Monday, July 6, 2009

Hari-hari nan sepi



Pondok usang saya di Bangi kini sepi. Semua penghuninya mulai meninggalkan kamar masing-masing. Khamis lepas, pembantu rumah asing nombor dua, pulang ke negara asalnya untuk membina masjid. Walaupun umur belum mencecah 21 tahun namun usia itu sudah diwajibkan berumahtangga. Tiga tahun yang berlalu hanya seperti semalam sahaja saya mengambilnya untuk membantu tugas-tugas domestik sambil menjadi teman kepada puteri bongsu saya. Kini yang tinggal hanya senyuman manisnya dan beberapa helai pakaian lusuh yang enggan dibawa pulang. Sebagai majikan, saya doakan kesejahteraan hidup bakal ditempuhinya kelak.

Khamis nanti pula, Farah yang sudah beberapa bulan direhatkan, akan pulang memulakan tugasnya di Kertih. Begitu juga dengan Khayra dan Afiq. Bonda doakan selamat semuanya.

Pondok yang sepi kini benar-benar sunyi. Sehingga titis air di pili jelas kedengaran walaupun pili itu sudah lama menitiskan airnya kerana getah disekeliling besinya sudah nipis. Tiada lagi hilai tawa. Tiada lagi suara yang memanggil 'ibu' di ruang tamu. Hanya tinggal kami berdua.
Harap-harap keadaan ini hanya sementara. InsyaAllah.

1 comment:

  1. mengertikah mereka istilah sepi sedang keriuhan yang menyelubungi?

    ReplyDelete