata sahabat yang bertugas sebagai dietician di sebuah hospital swasta. Makanan seperti sushi, tidak perlu masak kecuali nasi yang menyaluti hirisan isi ikan segar lagi enak itu. Begitu juga sayuran seperti timun, taugeh yang rangup menjadikan makanan Jepun makanan kegemaran orang yang sukakannya. Saya dipelawa makan Unagi Bento oleh Sensei yang rapat dan saya segani. Apa lagi, kesempatan ini memang tidak saya sia-siakan. Tambahan pula saya gemar Udon. Izinkan saya sebut kami selepas ini, kerana saya rasa ianya lebih mesra. Jadi kami pun pergi ke Restoran Umai-Ya yang terletak di Lot 37 bangunan See Hoy Chan di Uptown Damansara. "Irrashaimas" diucap sebelum dipelawa duduk. Menu dihulur, kami kaji sambil menyebut beberapa perkataaan dalam bahasa Jepun. Kelakar.Tiba masa memesan, kami setuju menikmati Unagi Bento tengahari itu. Oleh kerana Sensei pernah belajar di Tokyo dan masih fasih berbahasa Jepun, Sensei minta saya pesan beberapa makanan lagi dari menu. Pelayan restoran berasa pelik mengapa dua wanita ini memesan makanan untuk dimakan empat orang. "Boleh habis order banyak-banyak ini?" Saya terkejut dengan pertanyaan pelayan. Mungkin dia anggap kami hanya pandai memesan, makannya belum tentu. Saya pun jawab, "Haiya mau kasi awak bisnes ma!" Setelah mengambil pesan, pelayan beredar. Saya berkata kepada Sensei, "Adakah patut dia tanya kita begitu?" Seharusnya dia gembira kita beri bisnes padanya. Kami benar-benar mengosongkan perut untuk nikmati Unagi Bento. Serasanya, jika dihidangkan seekor gajah pun barangkali, akan kami habisi dek lapar. Beberapa minit kemudian semua hidangan dipesan datang. Makanan dipesan dikomplimen dengan seteko O-cha (teh hijau). Jangankan makanan semua licin, seteko O-cha pun habis kami teguk. Kenyang. Bila kami minta bill, pelayan sama datang menyerahkannya. Saya sempat pulangkan paku buah keras dengan selamba, "Ha, tadi u tanya boleh habis tak? Tengok! Takde satu nasi pun tinggal ma!" Segan silu dia membalas, "Ya lor, selalu orang tak order banyak, semua pun makan sikit. Order macam ini lima-enam orang makan!" Selepas pelayan mengucap "Jia matta," saya beritahu sensei, "Mungkin juga pelayan itu fikir, kita kuat makan tak?" ...hik ... hik ... hik. Lalu sensei jawab, "Makan untuk hidup, baru kita benar-benar hidup." Lega dengar kata-kata itu, saya tidak rasa bersalah kerana makan banyak.
Sensei wa, ano unagi bento wa, hoishi desune?
~Senyum sendiri bila teringat insiden di Umai-ya~ Bangi, 9/3/09

No comments:

Post a Comment